ARKIB : 14/03/2005
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR
ABDULLAH
TIDAK dapat dinafikan bahawa
yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad
ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu
ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada
keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'. Di antara ulama yang paling
besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim
al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.
PENDIDIKAN
Syeikh Abdul Qadir bin Abdur
Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun
ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul
Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat,
Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar
dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di
pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah. Dalam riwayat
yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada
Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah,
beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok
al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama
Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin
Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain.
Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah,
beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri
asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu
diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih
ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil,
Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.
AKTIVITI
Syeikh Abdul Qadir mulai
mengorak langkah di mana sahaja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau
memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal
Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani,
kerana pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di
rantau ini. Sama ada di Terengganu mahupun di tempat-tempat lainnya, pengajian
pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu
telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja
yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan
beberapa orang Tok Guru mahu pun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang
memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau tergendala
kerana pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani
terhadap pencerobohan bangsa Siam. Peperangan besar yang melibatkan beberapa
orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.
Pengajian pondok
Dipercayai beliau datang ke
Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai
mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah
mesjid di Bukit Bayas. Di kedua-dua tempat itu beliau membina pengajian pondok
menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitinya di
Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelaran Syeikh Abdul
Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya iaitu gelaran
Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung sahaja).
PENULISAN
At-Targhib wat Tarhib li
al-Bai'i wa Asy-Syira, diselesaikan waktu duha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234
H, di negeri Terengganu. Kandungannya membicarakan tentang perniagaan menurut
ajaran Islam, mengemukakan hujah-hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai
terlarangnya memakan riba. Di antara salinan terbaik yang pernah ditemui ialah
yang diselenggarakan oleh Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu.
Setelah Basmalah, Hamdalah,
Selawat dan Salam, pengarangnya Syeikh Abdul Qadir menyebut judul karya ini
dalam bahasa Arab, iaitu Risalah fi Bayani Hukmil Bai'i war Riba. Judul
terjemahan oleh pengarangnya dalam bahasa Melayu: Risalah Pada Menyatakan Hukum
Jual Beli Dan Riba. Berdasarkan kenyataan ini bererti karya ini terdapat dua
judul yang berbeza dalam bahasa Arab, iaitu judul yang satu lagi yang tertulis
pada bahagian depan manuskrip ialah: At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa
asy-Syira.
Sebagai keterangan tambahan
keseluruhan kandungannya diringkaskan oleh beliau sendiri, dengan katanya
``Ditambahi sedikit daripada dalil dan hadis pada menyatakan seksa dan azab
atas tiap-tiap orang yang memakan riba, dan orang yang mengurangkan sukatan dan
timbangan, dan orang yang menzalim atas harta manusia.'' Sasaran karangan
beliau nyatakan, ``Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang
membaca akan dia daripada segala orang yang berjual beli laki-laki dan
perempuan, kecil dan besar, muda dan tua.'' (hlm. 1).
Setelah itu pengarangnya
memasuki perbincangan yang merupakan subjudul awalnya, ialah Asal Yang
Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba. Bahagian ini mengemukakan hujah-hujah
daripada al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat para ulama
tentang pentafsirannya. Hadis yang pertama diperkenalkan terjemahan menurut
Syeikh Abdul Qadir, ``Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang
baik, ertinya yang tiada tipu daya padanya dan tiada khianat, dan bekerja
laki-laki dengan tangannya.''
Selanjutnya Syeikh Abdul Qadir
memetik hadis- hadis yang lain, di antaranya yang dikeluarkan oleh Baihaqi
daripada Muaz, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim daripada Ibnu
Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan banyak lagi hadis
yang dapat dirujuk pada bahagian ini (hlm. 2-4). Kemudian memasuki Tanbih
Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal, Syeikh Abdul Qadir memulakan
kalimat bahagian ini dengan katanya, ``Telah berkata oleh beberapa ulama, yang
terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan telah berkata oleh setengah ulama yang
Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian
daripada itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah dan perahu, menjahit dan
barang sebagainya daripada segala kepandaian yang diharuskan oleh syara.
Kemudian daripada itu pula berniaga.'' Pada bahagian ini dimulai dengan khabar
daripada Muslim terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Tiada menanam oleh
orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu
bendang, maka makan daripadanya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh
binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu
sedekah.'' Setelah membandingkan pelbagai pendapat, lalu dimulai perbincangan
mengenai jual beli, iaitu dimulakan dengan tiga macam bentuk jual beli:
Pertama, berjual mata benda yang dilihat. Kedua, dijual akan mata benda yang
belum lagi maujud. Ketiga, dijual mata-benda yang ghaib, yang tiada dilihat
(hlm. 10-20).
Hukum riba
Setelah mengupas sesuatu barang
yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci, lalu membicarakan
mengenai riba. Syeikh Abdul Qadir membuka lembaran ini dengan kata beliau,
``Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba kerana wajib
atas tiap-tiap orang yang berniaga itu berlajar segala hukum jual beli, dan
hukum riba ...'' Menurut beliau, ``Barangsiapa berniaga dahulu daripada
mengetahui hukumnya nescaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala
ulama...'' Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan
beberapa hadis. Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh Abdul
Qadir, ``Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih
sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan
zina. Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah.'' Semua permasalahan riba
dibicarakan mulai hlm. 20 sampai 31. Selanjutnya disambung dengan Tanbih Haram
Menipu Daya Pada Berjual Beli. Di antara hadis yang dipetik pada perbincangan ini
terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Dan barangsiapa menipudaya ia akan
kami maka tiadalah ia daripada kami.'' (hlm. 32-41). Tidak kalah juga
pentingnya beliau memberi subjudul Tanbih Suatu Perjagaan Pada Menyatakan Hukum
Orang Yang Mengurangkan Sukatan Dan Timbangan''. (hlm. 46-49).
KETURUNAN DAN MURID
Syeikh Abdul Qadir ini sangat
besar pengaruhnya sama ada kepada masyarakat luar mahu pun kepada pihak
Kerajaan Terengganu. Sangat ramai murid beliau menjadi ulama besar dan pemimpin
kerajaan Terengganu. Daripada keturunan (zuriat) beliau demikian juga adanya.
Beliau meninggalkan anak 21 orang lelaki dan perempuan. Mereka ialah: 1. Wan
Abdur Rahim, 2. Wan Muhammad Amin, 3. Wan Muhammad Sa'id, 4. Wan Muhammad
Saleh, 5. Wan Jamilah, 6. Wan Maimunah, 7. Wan Putih, 8. Wan Hitam, 9. Wan
Khatijah, 10. Wan Maryam, 11. Wan Abdullah, 12. Wan Halimah, 13. Wan Salamah,
14. Wan Abu Bakar, 15. Wan Ahmad, 16. Wan Kaltsum, 17. Wan Abdur Rahman, 18.
Wan Aminah, 19. Wan Man, 20. Wan Salimah, 21. Wan Muda. Yang menjadi ulama dan
pembesar di Terengganu di antaranya Wan Muhammad Saleh, iaitu berpangkat Tok
Kaya Pahlawan atau Datok Sangsura Pahlawan. Cucu beliau bernama Wan Abdul Hamid
bin Wan Muhammad Sa'id bin Syeikh Abdul Qadir juga sebagai Datok Sangsura
Pahlawan.
Di antara murid Syeikh Abdul
Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah
Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin
al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad
Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan ramai lagi.
WAFAT
Syeikh Abdul Qadir bin Abdur
Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung
Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas,
Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4iI2zwBRz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan