ARKIB : 28/04/2005
Oleh SOPI SAMAILE
BULU romanya akan menegak
apabila mengingati kembali peristiwa diserang hendap komunis dalam hutan di
Selatan Thailand.
Pada masa itu, beliau hanya
kaku tanpa dapat berbuat apa-apa atau menyerang balas pihak musuh kerana
menyedari mereka telah dikepung.
Bila-bila masa saja peluru
boleh menebusi perut atau kepalanya, jika melakukan sebarang gerakan.
Peluh jantan semakin membasahi
mukanya dan rasa pedih serta pilu di hatinya tidak tertahan apabila melihat
wajah rakan-rakan terbujur kaku berhampiran dengannya.
Tetapi malangnya beliau tidak
dapat menghampiri mayat mereka.
``Bukan saya pengecut untuk
melawan kerana keadaan itu boleh menyebabkan sesiapa yang bergerak akan maut
bila-bila masa sahaja dan saya terpaksa mendiamkan diri selama empat jam
sebelum bantuan tiba,'' kata Detektif Koperal Abdul Halim Osman, 55, yang
bertugas di Melaka.
Menyambung ceritanya, Abdul
Halim memberitahu, dalam kejadian itu enam rakan setugasnya gugur di depan mata
dalam tragedi tahun 1973.
Pada masa itu beliau ditugaskan
menyertai Ops Topo yang turut disertai polis Thailand untuk mengawal
kerja-kerja mengukur di Selatan Thailand.
Menurutnya, sebelum melakukan
rutin harian meronda di sempadan Selatan Thailand pagi itu, keadaan anggota di
kem kediaman sementara cukup ceria.
``Seorang rakan yang rapat
dengan saya pada masa itu dikenali sebagai Ali begitu ceria sewaktu bersarapan.
``Keadaannya begitu senang hati
malah arwah Ali turut menyanyikan lagu Hai Nasi Goreng,'' ujarnya.
Beliau menambah, Ali juga pagi
itu telah bertanyakan kenapa beg miliknya dihurung semut menambahkan lagi pelik
dalam hati Abdul Halim.
Jelasnya, selesai sarapan,
mereka bersama-sama polis Thailand mula meronda pada pukul 8.30 pagi manakala
Ali berada di depan sekali.
Kira-kira 20 minit meronda,
tiba-tiba mereka diserang hendap menyebabkan orang yang pertama kena tembakan
ialah Ali.
``Selepas itu, satu demi satu
rakan saya yang lain turut tersungkur manakala tidak seorang pun polis Thailand
mati.
``Rupa-rupanya keceriaan Ali
pagi itu memberi petanda dia akan pergi jauh,'' katanya yang masih tidak dapat
melupakan kejadian tersebut setiap kali mendengar lagu `Hai Nasi Goreng'.
Abdul Halim yang dilahirkan di
Masjid Tanah, Melaka, berkata, dengan hanya memiliki Sijil Am Pelajaran (SAP)
pada tahun 1968, beliau memohon jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada
tahun 1969 dan menjalani latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis
(Pulapol) Kuala Lumpur.
Menurutnya, setelah tamat
latihan, beliau diserapkan ke Batalion 6 Pasukan Polis Hutan (Pasukan Gerakan
Am sekarang) sehingga 1975 sebelum ditugaskan sebagai detektif Cawangan Khas
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dari tahun 1976 hingga 1 Jun 1996.
Menurut Abdul Halim, beliau
juga pernah bertugas di Sibu, Bukit Siol, Sarikei dan Bintangor di Sarawak
selama tujuh tahun sewaktu masih dalam Pasukan Polis Hutan.
Sepanjang perkhidmatan dalam
pasukan polis, beliau dianugerahkan Pingat Bentara Pasukan Polis pada tahun
2002 serta Pingat Jasa Kebaktian pada tahun lalu.
Beliau bertemu jodoh dengan
isterinya Zainon Rashid, 53, dari Kampung Baru Kuala Lumpur serta dikurniakan
dua cahaya mata iaitu Norzatulifah, 25, dan Mohd. Shariman, 24.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4iQoOx4UT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan