ARKIB : 19/07/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
AL-BAKRI NABI Muhammad s.a.w.
dibangkitkan adalah di atas perutusan yang amat murni, iaitu mengajak seluruh
manusia dan jin supaya mengenal, mengakui dan akhirnya mengabdikan diri ke
hadrat Allah s.w.t. berlandaskan syariat yang diturunkan oleh-Nya selaku Tuhan
pencipta alam ini. Ini adalah perutusan di antara manusia dengan Tuhan mereka.
Firman Allah s.w.t.
Maksudnya: Wahai Tuhan Kami!
Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan
membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati
dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Firman Allah: Wahai Tuhan
Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Inilah
hasil doa kedua-duanya yang berkat Allah mustajabkan doa dengan dibangkitkan
Muhamad s.a.w. seperti sabdanya: Aku adalah doa ayahku Ibrahim, berita gembira
Isa dan mimpi ibuku. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Ibn Hibban). Al-Tabari
berkata: Pendapat kami ini sama seperti kebanyakan ahli tafsir.
Yang akan membacakan kepada
mereka ayat-ayat (firmanMu) dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan mengajarkan
mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan. Yang
dimaksudkan dengan al-kitab ialah al-Quran sedangkan hikmah dengan al-Sunah.
Inilah pendapat Ibn Abbas. Diriwayatkan daripadanya juga hikmah dengan maksud
ilmu fiqh, halal, haram dan segala peringatan al-Quran. Dinamakan hikmah itu
hikmah kerana ia menegah daripada kejahilan. Syeikh Sya'rawi berkata: Wajib
kita mengetahui bahawa terdapat perbezaan antara membaca ayat dan mengajar.
Membaca iaitu kamu membaca al-Quran sedangkan mengajar iaitu kamu mengetahui
maknanya dan apa yang datang dengannya untuk kamu tatbiqnya dan kamu mengetahui
dari mana datang. Dan jika kitab dengan maksud al-Quran manakala hikmah dengan
maksud hadis Rasulullah s.a.w.
Petunjuk
Syeikh al-Maraghi berkata: Dia
mengajarkan mereka al-Quran, segala sir syariat dan maksudnya dengan sirahnya
antara kalangan Muslim, maka ia menjadi petunjuk dan contoh bagi mereka pada
ucapan dan perbuatannya.
Dan membersihkan (hati dan
jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Terdapat tiga pandangan ulama:
1. Menyucikan mereka dari
segala noda syirik, kekufuran dan maksiat. Inilah pendapat Muqatil.
2. Diambil zakat daripada
mereka untuk menyucikan mereka dengannya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan
al-Farra'.
3. Rasul menyeru mereka kearah
menjadikan suci.
Syeikh Sya'rawi berpendapat:
Rasul mensucikan mereka dan memimpin mereka ke jalan kebaikan dan kesempurnaan
iman.
Sesungguhnya Engkaulah yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Engkaulah sahaja yang bersifat Maha Perkasa
yang tidak mungkin dikalahkan, Maha Bijaksana yang tidak melakukan sesuatu
kecuali dengan penuh hikmah dan maslahah. Sebagai memperkenankan doa Ibrahim
a.s dan Ismail, Allah telah membangkitkan Nabi yang mulia ini (Muhammad)
setelah dilalui sekian abad yang lama. Itulah kebangkitan Rasul dan zuriat
Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat-ayat Allah, mengajar kepada
mereka kitab suci dan hikmat, dan membersihkan mereka dari kekotoran dosa. Doa
yang makbul itu tetap dimakbulkan tetapi ia disempurnakan pada masanya yang
wajar yang ditentukan Allah mengikut hikmat kebijaksanaannya. Tetapi manusia
selalu gopoh dan menuntut disegerakan dan orang-orang yang belum mempunyai
hubungan yang rapat dengan Allah selalu (dilanda) perasaan jemu dan putus asa.
Kedua-dua kenyataan ini
menjelaskan bahawa umat Islam adalah pewaris-pewaris kepimpinan Ibrahim dan
pewaris-pewaris Baitullah al-Haram yang sebenar. Dan jelaslah kini bahawa rumah
Baitullah itu adalah rumah umat Islam selaku kiblat yang dihadapi mereka, dan
mereka adalah lebih berhak dari kaum musyrikin. Baitullah itu adalah kiblat
yang lebih sesuai dengan mereka dari menjadi kiblat kaum Yahudi dan kaum
Nasara.
Sejarah Kelahiran Rasulullah
s.a.w.
Mengikut pengarang buku
Ketinggian Risalah Nabi Muhammad s.a.w. bahawa yang menyambut Nabi bukan Siti
Syifa tetapi Ummu Aiman, hamba ibu Nabi. Dan dialah yang mengasuh dan merawat
Nabi pada hari-hari awal kelahiran baginda.
Saat itu ialah malam Isnin 12
Rabiulawal bertepatan dengan tahun 570 Masihi, maka dengan kehendak Allah yang
telah pun mengatur segala-galanya peristiwa di alam ini lahirlah seorang bayi
lelaki yang amat elok rupanya dan sihat badannya. Siti Syifa selaku bidan
terus menyambut bayi yang comel dan sihat itu lalu dibersihkan badan Nabi
dengan membasuhnya dengan air. Kemudian dibalutnya dengan kain putih yang
bersih.
Pada saat Nabi dilahirkan itu
berlaku banyak perkara yang tidak pernah diduga oleh akal manusia. Keajaiban
itu terjadi di seluruh alam. Dari depan mata Siti Syifa hinggalah tepi dunia
dan juga ke lapisan langit yang ketujuh.
Peristiwa yang pelik dan aneh
yang disaksikan oleh ibu Abd. al-Rahman bin Auf itu ialah tentang kenapa anak
sulung Siti Aminah binti Wahab isteri kepada Abdullah bin Abd. al-Muttalib ini
tidak menangis sebaik sahaja keluar dari perut ibunya? Sedangkan belum pernah
terjadi dalam sejarah peradaban manusia bahawa bayi yang baru keluar dari perut
ibunya tidak menangis! Ini adalah satu petanda yang agung pada pendapat bidan
yang merawati Siti Aminah itu ketika melahirkan bayi sulungnya yang cantik
bersih itu.
Nabi ketika dilahirkan tidak
menangis seperti kanak-kanak biasa. Tetapi baginda telah bersin. Inilah yang
anehnya. Samalah dengan yang telah terjadi kepada bapa kita, Nabi Adam a.s
ketika beliau mula-mula dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam badannya. Setelah
hidup dan bernafas, tiba-tiba beliau bersin.
Suasana di rumah Abd
al-Muttalib ketika Siti Aminah mahu melahirkan anak sulungnya itu hanya
diterangi oleh cahaya pelita atau damar sahaja. Namun sejurus Nabi dilahirkan,
tiba-tiba rumah itu menjadi terang benderang seperti disuluh oleh cahaya lampu
elektrik seperti yang dapat kita lihat pada zaman sekarang ini sehingga dalam
rumah Abdullah itu keadaannya menjadi seperti waktu siang. Seolah-olah ada
lampu besar yang menyinari ruang bilik tempat Siti Aminah sedang melahirkan
Nabi itu. Ini sesungguhnya adalah sesuatu yang amat aneh.
Di luar rumah Abdullah pula,
berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Kaabah semua tumbang seperti
ditolak oleh suatu tenaga yang kuat dari arah Kaabah.
Peristiwa aneh dan luar biasa
yang berlaku di tempat yang jauh pula ialah api di Parsi yang menjadi pujian
rakyat Parsi yang beragama Majusi yang sejak dinyalakan tidak pernah
padam-padam itu tiba-tiba sahaja padam. Istana Maharaja Parsi, Kisra pula
bergoncang.
Di langit pula, para malaikat
sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang
benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dunia
kesesatan.
Begitulah beberapa peristiwa
yang terjadi ketika Siti Aminah melahirkan putera sulungnya yang tunggal yang
bakal menjadi Nabi umat akhir zaman itu.
Iktibar dan pengajaran ayat
Antaranya:
* Memohon dan berdoa kepada
Allah untuk kebaikan zuriat dan menjadi soleh. Fikirlah bagaimana Nabi Ibrahim
berdoa kemudian selepas ribuan tahun lahirnya Rasulullah s.a.w yang
mentahqiqkan segala doa Ibrahim.
* Tugas rasul yang disenaraikan
dalam ayat di atas ialah membaca kitab Allah, mengajar kitab-Nya, mengajar
hikmah dan ilmu dan menyucikan daripada noda maksiat dan dosa.
* Betapa pentingnya menuntut
dan mempelajari ilmu apatah lagi yang boleh membimbing keselamatan di dua
negeri dunia dan akhirat. Ilmu yang bermanfaat sudah pasti dapat menyelamatkan
tuannya dari terseret ke lembah kehinaan dan kejahilan.
* Mengkaji dan mempelajari
sirah Rasulullah s.a.w. amat penting apatah lagi suasana masa kini musuh-musuh
Islam melabelkan Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai label dan gambaran yang amat
keji.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4lIFn5DVG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan