Khamis, 8 Jun 2017

Berakhirnya era servis kuda



ARKIB : 04/12/2005

MANILA - Kekalahan regu utama Thailand di tangan Malaysia dalam aksi sepak takraw bermakna berakhirnya penguasaan tekong servis kuda paling digeruni, Suebsak Phuensub yang menjadi igauan negara lain sejak dia mula tampil dengan servis berkenaan pada tahun 1995.

Malah, ia juga kembali membuka ruang untuk persaingan lebih terbuka dalam sukan itu selepas didominasi sepenuhnya oleh Thailand yang memenangi hampir semua kejohanan dalam tempoh 10 tahun lalu hasil kepakaran Suebsak.

Menurut pengurus negara, Nasir Musa jika sebelum ini kehadiran sevis kuda ditakuti negara lain termasuk Malaysia tetapi kemenangan kelmarin membuktikan kita sudah mempunyai jawapan kepada servis yang mampu mencecah 160 kilometer sejam itu.

``Dalam tempoh 10 tahun kita mencari formula untuk mengatasi servis itu termasuk cuba meniru kemahiran mereka itu, akhirnya kita menemui cara terbaik iaitu dengan memberi perhatian kepada cara menyambut servis berkenaan.

``Terbukti kemampuan kita memberi balasan kepada servis mereka dalam perlawanan itu membuatkan mereka buntu untuk menewaskan kita dan itu adalah kunci kejayaan kita,'' katanya semalam.

Malaysia mengakhiri penantian 12 tahun untuk memenangi pingat emas acara sepak takraw antara regu pada Sukan SEA apabila menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir acara itu di gimnasium Universiti San Carlos, Cebu City, kelmarin.

Regu negara yang dibarisi Mohamad Normanizan Ahmad (tekong), Mohd. Putra Abdul Ghani (apit kanan) dan Mohd. Zulkarnain Arif (apit kiri) menang dengan keputusan 21-11 dan 21-14.

Kejayaan itu sekali gus memadamkan penguasaan Thailand dalam acara sepak takraw dalam temasya dwitahunan itu dengan Malaysia kali terakhir memenanginya pada Sukan SEA 1993 di Singapura.

Thailand mula memperkenalkan servis itu pada Sukan SEA 1995. Pada satu ketika, pasukan negara pernah meminta supaya ia diharamkan kerana terlalu laju dan sukar diangkat.

Menurut Nasir, selain pertahanan yang baik, permainan cemerlang tekong dan juga hadangan yang dilakukan oleh Mohd. Putra merupakan elemen yang menjadi kekuatan kepada negara.

Malah, katanya, ramuan itu berhasil apabila regu negara dapat mengalahkan lawan itu dengan mudah dalam tempoh lebih 10 tahun.

Katanya, walaupun mereka memasukkan Suebsak yang masih mempunyai servis kencang bagi menggantikan Sarawut Inlek, namun pemain negara tetap berupaya bertahan dengan baik sekali gus membuktikan dia bukan lagi ancaman yang perlu dirisaukan. - Mingguan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4jOmfmScg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan