Jumaat, 5 Mei 2017

Samaon - Berkaki ayam jejaki komunis

ARKIB : 18/12/2004

MEMBACA kisah perjuangan beliau menentang pengganas komunis seperti yang tercatat dalam buku Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuatkan kita mengagumi akan keberaniannya.
Namun, mendengar sendiri kisah itu dari mulut beliau membuatkan kita insaf dan menghargai erti kemerdekaan dan kemakmuran yang negara kecapi kini.
Di sebalik keberanian serta kejayaan beliau, pelbagai pahit-getir terpaksa ditempuhi.
Beliau sanggup menggadai nyawa demi tugas dan kesetiaan kepada negara.
Mejar (B) Samaon Ahmad, 57, ketika itu bertugas sebagai pegawai risik tentera (MIO) di Sarawak sekitar awal 1970-an.
Keadaan di Bumi Kenyalang pada waktu itu, iaitu antara tahun 1971 hingga 1974 berada pada tahap kemuncak keganasan Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP).
Serang-hendap oleh NKCP di jalan raya dan sungai sering menghantui setiap anggota pasukan keselamatan.
NKCP yang mempunyai kekuatan kira-kira 3,000 anggota menggunakan hutan belantara di Kalimantan Barat sebagai laluan keluar-masuk ke Sarawak semasa melancarkan serangan.
Wilayah Divisyen Ketiga telah diisytihar kawasan darurat dengan tertubuhnya Markas Keselamatan Rajang (Rascom).
Sebagai MIO, Samaon memiliki segala maklumat subversif termasuk senarai anggota NKCP yang paling dikehendaki.
Setiap pergerakan mereka sentiasa dalam pengawasannya.
Malahan, beliau mendapat maklumat bahawa dirinya sendiri turut diperhati oleh unit risik NKCP sehinggakan nombor pendaftaran keretanya ada dalam rekod mereka.
Perkara tersebut membuatkan beliau perlu berwaspada setiap masa.
Beliau terpaksa berpakaian awam dan membawa senjata ke mana sahaja.
``Tugas sebagai MIO telah mengubah corak hidup saya.
``Kalau memandu ke sesuatu tempat, saya tidak akan melalui jalan yang sama semasa pulang kerana takut diserang-hendap dan sentiasa memerhatikan siapa yang mengekori di belakang,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menceritakan semula tugasnya sebagai MIO, Samaon berkata, Operasi (Ops) Jemput yang beliau sertai merupakan misi khas yang paling sukar dilupakan serta paling berbahaya.
Ia digelar Ops Jemput kerana objektifnya adalah untuk mendesak pengganas komunis supaya meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Sasarannya adalah saki-baki anggota tersebut yang berpangkalan di Indonesia.
Operasi berkenaan berlaku dari bulan Ogos 1971 hingga Mac 1972 di mana Samaon masih berpangkat Leftenan.
Misi beliau adalah menangkap hidup-hidup pemimpin tertinggi salah satu unit penggempur NKCP di dalam sebuah kem terbesar NKCP.
Kem yang dinamakan Kompleks Martinus itu terletak di dalam hutan tebal bergunung-ganang di sebelah timur Nangga Marakai, Kalimantan Barat.
Ia mampu memuatkan 300 orang, lengkap dengan tempat latihan dan kawasan bercucuk-tanam.
Menurut Samaon, kedudukannya begitu strategik dan mempunyai satu sahaja laluan keluar-masuk dengan berjalan kaki dan tidak dapat dilihat dari udara.
``Kedudukannya seolah-olah diapit oleh dua buah gunung. Cuba bayangkan sebuah lembah di mana Gunung Tahan dan Gunung Korbu berada di kiri-kanan.
``Tempatnya cukup cantik umpama di alam kayangan. Kem tentera yang paling cantik pernah saya lihat,'' kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini.
Perjalanan ke situ pula memakan masa berhari-hari.
Disebabkan kem tersebut terletak di Indonesia, maka Tentera Nasional Indonesia (TNI) juga terlibat dalam operasi itu.
Perjanjian
Samaon memberitahu, terdapat akta dalam perjanjian sempadan yang membenarkan kedua-dua negara melakukan operasi ketenteraan di negara jiran dalam keadaan-keadaan tertentu.
Sebagai contoh jelasnya, TNI dibenarkan beroperasi dalam Malaysia sekiranya musuh yang diburu di Indonesia memasuki negara ini, begitu juga sebaliknya.
Mengimbas kembali operasi tersebut, Samaon berkata, beliau mengetuai sepasukan tentera elit seramai 12 orang daripada Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM), Rejimen Pasukan Komando Angkatan Darat (RPKAD) TNI serta anggota NKCP yang berpaling tadah dan menjadi perisik.
Lebih membanggakan Samaon, beliau merupakan pegawai ATM pertama mengetuai pasukan komando dari dua negara berbeza.
Sebelum memulakan operasi, Samaon dan pasukannya terpaksa berlatih berjalan kaki dalam hutan belantara Kalimantan Barat tanpa memakai but selama tiga bulan.
Latihan itu penting kerana mereka akan berkaki ayam untuk mara ke Kompleks Martinus supaya tidak meninggalkan jejak yang boleh dikenali anggota NKCP.
``Jejak but akan membolehkan komunis bersiap-sedia menyembunyikan diri kerana tahu akan kehadiran pasukan tentera.
``Sekiranya ini berlaku, sudah pasti Ops Jemput tidak akan berjaya,'' jelasnya lagi.
Hampir sepanjang siang dan malam selama tiga hari mereka meredah hutan dengan berkaki ayam.
Tiba hari keempat, Samaon terjumpa `tanda' yang menunjukkan kedudukan kem semakin hampir.
Pada masa itu, jam menunjukkan pukul 5.00 petang.
Beliau terus mengarahkan tiga anggotanya untuk meninjau ke hadapan.
Dua jam kemudian, pasukan peninjau kembali dan mengesahkan bahawa kem musuh terletak tidak jauh.
``Pengganas komunis biasanya berehat pada waktu petang sehingga malam setelah melakukan aktiviti harian.
``Kita mudah mengesan kedudukan musuh dalam gelap menerusi cahaya api masakan dan bunyi percakapan serta aktiviti mereka,'' jelasnya.
Beliau mengambil keputusan bermalam di situ.
Pada malam itu juga, beliau membuat model lokasi kem musuh di dalam khemah dan mengatur strategi serta memberikan tugasan kepada setiap anggota pasukannya sebelum tidur.
Pukul 4.00 pagi keesokan harinya, mereka sudah bangun serta bersiap.
Tepat jam 5.00 pagi, mereka bergerak untuk memulakan operasi.
Sebaik tiba di lokasi, mereka membentuk formasi `L' menghadap kem musuh.
Di sebelah kiri Samaon adalah pasukan RGKM dan di kanan pula RPKAD, manakala beliau bersama perisik di tengah-tengah.
Kedudukan mereka dipisahkan oleh sebatang anak sungai.
Tepat jam 6.00 pagi, mereka dapat mendengar siaran radio.
``Saya tahu dengan tepat pukul berapa ketika itu kerana ada siaran berita dari negara China setiap jam 6.00 pagi.
``Kami juga dapat mendengar setiap perbualan mereka kerana kedudukan kami begitu dekat dengan kem musuh,'' kata Samaon.
Semasa menunggu itu juga, salah seorang musuh menuju ke arah sungai untuk membuang air dan memberus gigi.
Namun, Samaon membiarkan sahaja kerana dimaklumkan oleh perisik bahawa musuh tersebut bukannya orang yang mereka cari.
Setelah hampir sejam, mereka mula gelisah kerana musuh yang dikehendaki tidak juga muncul.
Mereka mula merasa tertekan kerana terlalu lama menunggu.
Mereka tidak berupaya untuk merapati lebih hampir ke kem kerana terdapat sungai.
Untuk melintas sungai pula sudah pasti akan dilihat musuh.
Oleh kerana keletihan, Samaon pun berdiri.
Ketika berdiri, tiba-tiba beliau melihat di hadapannya terpacak seorang komunis.
Jarak mereka cukup hampir iaitu kira-kira lima meter dan mereka bertentang mata tanpa melakukan sesuatu akibat terkejut.
Pistol
Di pinggang pengganas komunis itu terselit sepucuk pistol dan Samaon pasti orang itu adalah ketua yang dicari-cari.
Menurut beliau, hanya ketua yang menggunakan pistol.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat meluru untuk menangkapnya kerana dipisahkan oleh sungai.
Ketika itu juga beliau melihat komunis itu cuba mengambil pistolnya.
Sepantas kilat juga Samaon membidik senjatanya ke arah musuh dan menembak.
Dalam keadaan kelam-kabut itu beliau tidak menyedari bahawa kunci keselamatan senjata jenis M16nya berada pada keadaan automatik.
Maka berhamburan beberapa das tembakan mengenai musuh yang kemudiannya rebah lalu mati.
Ketua musuh tersebut sebelum itu sempat membalas dua das tembakan ke arahnya tetapi tersasar.
Bunyi tembakan Samaon menyebabkan anggota-anggota komunis yang lain di dalam kem dan pasukan tentera berbalas tembakan.
Pertempuran itu berpihak kepada tentera.
Hasil penggeledahan, mereka mendapati sebanyak tiga anggota komunis berjaya dibunuh termasuk ketuanya.
Mengikut tradisi RPKAD, musuh yang dibunuh akan dipenggal kepalanya untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, sebagai menghormati perisik yang merupakan bekas anggota NKCP, Samaon menghalang perbuatan tersebut.
Mereka juga berjaya menemui semula sepucuk raifal jenis SLR milik ATM.
Raifal itu dirampas oleh komunis dalam satu serang-hendap di Batu Lintang dalam Divisyen Kedua berhampiran Sri Aman sebelum itu.
Walaupun misi menangkap ketua musuh hidup-hidup tidak tercapai, namun hasil serangan itu berjaya melumpuhkan kegiatan NKCP di Kalimantan Barat.
Unit-unit kecil NKCP di hutan Kalimantan Barat kemudiannya memindahkan pangkalan mereka ke Sarawak ekoran operasi tersebut sehinggakan kawasan tersebut bebas sepenuhnya daripada kegiatan komunis.
Bagaimanapun, Sameon menganggap kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat banyak pihak terutama Ketua MIO Sarawak, Mejar Maulud Maamin; Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Datuk Sri Yuen Yuet Leng; Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Hassan Salleh dan Panglima Korem 12 TNI, Kolonel Kadarusno yang berpengkalan di Sintang, Kalimantan Barat.
Di atas keberanian luar biasa yang ditunjukkan dalam Ops Jemput, Samaon dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Yahya Petra Ibrahim di Istana Negara pada 6 Jun 1973.
Kerjaya Samaon dalam tentera bermula setelah ditauliahkan sebagai pegawai dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1968.
Bapa kepada empat orang anak ini bersara pada tahun 1986 setelah berkhidmat lebih 18 tahun dalam ATM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan