Sabtu, 6 Mei 2017

Bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang meninggal dunia

ARKIB : 21/01/2005
PULAU PINANG 20 Jan. - Bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, meninggal dunia di Hospital Loh Guan Lye hari ini setelah menghadapi masalah komplikasi jantung ekoran penyakit buah pinggang yang dihidapinya.
Hamdan, 84, bekas TYT keenam, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.40 petang ini selepas 21 hari dimasukkan ke hospital iaitu sejak 30 Disember lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Siti Zainab Baharuddin dan tiga orang anak iaitu Dr. Siti Khadijah, 47, Siti Aishah, 45 dan Tahiruddin, 35 serta empat cucu.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Negeri pada pukul 11 pagi esok selepas solat sunat Aidiladha sebelum dikebumikan di Masjid Jalan Zoo, Air Hitam dekat sini.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Jambul di sini pukul 5 petang dan disambut oleh beberapa orang ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham.
Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah Allahyarham berkata, negara kehilangan seorang tokoh khususnya dalam bidang pendidikan di Pulau Pinang dan Malaysia amnya.
``Sepanjang perkhidmatan sebagai TYT di Pulau Pinang, beliau merupakan antara TYT paling lama berkhidmat iaitu selama 12 tahun,'' katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, atas permintaan ahli keluarga Allahyarham, kerajaan negeri tidak akan mengadakan sebarang majlis khas sebagai penghormatan terakhir kepada beliau.
Antara kenamaan yang hadir menziarahi beliau ialah beberapa Exco kerajaan negeri yang lain.
Allahyarham yang dilahirkan dalam keluarga ulamak terkenal iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin, memulakan perkhidmatan dalam kerajaan sebagai Guru Siswazah di Sekolah Cliiford Kuala Kangsar selepas lulus dalam peperiksaan Normal Class Teacher Training Course pada 1947.
Pada 1955, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di Universiti Malaya di Singapura dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan sekembalinya beliau ke tanah air Hamdan dilantik sebagai Pegawai Pelajaran di Kementerian Pelajaran pada tahun 1956.
Ketika memangku jawatan itu, Allahyarham ditugaskan untuk menyelaras sekolah menengah khususnya penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Datuk Abdul Razak dan Sekolah Tun Fatimah sehingga tahun 1957.
Allahyarham juga dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Bermula tahun 1963, Allahyarham dilantik sebagai Pengawal Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan Malaysia sehingga 1966 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menggantikan Aminuddin Baki sehingga beliau bersara pada tahun 1976.
Hamdan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pada tahun 1976 dan berkhidmat selama enam tahun sehingga 1982.
Pada tahun 1982, Allahyarham telah dilantik sebagai wakil tetap Malaysia dan duta di UNESCO di Paris, Perancis dari tahun 1982 hingga 1985.
Sekembalinya ke tanah air, Hamdan telah dilantik sebagai TYT pada 1 Mei 1989 dan dilantik sebagai Canselor Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pada 1 Ogos 1993.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan