ARKIB : 03/02/2005
Oleh: RAHMAN DAUD dan WAN
SYAMSUL AMLY WAN SAEDEY
Terpaksa `tidur berdiri',
antara kepayahan dan keperitan yang terpaksa ditempuh oleh pasukan polis ini,
sepanjang 37 hari beliau melaksanakan tugas memerangi pengganas komunis dalam
operasi besar-besaran di selatan Thailand pada tahun 1975.
Ketika itu `nyawa bagaikan di
hujung tanduk' kerana setiap langkah yang diatur pasti ada bahaya yang
menunggu.
Ini kerana selain terpaksa
menangkis peluru-peluru musuh yang menghujani anggota keselamatan negara, malah
dalam masa yang sama kealpaan dan silap langkah boleh menyebabkan mereka maut
angkara jerangkap samar yang tidak memilih mangsa itu.
Namun adat berjuang pasti ada
yang gugur dan bagi yang hidup, saat melihat rakan seperjuangan terkulai tidak
bernyawa lagi di hadapan mata menjadi igauan ngeri dan tidak akan dapat
dilupakan sehingga akhir hayat.
Bagi Sarjan Mejar Sapikin Bari,
55, pengalaman 30 tahun lalu itu begitu tersimpan kemas dalam lipatan sejarah
hidupnya.
``Wak (panggilan pada Sapikin),
saya rasa tak sedap hati dan minta maaf kalau saya pergi dahulu,'' bisik
Allahyarham Mahasan rakan seperjuangannya yang gugur dalam satu pertempuran
pada awal pagi.
Akibatnya, sehingga kini
bisikan terakhir rakannya itu masih terngiang-ngiang di telinga.
``Mahunya tidak, arwah seperti
tahu perjalanan hidupnya apabila kata-katanya itu benar-benar menjadi
kenyataan, arwah mati dihujung senjata musuh!'' ujarnya perlahan.
Apabila melihat satu demi satu
rakan perjuangan gugur ke bumi, perasaan ngeri dan ketakutan mula menyelinap
sehingga menyebabkan kata Sapikin ada anggota yang mahu perpatah dan mahu
mengundurkan diri.
``Bagaimanapun, dengan
kebijaksanaan ketua platun ketika itu beliau berjaya memulih semangat kami
kembali untuk bangkit meneruskan perjuangan,'' katanya.
Namun masih sukar bagi Sapikin
apabila raut wajahnya begitu menampakkan kesedihan mengenangkan rakan-rakan
yang terkorban dalam operasi yang menjadi titik tolak pembersihan gerakan
komunis besar-besaran di Malaya.
Sukar juga bagi Sapikin untuk
meluputkan pengalaman apabila platunnya diserang musuh ketika menjalankan
operasi di sekitar kawasan Sungai Golok.
``Serangan yang bertalu-talu
menyebabkan kami bukan sahaja terpaksa bertahan malah tidak sepicing pun mata
ini dapat dilelapkan sedangkan kami dalam keadaan yang begitu memerlukan rehat
dan tidur,'' katanya.
Sapikin bersama anggota
platunnya itu terpaksa berendam sehingga ke paras leher di dalam lubuk sungai
bagi mengelakkan serangan dari pengganas itu hampir sehari lamanya.
``Kami bukan sahaja menggigil
kesejukan kerana berendam dalam lubuk bertambah perit apabila hujan juga turun
dengan lebatnya sehingga kaki bukan sahaja menjadi kematu sejuk malah teruk
diserang dengan pelbagai jenis serangga.
``Namun hujan tersebut ada
hikmahnya, walaupun komunis begitu menggila menyerang kami tetapi akibat hujan
yang lebat ia menyukarkan pemandangan mereka untuk menembak dengan tepat!''
katanya.
Azab ketika itu sukar
sebenarnya hendak digambarkan melalui kata-kata, kata Sapikin.
``Namun demi tugas dan
keselamatan negara, kami laluinya juga supaya kematian kami tidak menjadi
penyuntik semangat kepada komunis untuk menebarkan pengaruh dan kegiatan
mereka,'' katanya.
Pengalaman ngeri berada di
hujung maut ini akhirnya mendapat perhatian oleh pihak pegawai atasan.
``Namun kami semakin insaf dan
menyedari kerana pegawai tersebut menyifatkan ketabahan kami itu sebenarnya
menjadi penyelamat negara.
Bayangkan jika kita berpaling
tadah atau menyerah diri kepada komunis, tentunya perbuatan yang sedikit itu
mampu menggadai negara kepada semakin kuatnya pengaruh komunis.
``Maka kami cukup berbangga
apabila dihargai sebegitu dan semakin semuanya tidak menjadi hal apabila
meletakkan keikhlasan di puncak perjuangan,'' katanya.
Panggilan ``Wak'' yang begitu
popular kepada Sapikin ini apabila beliau berlatar belakangkan kelahiran di
Parit 8, Sungai Leman, Sekinchan, Selangor pada 28 Mac 1950.
Sapikin menerima pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Leman sebelum melanjutkan pelajaran di
Sekolah Menengah Datuk Harun, Tanjung Karang sehingga tingkatan dua.
Beliau kemudiannya memulakan
tugas sebagai anggota polis apabila terpilih mengikuti latihan asas di Pusat
Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada tahun 1969.
Selepas tamat latihan, beliau
dihantar mengikuti latihan asas polis selama tiga bulan di Ulu Kinta, Perak dan
diserapkan ke Batalion 10 di Bukit Galing, Kuantan sehingga tahun 1978.
``Selepas itu saya ditukarkan
ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sebagai anggota tugas am dan cawangan
bilik gerakan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Sarjan,'' katanya.
Beliau juga pernah bertugas
sebagai penolong pegawai penyiasat dan anggota unit kereta peronda.
``Dari tahun 2001, saya
ditukarkan ke Balai Polis Pudu bagi menjawat jawatan penolong Ketua Polis Balai
sehingga kini,''ujarnya.
Sapikin bertemu jodoh dengan
Ramlah Mohd Yusuf, 50, pada Disember 1984 dan dikurniakan seorang cahaya mata
iaitu Noraina Safraa, 18, yang kini menuntut di Universiti Multimedia, Melaka.
Menyentuh kehidupan
sehariannya, selain gemar menonton perlawanan bolasepak, beliau juga aktif
dalam permainan sepak takraw dan pernah mewakili PDRM di dalam beberapa
pertandingan di dalam dan luar negara.
Sepanjang 35 tahun
penglibatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau akhirnya melalui
detik yang manis apabila menerima penghargaan daripada Ketua Polis Negara.
Beliau juga pernah bertugas
mengawal keselamatan dan ketenteraman di beberapa persidangan penting termasuk
Persidangan Negara-Negara Komanwel.
``Saya bangga dapat berkhidmat
dalam pasukan polis walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan cabaran
sepanjang menjalankan tugas,''katanya.
Ketika di temui oleh Wartawan
Gaya Polis, Sapikin menjalankan tugas untuk hari-hari terakhir kerana beliau
dijangka akan bersara wajib tidak beberapa lama lagi
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4gOTkHQTs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan