Sabtu, 27 Mei 2017

Sepaktakraw cipta sejarah



ARKIB : 17/03/2005

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN


Pemain ATM melakukan servis dalam acara regu dua pemain pada Kejohanan Sepaktakraw GP Kebangsaan Sirkit 1, Terbuka Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU - Kejohanan Sepaktakraw Grand Prix (GP) Kebangsaan Telekom 2005 yang bermula di sini semalam mencipta sejarah tersendiri apabila saingan double atau regu dengan dua pemain dipertandingkan buat kali pertama secara rasmi di negara ini.

Pengenalan kategori tersebut yang dibuat selepas undang-undang baru sepak takraw diluluskan oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) baru-baru ini, mendapat sambutan apabila sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian.

Naib Presiden II Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dr. Mohammad Omar berkata, pertandingan double itu adalah tarikan baru kepada sukan tersebut yang sejak dahulu lagi dimainkan dengan tiga pemain dalam satu regu.

``Kejohanan GP kali ini buat pertama kalinya menampilkan dua lawan dua. Saya berharap ia menjadi titik tolak ke arah memajukan lagi sukan sepak takraw dalam bentuk baru ini.

``Kami percaya kejohanan ini mampu mengukur sejauh mana pasukan yang bertanding mampu menguasai acara dua lawan dua di dalam sukan sepak takraw,'' katanya kepada Sukan Utusan di sini, semalam.

Dr. Mohammad berkata, kategori double itu akan diteruskan pada dua kejohanan akan datang iaitu yang akan dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hinggalah peringkat GP akhir di Kota Kinabalu pada bulan November depan.

Bagaimanapun, seperti biasa aksi berpasukan dengan tradisi tiga pemain seregu terus menjadi tumpuan pada kejohanan yang diadakan di Stadium Negeri di sini.

Naib juara tahun lalu, ATM mudah melepasi saingan Pahang dalam Kumpulan B apabila menang 3-0, manakala Kuala Lumpur menang dengan keputusan sama ke atas Melaka.

Selangor yang diperkuatkan dua bekas pemain kebangsaan, Ahmad Jais Baharom dan Suhaimi Yusof mengalahkan PDRM dengan kemenangan selesa 3-0 dalam Kumpulan C.

Pulau Pinang yang turut berada di dalam kumpulan itu, menang ke atas Kedah 2-1.

Negeri Sembilan pula menumpaskan pendatang baru, Labuan 3-0 manakala Johor tunduk di tangan Sabah 2-1 dalam Kumpulan D.

Kejohanan hari pertama turut menyaksikan saingan seimbang di antara semua pasukan berikutan pemain kebangsaan tidak dibenarkan mewakili pasukan masing-masing kali ini kerana sedang menjalani latihan pusat untuk menghadapi Sukan SEA akan datang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iIcp4DK0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan