Sabtu, 27 Mei 2017

Pahang cipta sejarah


ARKIB : 19/03/2005

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA TERENGGANU - Regu Pahang mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung kejohanan sepak takraw Grand Prix Kebangsaan Telekom sirkit pertama bagi kategori `dua lawan dua' apabila berjaya menewaskan Perak 2-0 di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Pahang yang membariskan pemain Ridzwal Nizam Zakaria dan Nik Azhan Nik Abdullah hanya mengambil masa 45 minit untuk membenam regu Perak yang dibarisi oleh Abdul Rahman dan Mohd. Hanafi 21-15, 21-18.

Penguasaan permainan jelas berpihak kepada regu Pahang yang berjaya mengatur bola ke gelanggang lawan hingga memaksa regu Perak bekerja keras.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu pula berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori tersebut.

Sementara itu di peringkat suku akhir GP sepak takraw kebangsaan bagi kategori berpasukan menyaksikan Terengganu menempah tempat ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0.

Regu pertama Terengganu yang dibarisi oleh Amir Zaidi, Rosmadi Abdul Ghani dan Zulhafizudin Roslan mengalahkan regu PDRM terdiri daripada Ahmad Sapri Jusoh, Shamsul Azli A.Talib dan Badrul Azli M. Ghazali dengan kemenangan 21-13, 21-16.

Regu kedua Terengganu terpaksa berhempas pulas selama 45 minit sebelum berjaya menundukkan regu kedua PDRM dengan mata 21-18, 21-19.

Selain pasukan Terengganu, pasukan ATM turut mara ke separuh akhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Sabah.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iKEfnjIo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan