Ahad, 11 Jun 2017

S. Jibeng meninggal dunia



ARKIB : 08/02/2006

Oleh: HAMDEN RAMLI

JOHOR BAHRU 7 Feb. - Penyanyi popular tahun 60-an, S.Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Siddiq, 64, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pukul 7.30 pagi ini akibat sakit jantung.

Beliau sebelum itu dimasukkan ke Hospital Batu Pahat selepas mengadu sakit sekembalinya dari mengadakan persembahan pada satu majlis anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Seremban, Negeri Sembilan petang semalam.

Allahyarham yang menghidap lemah jantung dan kencing manis kemudiannya dihantar ke HSA untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia pagi ini.

Jenazah Allahyarham selamat kebumikan selepas zuhur hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Maznah Sidek, 42, lima orang anak dan tujuh orang cucu.

Antara rakan-rakan seangkatan yang menghadiri pengkebumiannya ialah Datuk A. Rahman Hassan, A. Rahman Onn, A. Halim, J. Sham, Jefry Din, Datin Norkiah Abdullah dan S. Mariam.

Menurut Maznah, sepanjang perkahwinan mereka selama 29 tahun, Allahyarham sememangnya dikenali sebagai seorang yang peramah dan suka bergurau.

``Pemergiannya agak mengejutkan kerana dia tidak menunjukkan sebarang tanda sakit kecuali kakinya yang bengkak bulan lepas,'' katanya.

Menurutnya, Allahyarham memang cintakan dunia seni sewaktu hayatnya dan dia sering mengadakan kelas mengajar anak muda bermain muzik.

``Selain menyanyi, Allahyarham juga berbakat bermain gitar dan drum. Dia juga menghasilkan banyak lagu popular seperti Musafir Di Aidilfitri, Inai Di Jari, Selamat Tinggal Pujaan dan Gadis Pertiwi,'' katanya.

Dalam pada itu, rakan seperjuangan S. Jibeng, A. Rahman Hassan berkata, walaupun Allahyarham cacat penglihatan, namun sikapnya yang peramah amat disenangi ramai.

``Kami dari kalangan artis tahun 60-an berasa amat sedih di atas kehilangan S. Jibeng yang dikenali sebagai seorang yang periang serta berbakat besar dalam dunia muzik terutamanya irama pop yeh yeh,'' katanya.

Seorang lagi sahabat dan penyanyi irama 60-an, A. Rahman Onn berkata, beliau mengenali Allahyarham lebih 40 tahun dan sering bersama-sama membuat persembahan dengannya.

``Memang mudah berkawan dengan Allahyarham sebab dia suka bergurau dan sentiasa boleh dibawa berunding.

``Pemergiannya memang amat dirasai di kalangan artis irama 60-an,'' katanya.

Sementara itu, Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan kematian penyanyi popular era 60-an, S. Jibeng sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

Pengerusinya, Azizul Nizam Bidin, dalam satu kenyataan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kepulangannya ke rahmatullah akibat sesak nafas pagi ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm#ixzz4jkfAnji0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan