ARKIB : 16/02/2005
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Timbalan
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pelajaran, Datuk Dr.
Ahamad Sipon dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru mulai hari
ini.
Pelantikan Ahamad, 54, bagi
menggantikan Tan Sri Abdul Rafie Mahat yang bersara pada 31 Disember lalu
diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.
Hishammuddin berkata, Ahamad
merupakan calon yang paling sesuai memegang jawatan tersebut berdasarkan
pengalaman luas beliau dalam kementerian.
``Saya berharap dengan
pelantikan ini, Ahamad akan menggunakan ilmu serta pengalaman yang ada untuk
bersama-sama memajukan bidang pendidikan di negara ini sehingga menjadi yang
terbaik di dunia.
``Di samping itu, diharap
beliau juga dapat meneruskan usaha ke arah memperkasakan sekolah kebangsaan,
memartabatkan profesion perguruan dan merapatkan jurang antara sekolah bandar
dan luar bandar,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahamad yang dilahirkan pada 15
Julai 1951 berkecimpung dalam dunia pendidikan tanah air selama hampir 30
tahun.
Beliau berkelulusan Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti of Adelaide, Australia.
Beliau melanjutkan pelajaran
sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Sains dan Ijazah Kedoktoran (Pendidikan
Teknik dan Vokasional) dari Virginia Polytechnic Institute and State University
serta mengikuti kursus Advanced Management Programme di Harvard Business
School, Amerika Syarikat.
Ahamad memulakan kerjaya dalam
bidang pendidikan sebagai Pensyarah Politeknik Ungku Omar pada 1975, Pengetua
Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan (1984) dan Politeknik Batu Pahat (1987).
Pada 1989, beliau dilantik
Ketua Penolong Pengarah Unit Kurikulum, Pengarah Bahagian Pengurusan Politeknik
(1997) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (1999) sebelum menjawat
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Teknikal sejak 2000.
Sementara itu, Ahamad yang
dihubungi hari ini menyifatkan pelantikan itu sebagai tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan sebaik mungkin.
``Ia adalah satu tugas yang
diamanahkan untuk mempertingkatkan mutu pembelajaran dan memartabatkan
profesion perguruan negara,'' katanya.
Menurutnya, segala amanat dan
dasar-dasar kementerian akan diteruskan bagi memastikan masa depan pelajar dan
pendidik berada di tahap yang membanggakan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm#ixzz4gy9JIkde
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan