Isnin, 29 Mei 2017

Diserang komunis - Mayat rakan di temui bersama cebisan daging



ARKIB : 05/05/2005

Oleh ANGELINA SINYANG
 
BUNYI letupan dan kocakan air yang sayup-sayup kedengaran dari sungai pada pagi itu, betul-betul merunsingkan fikiran Konstabel Hamidon Ismail.

``Kuat sungguh... entah apa yang meletup sampai boleh kedengaran berpuluh-puluh kilometer dari khemah aku ni.

``Komunis menyerang ke? Tapi serang siapa,'' berkali-kali soalan itu muncul di kepala Hamidon.

Namun apabila melihat kawasan sekeliling tenang sahaja, pantas Hamidon menghapuskan perasaan curiga yang bersarang di kepalanya.

Beliau takut memikirkan yang bukan-bukan kerana mengenangkan mereka berada di tengah hutan Banding, Gerik, Perak iaitu kubu kuat komunis.

Masuk tengah hari, Hamidon mula mengesyaki sesuatu apabila dua `botman' (anggota polis bertugas memandu bot) yang sepatutnya menghantar bekalan makanan ke kem mereka tidak sampai-sampai seperti dijadualkan.

Bimbang memikirkan keselamatan `botman' terbabit, Hamidon dan pasukannya bertindak melancarkan operasi mencari.

Mereka mula syak bunyi letupan yang kedengaran pagi itu kemungkinan mempunyai kaitan dengan kehilangan kedua-dua anggota berkenaan.

``Tengah khusyuk mencari, kami tiba-tiba terkejut apabila melihat suatu benda seakan-akan tubuh manusia tersangkut dalam air.

``Dahsyatnya... masing-masing mengucap sebaik sahaja terpandang dua mayat mengerikan itu.

``Berdasarkan cebisan pakaian dan bangkai bot ditemui di tempat kejadian, sah mereka adalah `botman' yang sedang dicari,'' kata Hamidon sebak apabila mengimbas kembali tragedi hitam berlaku tahun 1970-an itu.

Hati siapa tidak terharu melihat rakan setugas dibunuh oleh musuh tanpa perikemanusiaan.

Mayat kedua-dua `botman' terbabit hampir tidak dikenali kerana hilang banyak anggota badan termasuk mata akibat terkena bom dan dimakan ikan.

Tubuh mereka yang sudah kembung akibat terendam lama dalam air diangkat beramai-ramai.

Mayat mereka kemudian dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan pada hari yang sama.

``Rupa-rupanya semasa dalam perjalanan menghantar bekalan makanan, kedua-dua anggota itu telah diserang hendap oleh komunis.

``Pengganas dipercayai sudah lama menunggu kerana menyangka pasukan kami akan melalui kawasan tersebut,'' katanya sambil memberitahu `botman' berkenaan tidak bernasib baik kerana sampai dulu ke situ sebelum mereka.

Semasa kejadian itu, Hamidon masih berusia 20-an dan baru menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun pengalaman pahit tersebut tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang menentang musuh demi kesejahteraan negara tercinta.

Tahun silih bertukar, Hamidon kini berusia 55 tahun dan sudah pun berpangkat Sarjan Mejar (SM).

Sejak 1 November 1998 hingga sekarang, beliau memikul tugas sebagai SM Pentadbiran Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Namun sebelum itu, beliau pernah beberapa kali bertukar jawatan kerana dinaikkan pangkat tetapi paling lama berkhidmat dalam Pasukan Komando 69.

``Saya diterima menjalani latihan konstabel di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada 8 Jun 1969 iaitu selepas berlaku peristiwa 13 Mei.

``Tamat latihan, saya dihantar menjalani kursus di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan di Ulu Kinta, Perak,'' katanya.

Kehidupan mencabar sebagai anggota polis mula dirasai sebaik sahaja beliau memulakan tugas di Batalion 6 Pasukan Polis Hutan (PPH) Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 28 Oktober 1969.

Latihan

Tiga tahun bertugas di situ, beliau dihantar menyertai latihan asas Komando 69 di Fort Legap dan Fort Kemar, Perak.

Hamidon juga bertuah kerana dipilih menjalani latihan dengan Skuad Tindakan Khas (SAS) British.

Kursus-kursus disertai ini meman-tapkan lagi ilmu pengetahuan beliau dalam pasukan Komando 69.

Justeru, tidak hairanlah apabila beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan penting dalam pasukan elit tersebut.

Antara jawatan disandangnya ialah anggota letupan, pembantu patrol komando, jurulatih Komando 69 dan penyelia perubatan Komando 69.

Selain pengalaman pahit, banyak juga kenangan manis dikumpul oleh Hamidon sepanjang 26 tahun berkhidmat dalam pasukan Komando 69.

Dan sudah semestinya kenangan tersebut hidup segar dalam ingatannya sehingga kini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_05.htm#ixzz4iSp6weVV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan