Sabtu, 6 Mei 2017

MUHAMMAD FUAD - Diburu komunis sepanjang masa

ARKIB : 13/01/2005

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar (kanan) menyerahkan tongkat kuasa kepada Muhammad Fuad Talib sempena pengisytiharan daerah Subang Jaya, baru-baru ini.



SUATU ketika dulu, beliau cukup dibenci oleh pengganas komunis yang berkubu kuat di Perak khususnya sekitar Gerik dan Kuala Kangsar.
Apa tidaknya, sebagai pegawai polis Cawangan Khas, beliau dan anak-anak buahnya tidak pernah memberi peluang kepada militan Bintang Tiga itu mengembangkan pengaruh.
Seperti pemburu yang pulang membawa binatang untuk dimakan, mereka pula akan pulang dengan kejayaan apabila satu demi satu rahsia pergerakan bawah tanah pengganas komunis terbongkar.
Asisten Komisioner Muhammad Fuad Talib, itulah nama yang sangat ditakuti oleh komunis.
Zaman itu, Muhammad Fuad dan anak-anak buahnya memang dibenci oleh komunis kerana sering menggagalkan rancangan mereka.
Setiap inci pergerakan mereka diawasi oleh musuh. Nyawa pula bak kata pepatah - `sentiasa berada di hujung tanduk'.
Namun, Muhammad Fuad tidak patah semangat walaupun seorang demi seorang pegawai atasan dan rakan setugas maut ditembak musuh.
Antaranya ialah bekas Ketua Polis Perak iaitu mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong. Pegawai polis berwibawa ini mati ditembak pada tahun 1975.
``Saya sendiri nyaris menjadi korban komunis pada tahun 1973 tetapi cukup bernasib baik kerana kebetulan ditukarkan ke bahagian lain seminggu sebelum insiden seorang pegawai polis iaitu Inspektor Md. Zain ditembak mati,'' katanya kepada penulis semasa ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor.
Mengimbas kembali peristiwa itu, Muhammad Fuad yang kini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Subang Jaya memberitahu, seminggu selepas Md. Zain mengambil alih tugas daripadanya, beliau telah pergi membuat pemeriksaan di sebuah rumah milik seorang lelaki.
Tiba di rumah lelaki yang dipercayai anggota kumpulan bawah tanah itu, Md. Zain meminta untuk memeriksa kad pengenalannya.
Lelaki itu memasukkan tangan ke dalam beg konon mahu mengambil kad pengenalan tetapi sebaliknya mencari pistol.
Sebaik sahaja memegang pistol, dia terus mengangkat beg dan melepaskan tembakan ke arah Md. Zain.
Menyedari pegawai Cawangan Khas sering menjadi sasaran komunis, Muhammad Fuad sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada di tempat awam dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
``Saya sering menukar cara pergerakan apabila mahu pulang ke rumah atau pergi ke mana-mana untuk mengelak dikesan oleh komunis kerana khuatir mereka melakukan serang hendap.
``Sebelum masuk ke rumah pula, saya akan memeriksa sekeliling rumah beberapa kali kerana takut musuh bersembunyi,'' kata Muhammad Fuad menceritakan pengalamannya hampir 16 tahun berkhidmat dalam Cawangan Khas.
Walaupun bekerja dalam keadaan tertekan, Muhammad Fuad masih bersemangat mempertahankan keselamatan negara dengan menyalurkan seberapa banyak maklumat risikan mengenai Bintang Tiga.
Hasil risikan itu, hampir 30 anggota komunis berjaya ditawan, dibunuh atau menyerah diri terutama dari Kumpulan Unit Penggempur ke-12 dan Pasukan Kerja Bersenjata ke-6 di Air Kala, Lenggong semasa beliau berkhidmat dalam Cawangan Khas di Gerik.
Di Sauk, Kuala Kangsar pula, Muhammad Fuad berjaya membina satu rangkaian risikan yang jitu terhadap kumpulan Unit Penggempur ke-12 diketuai Lai Muk Sang sehingga terbunuhnya lima anggota kumpulan pengganas itu.
Muhammad Fuad dilahirkan pada 6 Julai 1951 di Melaka dan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai inspektor percubaan pada 10 Jun 1970 setelah tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam PDRM antaranya Pegawai Turus Ibu Pejabat Cawangan Khas, Ipoh, Perak mulai tahun 1970 hingga 1976.
Timbalan Ketua Cawangan Khas Daerah Gerik (1976 hingga 1980); Pemangku Ketua Cawangan Khas Daerah Gerik (1980 hingga 1981); Ketua Cawangan Khas Daerah Kuala Kangsar (1981 hingga 1985) dan Ketua Cawangan Khas Daerah Teluk Intan (1986 hingga 1989).
Beliau juga pernah dilantik menjadi Pengawai Turus Risik Bahagian Keselamatan Dalam Negeri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989 hingga 1996.
Selepas itu, beliau ditukarkan ke Tumpat, Kelantan sebagai Ketua Polis Daerah hingga Mei tahun lalu.
``Mulai 1 Jun hingga 31 Disember 2004, saya diberi amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (Selatan).
``Pada 1 Januari lalu, saya mencatat sejarah apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Subang Jaya pertama apabila daerah Petaling Jaya yang sebelum ini dipecahkan kepada dua bahagian, dijadikan daerah berasingan,'' katanya.
Sepanjang tempoh berkhidmat dalam PDRM, Muhammad Fuad tidak melepaskan peluang memajukan diri dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Daripada hanya memiliki STPM, beliau kini boleh berbangga apabila berjaya memperoleh Diploma Pengajian Strategi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga memiliki Diploma Lanjutan Pengajian Strategi dan Keselamatan, Diploma Sains Kepolisan serta Sarjana Sains dalam Pengajian Perancangan dan Tindakan Kecemasan.
Memiliki pengalaman yang luas dalam
Cawangan Khas, Muhammad Fuad yakin beliau mampu merealisasikan impian menyediakan persekitaran selamat kepada penduduk dan pelabur di Subang Jaya.
``Selain menjadi pusat industri utama di Malaysia, Subang Jaya juga menjadi tumpuan kerana memiliki tempat peranginan seperti The Mines Wonderland dan Sunway Lagoon serta hotel-hotel bertaraf lima bintang.
``Keselamatan harus diutamakan kerana tiada pelancong atau pelabur mahu mengunjungi tempat-tempat tersebut sekiranya persekitaran tidak aman,'' jelas Muhammad Fuad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan