Ahad, 11 Jun 2017

Kebenaran kerasulan Nabi Muhammad



ARKIB : 02/02/2006
“Dan (mereka berkata lagi) ‘Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu’. Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah’. (Mereka berkata pula jangan kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu’. Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya: dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.” (Ali Imran: 73)

Huraian

Rasulullah s.a.w. menghadapi kesukaran dan penentangan daripada golongan yang menentangnya (bani Israel). Golongan ini beranggapan bahawa agama merekalah yang benar di samping beranggapan bahawa nabi-nabi itu hanya daripada kalangan mereka sahaja, bahkan mereka ini melampaui batas dengan menghina orang lain. Mereka juga berkeyakinan apa yang diperkatakan oleh mereka semuanya benar dan betul (baik).

Dalam hal ini, Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa nabi-nabi itu tidak hanya terbatas untuk sesuatu bangsa (Bani Israel) sebaliknya Allah memberikan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan manusia yang dikehendakinya. Sesiapa yang telah mendapat petunjuk Allah s.w.t. maka tidak ada yang dapat mengalahkannya (disesatkan) bahkan usaha-usaha mereka akan menjadi sia-sia.

Sikap golongan ini yang sememangnya terkenal dengan sifat sombong dan ingkar mereka tetap tidak percaya dengan utusan nabi yang bukan daripada kalangan mereka, apatah lagi mengakui bahawa umat Islam juga diberikan kitab (al-Quran) sebagaimana mereka juga. Dengan ini jelaslah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Mengetahui orang yang berhak dijadikan Rasul (nabi) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Kesimpulan

Anggapan bahawa nabi-nabi itu hanya daripada kalangan mereka (Bani Israel) merupakan suatu pemahaman yang benar-benar salah, kerana Allah s.w.t. berkuasa dan berhak memberikan kepada sesiapa sahaja apa yang dikehendaki-Nya.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4jggsNqb7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan