ARKIB : 12/05/2005
Oleh RAHMAN DAUD
ANAK-anak Hashim Mohd Saman
melawati Balai Polis Sungai Kob, Kedah.
``NYAWA kami bagai telur di
hujung tanduk apabila diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan
tembakan tanpa henti.
``Bunyi tembakan bertalu-talu
tanpa mengenal erti kemanusiaan membuatkan kami sekeluarga dan tiga keluarga
lain ketakutan malah ketika itu ramai penduduk sedang bersiap untuk menunaikan
solat Jumaat kira-kira pukul 11 pagi.''
Tembakan yang mengerikan itu terus-menerus
menembusi dinding berek serta Balai Polis Kuala Kob, Kulim, sekitar tahun 1951.
Hanya doa kepada Tuhan sahaja
keluar daripada mulut anggota dan keluarga polis yang berlindung di bawah berek
polis.
Bagi Koperal Hashim Mohd Saman,
beliau menganggap pengganas komunis yang hadir pada hari itu seolah-olah
sengaja mencari maut.
Beliau tanpa berlengah
mengarahkan anggota keluarganya menyembunyikan diri melalui lubang rahsia dan
terus bergegas ke balai untuk berdepan dengan pengganas terbabit.
Ketika itu, terdapat empat
rakannya sedang berbalas tembakan dengan kira-kira 20 hingga 30 pengganas
komunis yang diketuai orang-orang kanan Chin Peng.
Tanpa mengira berapa jumlah
pengganas komunis, beliau terus mencapai senapang dan melepaskan tembakan bertalu-talu.
``Bapa saya sungguh geram
dengan tindakan komunis malah demi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan
rakan-rakan lain, dia bertekad supaya pengganas itu mesti dihapuskan walau
dengan apa cara sekali pun.
``Keadaan itu bertambah cemas
apabila talian telefon sudah dipotong pengganas menyebabkan bantuan tidak dapat
dihantar.
``Walaupun ada rakan-rakan bapa
saya telah terkorban, namun semangat anggota lain tidak pernah luntur malah
bapa saya sendiri semakin bersemangat untuk menghapuskan pengganas komunis itu.
``Keadaan yang berlarutan lebih
sejam itu akhirnya berjaya dibantu oleh sekumpulan anggota polis dari Balai
Polis Kulim setelah orang kampung pergi meminta bantuan,'' katanya.
Pengalaman itu diceritakan
sendiri oleh anak Allahyarham Koperal Hashim Mohd. Saman iaitu Mohamad Hashim.
Mohamad turut terbabit dalam
insiden tersebut yang ketika itu baru berumur lima tahun.
Mohamad juga masih dapat
mengingatkan setiap detik peristiwa yang berlaku. Semuanya menjadi lipatan
sejarah dalam hidupnya hingga kini.
Mohamad menceritakan bahawa
Allahyarham bapanya ada membuat panggilan kecemasan melalui wayarles ke Balai
Polis Kulim tetapi malangnya pegawai Inggeris yang mengetuai balai berkenaan
enggan mempercayai kerana mana ada pengganas komunis berani menyerang balai
polis pada siang hari.
Hampa
Hampa dengan tindakan pegawai
itu, Allahyarham Koperal Hashim bertekad mempertahankan Balai Polis Sungai Kob
hingga ke titisan darah terakhir.
``Biar apa yang akan terjadi,
balai ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja kepada pengganas komunis.
``Setiap tubuh bintang tiga
yang berhasrat mendekati balai ini akan dipastikan tersungkur di hadapan balai.
``Mungkin nasib kami lebih baik
apabila beberapa penduduk telah pergi ke Balai Polis Kulim yang terletak
beberapa kilometer untuk melaporkan kejadian yang berlaku,'' ujarnya.
Bagaimanapun, pasukan bantuan
daripada Balai Polis Kulim yang tiba turut diserang hendap oleh pengganas
komunis sebelum sampai ke Balai Polis Sungai Kob.
Tindakan pantas konvoi polis
bersama pegawai Inggeris itu akhirnya berjaya menghalau pengganas komunis ke
dalam hutan.
Pengganas komunis sebelum itu
telah menyerang pos-pos polis dan balai polis di Sungai Ular, Serdang, Junjong
dan Sungai Terap.
Malah lebih daripada itu,
apabila Ketua Polis Kedah/Perlis yang berbangsa Inggeris mati dibunuh komunis
dalam serang hendap di Gunung Jerai, Kedah dan Ketua Polis Malaya terakhir,
Datuk Fanner turut terbunuh.
Sebelum itu, dua anggota Balai
Polis Sungai Kob maut apabila ditembak semasa mereka keluar meronda di kawasan
Sungai Kob.
Semua ini menyuntik semangat
membara Allahyarham Hashim untuk menghapuskan pengganas komunis.
``Selepas itu, bapa saya telah
ditukarkan ke Balai Polis Kulim yang mempunyai anggota lebih ramai.
``Semasa berada di situ, saban
bulan saya dapat melihat beberapa anggota polis terbunuh ditembak komunis.
``Malah lebih menyedihkan
apabila menyaksikan anak dan isteri mereka menangis mengenangkan nasib setelah
suami masing-masing terbunuh,'' jelasnya.
Dua tahun kemudian, Allahyarham
Koperal Hashim ditukarkan ke Balai Polis Selayang, Damansara, Kepong, Jinjang,
Sungai Pelong, Kepong, Sungai Besi, Salak dan Cheras hinggalah bersara pada
tahun 1972 sebagai seorang sarjan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1976.
Pada awal pembabitannya,
Allahyarham adalah seorang anggota `Jungle Squad' yang pernah menembusi hutan
belantara Klian Intan menuju Sintok selama tiga bulan kerana memburu pengganas
komunis bersama platun seramai 32 anggota yang diketuai seorang pegawai
Inggeris.
Apabila tamat operasi, mereka
pulang ke balai masing-masing dalam keadaan kurus kerana kekurangan makanan
hingga tidak dikenali keluarga masing-masing.
Begitulah gigih dan kental
semangat pergorbanan ditaburi kepada masyarakat demi mewujudkan keamanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4iTu04hmA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan