Sabtu, 6 Mei 2017

Pengunduran taktikal - Selamatkan Osman dan rakan-rakan

ARKIB : 08/01/2005

OSMAN Sharif (kanan) bersama penerima-penerima Pingat Gagah Berani ketika diraikan pada satu majlis baru-baru ini.



``SEMUANYA berlaku secara kebetulan,'' kata bekas tentera Pegawai Waran 1, Osman Sharif menceritakan insiden pertempuran dengan pengganas komunis di Hutan Simpan Kinta yang membawa kepada penganugerahan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada beliau.
``Secara kebetulan ketua seksyen yang sepatutnya pergi menyertai operasi bersama Batalion Rejimen Renjer Diraja Keempat (4 RRD) jatuh sakit dan saya diarah menggantikannya.,'' ujarnya mengenang peristiwa awal sebelum terbabit dalam pertempuran yang turut mengorbankan nyawa ketua operasi Kapten Mohana Chandran.
Osman merupakan salah seorang lima anggota Tiga Rejimen Peninjau terpilih menyertai operasi bersama 4 RRD di kawasan Ulu Kinta pada Jun 1971.
Selain itu, kata Osman, senjata M79 yang digunakan menyelamat beliau dan empat lagi anggota dipinjam daripada Renjer Bolhi.
Dalam pertempuran itu Renjer Bolhi bersama pasukan mendiang Chandran. Sebelum berpecah, ketua pasukan Osman, Leftenan Muda Donald sempat meminta senjata M79 daripada Bolhi selepas mendapat kebenaran daripada mendiang Chandran.
Bagaimanapun Osman menjelaskan, di sebalik semua kebetulan itu, segalanya tidak akan berjaya sekiranya beliau tidak dilengkapi pengetahuan mengenai strategi pertempuran dan kemahiran menggunakan senjata.
``Tanpa semua itu saya tidak tahu bagaimana menghadapi saat genting itu. Pertama ketika bertindak mengambil keputusan berundur secara taktikal dan kedua menggunakan senjata M75 yang begitu sensitif,'' ujarnya yang telah menamatkan perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1985.
Mengimbau kembali peristiwa itu beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada hari kelima operasi.
Seperti dirancang, pada pagi 13 Jun 1971 dengan kekuatan 15 anggota dan dua Agen Khas Kerajaan (SGA), mereka keluar dari pangkalan sementera dekat Sungai Kending membuat rondaan menjejak kedudukan musuh.
Pasukan tersebut dibahagi tiga kumpulan. Kumpulan pertama diketuai Kapten Mohana Chandran, kumpulan kedua diketuai Leftenan Muda Donald dan ketiga oleh Korperal Musa.
Dalam rondaan itu kumpulan Musa diarahkan mengambil kedudukan menjadi kumpulan penyekat dan bersedia melakukan serang hendap di pertengahan jalan.
Osman menyertai kumpulan Donald yang turut disertai Renjer Zainal, Renjer Nordin dan Renjer Khasim Awang.
Kumpulan Osman bergerak dahulu di mana Osman merupakan anggota yang paling kebelakang.
Selepas beberapa jam meronda, Osman melihat kelibat Bolhi yang kemudiannya mengarahkan kumpulan Osman kembali ke satu kawasan.
Di situ, mendiang Chandran menunggu untuk menyampaikan taklimat ekoran daripada kejayaan menjumpai denai musuh.
Selesai menyampaikan taklimat mendiang Chandran menghubungi markas batalion memaklumkan perkembangan dan memberitahu bahawa serangan akan dilakukan selepas makan tengah hari.
Selesai makan tengah hari, kumpulan Osman yang diketuai Donald diarah bergerak ke sebelah kanan manakala kumpulan Chandran mengikuti denai pengganas di sebelah kiri.
Tembakan
``Kami bergerak sehingga ke kaki bukit di sebelah tepi kedudukan khemah pengganas. Kami hanya bersedia kerana sebelum bertolak mendiang Chandran ada berpesan bahawa serangan hanya akan dimulakan dengan tembakan beliau.
``Sampai sahaja di kaki bukit, tembakan telah kedengaran. Pertempuran bermula. Mula-mula dengar mesingan. Kemudian raifal buatan sendiri.
``Kami cuba untuk menembak tetapi masih belum berada pada kedudukan sesuai. Keadaan bukit yang curam menyebabkan tembakan menjadi sia-sia.
``Oleh kerana kehadiran kami masih belum diketahui, kami cuba merapati kawasan itu dengan bergerak lebih kehadapan.
``Kami cuba lagi tetapi bukit itu terlalu curam dan bahaya kerana pada 20 meter terakhir kawasan itu lapang. Semua lalang sudah ditebas.
``Apabila kehadiran kami diketahui kami mula ditembak. Peluru berterbangan atas kepala. Meletup-letup kedengaran apabila terkena pokok.
``Berdasarkan tembakan itu, kami tahu mereka ramai. Kami tidak mampu bangun atau mengangkat kepala. Kami juga sukar untuk berundur kerana telah berada di dalam zon maut atau killing zone,'' cerita Osman.
Pada saat genting itu, kata Osman, Donald bertanyakan kepada beliau tindakan yang perlu dilakukan.
``Berdasarkan kursus taktik yang dipelajari, kalau musuh lebih, berada pada kedudukan strategik, kita tidak boleh menyerang. Kalau serang kita sebenarnya membunuh diri.
``Paling sesuai ialah berundur secara taktikal. Serentak itu saya meminta M79 daripada Zainal. Saya memberitahu sebaik sahaja saya melepaskan tembakan, mereka perlu segera turun menyelamatkan diri,'' jelasnya.
Menurut Osman, senjata M79 sangat sensitif tetapi amat berkuasa dan sesuai untuk digunakan dalam keadaan genting itu.
``Peluru macam bom 40mm. Kalau berada lima meter keliling, boleh mati dan ia boleh mendatangkan bahaya dalam lingkungan 25 meter.
``Ia juga cukup sensitif kerana selepas ditembak, sistem peletupnya telah hidup walaupun baru bergerak sejauh lima meter.
``Ini bermakna kalau terkena sebarang objek walaupun daun ia boleh meletup. Ini yang paling ditakutkan kerana kita bimbang senjata makan tuan. Oleh itu hanya pegawai atau anggota tertentu dibenarkan menggunakan senjata itu,'' ujarnya lagi.
Menurut Osman, menerima senjata itu beliau melepaskan dua das tembakan. Sebaik tembakan pertama dilepaskan, tembakan musuh yang tadi mencurah-curah datang berhenti seketika dan ia digunakan oleh Donald dan dua lagi anggota melompat berlari ke kawasan lebih selamat.
``Tiba di kawasan selamat, mereka pula memberi tembakan perlindungan bagi membolehkan saya dan Zainal keluar daripada zon maut itu,'' katanya.
Menurut Osman, setelah keluar dari tempat berkenaan, kira-kira pukul 6 petang mereka bergerak menuruti lereng bukit sehingga ke bahagian belakang kedudukan musuh yang sedang bertempur dengan kumpulan mendiang Chandran.
``Tempat berkenaan kami jangka akan digunakan musuh mengundur diri. Kami bersedia tetapi tidak ada musuh berundur menggunakan laluan itu.
``Pagi esok, sedang kami mencari jalan keluar kami bertemu satu kumpulan penyelamat 4 RRD yang kemudiannya memberitahu bahawa Kapten Chandran telah gugur,'' katanya.
Menurut Osman, atas tindakan berani dan inisiatif itu dan setelah disokong pihak atasan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dianugerahkan PGB.
Beliau menerima pingat tersebut pada 22 Mac 1975 di Kem Sungai Besi.
Sebelum mencapai pangkat tertinggi Pegawai Waran 1 yang melayakkan beliau menjawat jawatan Sarjan Mejar Rejimen, Osman pernah bertugas sebagai jurulatih kadet di Maktab Tentera Diraja
Beliau menamatkan perkhidmatan bersama ATM setelah 24 tahun berkhidmat.
Kini beliau meneruskan kehidupan melakukan kerja-kerja kampung di Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan