Rabu, 31 Mei 2017

PKM letak senjata pengalaman tidak dapat dilupakan



ARKIB : 30/06/2005

Oleh: YUSRI SAHAT

``SAYA dilahirkan sebagai seorang pejuang,'' demikian kata-kata Ketua Polis Perlis, Datuk Ali Hanafiah yang menceritakan pengalamannya sepanjang 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Meskipun pada dasarnya peranan utama anggota polis ialah membanteras jenayah namun ia sedikit berbeza dengan tanggungjawab dimainkan oleh anak kelahiran Alor Star, Kedah ini.

Sepanjang penglibatan, tugasannya lebih menjuruskan kepada keselamatan negara walaupun tanggungjawab membanteras jenayah tidak pernah diketepikan.

Pelbagai peristiwa yang menjadi sejarah hitam negara termasuk di peringkat antarabangsa menyaksikan Ali sebagai antara `pelakonnya'.

Dengan semangat juang tinggi yang ada padanya, kudrat beliau sentiasa diperlukan bagi menghapuskan sebarang bentuk gerakan mengancam keselamatan negara.

Dari segi penampilan, lagak Ali lebih terserlah sebagai seorang anggota tentera walaupun berada dalam pasukan polis.

Menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya, Ali yang berpangkat Senior Asisten Komisioner I (SAC I) dilahirkan di Simpang Empat, Alor Star pada 2 Julai 1949.

Berbekalkan kelulusan Senior Cambridge, beliau menyertai perkhidmatan PDRM pada 16 Jun 1969 dan terus diberi tanggungjawab komander platun Pasukan Polis Hutan (PPH) di Pengkalan Chepa, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

Dalam usia muda, beliau memimpin 42 anggota menggempur kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di perbatasan Malaysia-Thailand.

Sebagai ketua pasukan gempur, tugas tersebut memerlukan semangat juang amat tinggi terutama pada saat-saat kritikal yang memerlukan satu keputusan pantas.

Antara gerakan itu termasuk Gerakan Hentam, Gerakan Sedar, Gerakan Chaiyo, Gerakan Kota Echo dan Gerakan Setia.

Beliau kemudian diserapkan dalam pelbagai cawangan seperti Pegawai Risik PPH, Kompeni Komander PPH, Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Pegawai Pendakwa, Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Perak dan Timbalan Komander Briged Utara PPH Perak dan Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sabah.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah undang-undang Pusat Latihan Polis (Pulapol) beberapa tahun lalu.

Menurut Ali, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah peristiwa peletakan senjata PKM di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989.

Dalam peristiwa tersebut, beliau yang ketika itu memegang jawatan Komander PPH di Perak antara pihak terlibat sebagai orang tengah dalam proses meletakkan senjata itu.

``Saya antara pihak yang memudahkan cara serta menguruskan proses peletakan senjata PKM,'' katanya ketika ditemui di Padang Besar baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut bertindak sebagai pengajar kepada bakal pegawai pemerintah Batalion PPH ketika menjadi Komandan Sekolah Latihan Asas Pasukan Polis Hutan (SLPPH) di Keroh, Perak.

Kejayaannya menjalankan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar sekali lagi diperlukan untuk melatih para pegawai PDRM untuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja, Afrika Selatan, Timor Leste dan Bosnia Herzegovina.

Difahamkan bahawa kurikulum dan bentuk latihan untuk misi pengaman PBB yang diamalkan sekarang merupakan hasil idea Ali sendiri.

Pada 1997-1998, beliau sendiri dipilih sebagai Komander Kontinjen PDRM untuk misi pengaman di Bosnia Herzegovina.

Ketika itu, beliau dipertanggungjawabkan merangka latihan peralihan untuk pasukan polis tempatan daripada menggunakan dasar-dasar sosialis kepada polisi demokratik yang diguna pakai oleh negara-negara Komanwel.

Beliau seterusnya dilantik Komander Kawasan Banja Luka dan mengetuai pasukan pengaman sehingga tertangkapnya Perdana Menteri Serbia, Slobadan Milosevic dan Presidennya, Beljana Karasvic.

Di atas sumbangan besarnya di negara bergolak itu, beliau dianugerahi Pingat PBB oleh Setiausaha Agung pertubuhan itu, Kofi Annan.

Sekembali dari Bosnia Herzegovina pada tahun 1999, Ali dilantik Ketua Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau dilantik Ketua Polis Perlis pada September 2004.

Sepanjang sembilan bulan berkhidmat, namanya terus harum apabila Perlis diisytiharkan negeri paling rendah kadar jenayah dengan catatan satu atau dua kes sehari.

Namun, persaraannya bermula 2 Julai ini akan menyebabkan PDRM kehilangan seorang anggota berjiwa pejuang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4ig0LQzON
© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluru sejengkal dari kepala



ARKIB : 30/06/2005

Oleh: AMIR SARIFUDIN

``Pergi ke sekolah tanpa duit saku mahupun membawa bekalan bagi mengalas perut, ia sesuatu yang kerap dan sudah menjadi rutin kehidupan saya.

``Semua ini kerana kemiskinan keluarga. Namun, saya tidak pernah merungut atau meminta dari keluarga mahupun rakan-rakan sekolah.

``Saya dapat melupakan kelaparan yang ditanggung sepanjang berada di sekolah. Untuk itu saya akan bermain bersama rakan-rakan bagi melupakan kemiskinan hidup,'' kata Ketua Balai Polis Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Sarjan Mejar Noordin Othman, 48, ketika memulakan perbualan.

Dilahirkan di Kampung Simpol Besar, Tikam Batu, Kedah, beliau merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

``Saya kemudian memohon jawatan konstabel walaupun masih belajar di tingkatan lima. Ketika itu saya hendak ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali kedua.

``Walaupun saya melalui temuduga tetapi semua itu saya rahsiakan daripada keluarga.

``Apabila tiba masa hendak menjalani latihan konstabel, barulah saya maklumkan,'' katanya.

Ibu dan bapa Noordin terpaksa akur dengan kehendak anak mereka mahu memilih kerjaya polis.

Beliau mula menyertai pasukan polis pada Jun 1977 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Noordin kemudian diserapkan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH).

Ketika dalam PPH, beliau pernah kehilangan rakan setugas yang terbunuh setelah terpijak jerangkap samar.

``Ketika itu rakan saya, Tan, hendak memasang jerangkap samar. Tanpa disedari kawasan itu juga ada jerangkap samar pengganas komunis.

``Rakan saya itu mati setelah terkena jerangkap samar,'' katanya.

Satu lagi pengalaman menarik berlaku ketika Noordin menyertai operasi dalam hutan belantara bersempadankan Perak-Thailand.

Ketika itu beliau bersama rakannya ditugaskan menjejaki kesan pengganas komunis.

``Ketika sedang menjejaki itu, tiba-tiba saya terdengar bunyi dua das tembakan.

``Saya berada di sebelah pokok ketika itu. Dua tembakan itu hanya sejengkal dari kepala saya dan tersasar pada pokok berkenaan.

``Saya bernasib baik tetapi terkejut,'' katanya menceritakan pengalaman berkenaan.

Kegagalan komunis menembak anggota polis itu menyebabkan pengganas berkenaan melarikan diri.

``Memang nyawa saya masih panjang kalau tembakan itu tepat, tak tahulah apa yang berlaku,'' katanya.

Bagi Noordin, ketika dalam PPH, hubungan anggota dan pegawai amat erat sekali.

``Ketika saya tidur dalam hutan, rakan lain akan jaga keselamatan saya.

``Begitu juga sebaliknya, apabila rakan lain tidur, saya pula menjaga mereka.

``Keadaan ini menyebabkan kami bagaikan satu keluarga. Makan, minum dan bergerak bersama. Memang sukar mencari suasana erat dan persahabatan yang amat akrab ketika dalam PPH yang kini ditukar namanya kepada Pasukan Gerakan Am,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_04.htm#ixzz4ifxuASMr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pijak jerangkap samar tulang tumit pecah


 

ARKIB : 30/06/2005
Pijak jerangkap samar tulang tumit pecah

Oleh: YAP LEE YING
MEMANTAU tugas anggota bawahan di Balai Polis Tanjong Karang menjadi keutamaan Husin Mohd. Sultan (kiri) bagi memastikan orang ramai mendapat layanan terbaik.

Parut pada tumit kakinya masih jelas kelihatan. Kesakitan dan kepedihan menahan sakit akibat terkena jerangkap samar ketika mengetuai pasukan peninjau Ops Ukur di sempadan Thailand masih segar di ingatan Sub Inspektor Husin Mohd. Sultan yang kini bergelar Ketua Balai Polis Tanjong Karang, Selangor.

``Tulang tumit kaki saya pecah terkena jerangkap samar pengganas komunis.

``Sepanjang malam saya terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit yang diberi pasukan perubatan Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Thailand disebabkan kegagalan helikopter untuk mendarat.

``Disebabkan kesakitan teramat sangat, saya hanya mampu meraung dan berjaga semalaman sebelum diterbangkan ke Hospital Alor Setar dan kemudian Hospital Kuala Lumpur (HKL),'' jelas beliau.

Berikutan kecederaan dialami, Husin telah ditukarkan ke Balai Polis Jeram, Kuala Selangor sebagai anggota Tugas Am pada tahun 1979.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi anggota peninjau Batalion 5 PPH, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur selama 10 tahun meninggalkan kesan amat mendalam kepadanya.

Peranan beliau diibaratkan sebagai nadi kepada pergerakan dua platun yang dianggotai 60 anggota.

``Setiap langkah dan keputusan yang diambil membabitkan nyawa pasukan dan rakan-rakan seperjuangan.

``Justeru, kemahiran dan latihan yang didedahkan sebelum ini perlu dipraktikkan dengan sebaik mungkin,'' ujar Husin yang mendapat Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 8 Jun 1969.

Kecekalan beliau dalam Ops Ukur di sempadan negara membuatkan Husin yang dilahirkan di Kelebang Besar, Melaka kental menghadapi ancaman komunis sepanjang perkhidmatan dalam PPH.

Pada tahun 1973, semangat juang Husin teruji apabila beliau bertembung dengan sepasukan komunis di Sarikei, Sarawak.

``Kira-kira lima orang daripada mereka membawa pam gun melalui kawasan tanaman lada hitam.

``Apabila ternampak pasukan PPH yang kebetulan meronda di kawasan tersebut, mereka terus melarikan diri ke rumah panjang berdekatan,'' kata Husin.

Keadaan dan komuniti rumah panjang yang padat membantutkan usaha memburu.

Justeru, ibu pejabat polis terpaksa menghantar kira-kira 50 anggota Pasukan Khas sebagai bantuan memberkas kumpulan komunis berkenaan.

Husin memberitahu, komunis di Sarawak dan Sabah kurang agresif sekiranya dibandingkan di Semenanjung Malaysia.

Sepanjang perjuangan menghapuskan pengganas komunis, Husin yang bakal bersara penghujung tahun ini tidak menafikan perasaan sedih menyelubungi diri apabila melihat rakan-rakan seperjuangan gugur dalam pertembungan dengan komunis sebelum ini.

Malah, tempoh 36 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuatkan beliau lebih menghargai erti setia kawan dan kesepakatan dalam menjalankan tugas seharian.

Apabila berbicara mengenai bidang tugasnya kini, Husin tidak menafikan ia banyak dipengaruhi pengalaman serta pembabitan beliau dalam PPH.

Dalam PPH, setiap pergerakan operasi memerlukan tahap kecekapan optimum.

``Di samping semua kerja dilakukan dengan tangan, pergerakan yang diatur perlu tepat dan cepat.

``Sekiranya tidak, ia akan meletakkan nyawa pasukan dalam bahaya dan risiko termasuk perangkap musuh seperti jerangkap samar dan sebagainya,'' kata beliau.

Walaupun begitu, beban memikul jawatan sebagai ketua balai turut memberi keunikan tertentu.

Ketua balai dianggap sebagai nadi kepada kehidupan masyarakat sekitar.

Berasaskan aspek terbabit, ketua balai wajib mengambil tahu setiap perkara yang berlaku beserta jalan penyelesaiannya.

``Ini termasuk kes pergaduhan rumah tangga, perebutan harta antara adik-beradik, kemalangan dan lain-lain,'' kata Husin yang hanya sempat merasai kasih sayang kedua ibu bapanya ketika berumur 12 tahun.

Ketika di bangku sekolah, Husin yang kini dikurniakan enam cahaya mata, pernah mengambil upah sebagai pemotong rumput dan pembancuh minuman di kedai-kedai makan sekitar kampung.

Di samping itu, kegagalan beliau melepasi saringan peringkat pertama temuduga PDRM turut menggerakkan hatinya untuk menjadi peraih ikan di kampung kelahirannya.

Bagaimanapun, nasib Husin yang kini bertemu jodoh dengan seorang guru, Sarimah Mohd. Noor, 43, berubah apabila dipanggil menjalani temuramah selepas tragedi 13 Mei 1969.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4ifvT3IzB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 29 Mei 2017

Semangat kental - Pertahan balai polis diserang komunis



ARKIB : 12/05/2005

Oleh RAHMAN DAUD
ANAK-anak Hashim Mohd Saman melawati Balai Polis Sungai Kob, Kedah.


``NYAWA kami bagai telur di hujung tanduk apabila diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan tembakan tanpa henti.

``Bunyi tembakan bertalu-talu tanpa mengenal erti kemanusiaan membuatkan kami sekeluarga dan tiga keluarga lain ketakutan malah ketika itu ramai penduduk sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat kira-kira pukul 11 pagi.''

Tembakan yang mengerikan itu terus-menerus menembusi dinding berek serta Balai Polis Kuala Kob, Kulim, sekitar tahun 1951.

Hanya doa kepada Tuhan sahaja keluar daripada mulut anggota dan keluarga polis yang berlindung di bawah berek polis.

Bagi Koperal Hashim Mohd Saman, beliau menganggap pengganas komunis yang hadir pada hari itu seolah-olah sengaja mencari maut.

Beliau tanpa berlengah mengarahkan anggota keluarganya menyembunyikan diri melalui lubang rahsia dan terus bergegas ke balai untuk berdepan dengan pengganas terbabit.

Ketika itu, terdapat empat rakannya sedang berbalas tembakan dengan kira-kira 20 hingga 30 pengganas komunis yang diketuai orang-orang kanan Chin Peng.

Tanpa mengira berapa jumlah pengganas komunis, beliau terus mencapai senapang dan melepaskan tembakan bertalu-talu.

``Bapa saya sungguh geram dengan tindakan komunis malah demi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan rakan-rakan lain, dia bertekad supaya pengganas itu mesti dihapuskan walau dengan apa cara sekali pun.

``Keadaan itu bertambah cemas apabila talian telefon sudah dipotong pengganas menyebabkan bantuan tidak dapat dihantar.

``Walaupun ada rakan-rakan bapa saya telah terkorban, namun semangat anggota lain tidak pernah luntur malah bapa saya sendiri semakin bersemangat untuk menghapuskan pengganas komunis itu.

``Keadaan yang berlarutan lebih sejam itu akhirnya berjaya dibantu oleh sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Kulim setelah orang kampung pergi meminta bantuan,'' katanya.

Pengalaman itu diceritakan sendiri oleh anak Allahyarham Koperal Hashim Mohd. Saman iaitu Mohamad Hashim.

Mohamad turut terbabit dalam insiden tersebut yang ketika itu baru berumur lima tahun.

Mohamad juga masih dapat mengingatkan setiap detik peristiwa yang berlaku. Semuanya menjadi lipatan sejarah dalam hidupnya hingga kini.

Mohamad menceritakan bahawa Allahyarham bapanya ada membuat panggilan kecemasan melalui wayarles ke Balai Polis Kulim tetapi malangnya pegawai Inggeris yang mengetuai balai berkenaan enggan mempercayai kerana mana ada pengganas komunis berani menyerang balai polis pada siang hari.

Hampa

Hampa dengan tindakan pegawai itu, Allahyarham Koperal Hashim bertekad mempertahankan Balai Polis Sungai Kob hingga ke titisan darah terakhir.

``Biar apa yang akan terjadi, balai ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja kepada pengganas komunis.

``Setiap tubuh bintang tiga yang berhasrat mendekati balai ini akan dipastikan tersungkur di hadapan balai.

``Mungkin nasib kami lebih baik apabila beberapa penduduk telah pergi ke Balai Polis Kulim yang terletak beberapa kilometer untuk melaporkan kejadian yang berlaku,'' ujarnya.

Bagaimanapun, pasukan bantuan daripada Balai Polis Kulim yang tiba turut diserang hendap oleh pengganas komunis sebelum sampai ke Balai Polis Sungai Kob.

Tindakan pantas konvoi polis bersama pegawai Inggeris itu akhirnya berjaya menghalau pengganas komunis ke dalam hutan.

Pengganas komunis sebelum itu telah menyerang pos-pos polis dan balai polis di Sungai Ular, Serdang, Junjong dan Sungai Terap.

Malah lebih daripada itu, apabila Ketua Polis Kedah/Perlis yang berbangsa Inggeris mati dibunuh komunis dalam serang hendap di Gunung Jerai, Kedah dan Ketua Polis Malaya terakhir, Datuk Fanner turut terbunuh.

Sebelum itu, dua anggota Balai Polis Sungai Kob maut apabila ditembak semasa mereka keluar meronda di kawasan Sungai Kob.

Semua ini menyuntik semangat membara Allahyarham Hashim untuk menghapuskan pengganas komunis.

``Selepas itu, bapa saya telah ditukarkan ke Balai Polis Kulim yang mempunyai anggota lebih ramai.

``Semasa berada di situ, saban bulan saya dapat melihat beberapa anggota polis terbunuh ditembak komunis.

``Malah lebih menyedihkan apabila menyaksikan anak dan isteri mereka menangis mengenangkan nasib setelah suami masing-masing terbunuh,'' jelasnya.

Dua tahun kemudian, Allahyarham Koperal Hashim ditukarkan ke Balai Polis Selayang, Damansara, Kepong, Jinjang, Sungai Pelong, Kepong, Sungai Besi, Salak dan Cheras hinggalah bersara pada tahun 1972 sebagai seorang sarjan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1976.

Pada awal pembabitannya, Allahyarham adalah seorang anggota `Jungle Squad' yang pernah menembusi hutan belantara Klian Intan menuju Sintok selama tiga bulan kerana memburu pengganas komunis bersama platun seramai 32 anggota yang diketuai seorang pegawai Inggeris.

Apabila tamat operasi, mereka pulang ke balai masing-masing dalam keadaan kurus kerana kekurangan makanan hingga tidak dikenali keluarga masing-masing.

Begitulah gigih dan kental semangat pergorbanan ditaburi kepada masyarakat demi mewujudkan keamanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4iTu04hmA
© Utusan Melayu (M) Bhd