Khamis, 22 Jun 2017

Josiah juara keirin Piala Dunia



 
ARKIB : 04/03/2006
Ads by Kiosked
Josiah juara keirin Piala Dunia
Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK
JOSIAH Ng (kiri) bersama Theo Bos (tengah) dari Belanda yang menduduki tempat pertama dan pelumba Jerman, Jan van Eijden tempat ketiga pada Piala Dunia Klasik di Sydney, semalam. Meskipun di tempat kedua, Josiah dinobatkan juara keseluruhan acara keirin berdasarkan persembahan konsisten dalam empat pusingan Piala Dunia Klasik. - AFP.

KUALA LUMPUR - Khabar gembira dicipta pasukan basikal trek negara menjelang Sukan Komanwel di Melbourne 15-26 Mac ini apabila Josiah Ng ditabalkan sebagai juara keirin Piala Dunia Klasik yang berlangsung di Sydney, semalam.

Walaupun kejohanan itu hanya bertaraf empat bintang sahaja tetapi kejayaan Josiah, 26, menjadi suntikan semangat kepada kontinjen negara dalam menghadapi temasya Sukan Komanwel yang bertaraf lima bintang.

Pengurus pasukan, Datuk Naim Mohamad ketika dihubungi di Sydney semalam jelas gembira dengan pencapaian Josiah itu.

``Ia satu petanda positif bahawa harapan Malaysia untuk meraih pingat emas menerusi Josiah di Sukan Komanwel nanti adalah cerah.

``Kita akan berusaha dalam 10 hari sebelum bermulanya Sukan Komanwel ini untuk meningkatkan lagi prestasi semua pelumba negara,'' ujarnya.

Josiah merupakan pelumba pertama Malaysia meraih gelaran ini dan selaku juara keirin Piala Dunia, dia telah disarungkan jersi kejuaraan oleh Pengerusi Suruhanjaya Trek, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Ray Godkin.

Pemilihan Josiah sebagai juara itu dibuat berdasarkan pencapaian konsistennya dalam empat pusingan Piala Dunia Klasik yang berlangsung di Moscow (Rusia), Manchester (England), Los Angeles (AS) dan Sydney (Australia).

Di Moscow, Josiah menduduki tempat keenam diikuti tempat ketiga di Manchester, kelima di Los Angeles dan semalam di Sydney di tempat kedua di belakang pelumba Belanda, Theo Boss.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Amirudin Jamaludin turut membawa khabar gembira kedua buat Malaysia semalam apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 4km kejar mengejar individu.

Catatan yang dilakukan di Sydney iaitu 4min:51.763s itu juga merupakan pencapaian peribadi terbaiknya setakat ini.

Rekod kebangsaan acara itu adalah 4:55.130s.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4knyJwUXB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan