ARKIB : 17/02/2005
Oleh AMIR SARIFUDIN
``Ya Allah...aduh sakit...
tolong saya tuan. Kaki saya putus... sakit... tolong...,'' jerit seorang sarjan
yang terpijak jerangkap samar.
Keadaan itu menyebabkan
anggota-anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) lain tergamam.
Ada anggota yang sudah
berura-ura hendak melarikan diri kerana kawasan yang mereka lalui itu
sebenarnya dipasang jerangkap samar.
Tidak kurang juga ada anggota
yang terus `mematikan' diri dan tidak berganjak dari tempat asal.
Keadaan ketika itu hampir
kelam-kabut. Namun, Asisten Supritendan Shamsuri Abd. Rahim yang ketika itu
memimpin sepasukan PPH, masih tenang.
Kerana kepimpinannya, beliau
segera mengarahkan supaya setiap anggota tidak panik. Setiap anggota PPH
diminta mendiamkan diri seketika.
Anggota perubatan pula diarah
memberikan bantuan segera kepada mangsa berkenaan.
``Sarjan yang putus kaki itu
jaraknya di belakang saya kira-kira 100 meter.
``Ketika itu saya berada di
barisan hadapan dan baru sahaja hendak mendaki bukit.
``Tiba-tiba saya mendengar
jeritan anggota berkenaan yang terpijak jerangkap samar. Memang perasaan ketika
itu amat takut sekali.
``Ini kerana, tempat sarjan itu
terpijak jerangkap samar baru sahaja saya lalui. Tetapi kerana nasib saya baik,
orang lain pula yang terpijak,'' katanya.
Shamsuri, 56, kini baru sahaja
memulakan cuti persaraannya dan jawatan terakhir yang dipegangnya ialah sebagai
Timbalan Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) (Tatatertib) Bukit Aman dengan
pangkat Senior Asisten Komisioner II.
Menurut Shamsuri, dia kemudian
mengarahkan anggota-anggota lain `mematikan' diri dan jangan bergerak.
Shamsuri sendiri secara
perlahan-lahan kemudian berjalan mengundurkan diri untuk ke tempat anggotanya
itu terpijak jerangkap sama.
``Ketika melangkah ke belakang
itu, memang hati saya berdebar-debar. Kita tidak tahu sama ada terdapat
jerangkap samar lain di kawasan berkenaan,'' katanya.
Setelah sarjan berkenaan
diuruskan dengan bantuan perubatan, bantuan helikopter diminta untuk
mengeluarkannya dari kawasan hutan Gerik, Perak itu.
``Sarjan itu selamat, namun dia
kelihatan kaku disebabkan terpijak jerangkap samar.
``Saya bersyukur kerana
terselamat. Kawasan jerangkap samar itu saya terlebih dahulu lalui,'' katanya.
Itulah sebahagian pengalaman
yang dilalui oleh Shamsuri ketika bertugas dalam PPH sekitar akhir tahun 70-an.
Shamsuri dilahirkan di
Beranang, Selangor dan merupakan anak sulung dari tujuh beradik.
Bapanya merupakan seorang
anggota polis dan minatnya dalam pasukan polis adalah atas galakan bapa, ibu
dan datuknya.
Sebelum menjadi pegawai polis,
Shamsuri pernah bekerja dengan Fama di Butterworth, Pulau Pinang.
Beliau kemudian menyertai
latihan inspektor di Maktab Polis Kuala Kubu Baharu pada tahun 16 Jun 1969.
Diserapkan
Selepas tamat latihan, Shamsuri
terus diserapkan dalam PPH yang kini mendapat nama baru iaitu Pasukan Gerakan
Am (PGA).
Selain PPH, Shamsuri juga
pernah berkhidmat di beberapa tempat termasuk Kontinjen Selangor, PPH Ulu
Kinta, Maktab Kuala Kubu Baharu, Pulau Pinang dan banyak lagi.
Tugasnya tidak terhad dalam
negara, malah telah dipilih sebagai Ketua Kontinjen untuk berkhidmat di bawah
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mozambique pada tahun 1994.
Sepanjang karier dalam PPH,
Shamsuri juga dikenali sebagai pegawai yang mahir dalam tugas-tugas tunjuk
arah.
Tidak hairanlah beliau diberi
tanggungjawab untuk melatih anggota-anggota PPH berhubung tugas-tugas
berkenaan.
Ketika dalam PPH, beliau juga
beberapa kali menjalankan operasi dalam
pemburu pengganas komunis
bersama platun-platun lain.
Ini termasuk dalam Ops Cili
Pedas, Ops Sedar dan banyak lagi.
Operasi yang dilakukan meliputi
kawasan sempadan
Malaysia-Thailand, Sarawak, Kulim, Gerik dan Sungai Siput.
``Sepanjang berada dalam PPH,
saya agak bernasib baik kerana platun kami tidak pernah diserang hendap.
``Namun, kami berjaya melakukan
serang hendap terhadap musuh,'' katanya.
Kejayaan serang hendap oleh
pasukan itu berjaya menemui mayat beberapa pengganas komunis selain merampas
senjata api milik musuh.
Setelah beberapa jawatan dan
tempat bertugas, beliau akhirnya diberi tanggungjawab di Urusetia KPN
(Tatatertib) Bukit Aman.
Tugas di bahagian berkenaan
mula dipikul pada awal tahun 2004 sebelum beliau bercuti bersara baru-baru ini.
Sebut sahaja Urusetia KPN
(Tatatertib) Bukit Aman, mungkin ramai anggota akan memberi pelbagai tanggapan
terutama terhadap anggota serta pegawai yang bertugas di bahagian berkenaan.
Persepsi yang diberikan itu
bukan sahaja positif, malah tidak kurang juga tanggapan negatif.
Ini termasuklah tanggapan
bahawa bahagian berkenaan berfungsi untuk mencari kesalahan serta kesilapan
anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, tanggapan seperti itu
tidak lagi wujud pada masa ini. Anggota dan pegawai PDRM kini sudah masak dan
memahami tugas-tugas urusetia berkenaan.
Banyak fungsi serta peranan
Urusetia KPN (Tatatertib) antaranya untuk memantau disiplin serta peranan anggota
dan pegawai polis.
``Ia juga bagi membersihkan
imej serta nama anggota dan pegawai polis yang sering menerima tohmahan liar
dan tidak berasas dari orang-orang tidak bertanggungjawab ekoran tindakan tegas
polis terhadap kegiatan jenayah,'' kata Shamsuri.
Jika dulu Urusetia KPN
(Tatatertib) dianggap sebagai `menyusahkan` tetapi kini ia sudah berubah sama
sekali.
Shamsuri telah berusaha
menjadikan bahagian itu sebagai lebih mesra dengan sering berganding rapat
dengan anggota-anggota dalam pasukan.
Keadaan itu meletakkan Urusetia
KPN (Tatatertib) kini lebih disenangi oleh setiap anggota dan pegawai PDRM.
Setiap hari ada sahaja aduan
diterima dari anggota dan pegawai polis berhubung masalah mereka.
``Ketika bertugas di bahagian
ini, kita tidak boleh meletakkan setiap aduan yang diterima seolah-olah seratus
peratus menyalahkan anggota-anggota polis.
``Kita mesti siasat dengan
teliti. Anggota atau pegawai yang diadu juga mesti diberi peluang membela diri.
``Pendekatan yang diambil oleh
bahagian ini tidak sekali-kali bertujuan menganiaya mana-mana pihak.
``Sebaliknya, bahagian ini
adalah pembela kepada pasukan,'' katanya mengakhiri perbualan.
Shamsuri yang mendirikan rumah
tangga dengan isteri tersayang, Mirhayatun Khayani Sarwani, 52, kini mempunyai
tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4huYupFZt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan