Oleh HAIKAL RAMAN
alat ini dipercayai dicipta ketika zaman Belanda dan dikatakan sudah berusia kira-kira 300 tahun.
BUTANG baju Melayu berona perak mutiara itu dipasang teratur bagi merapikan kolar, kain pelekat diikat kemas pada bahagian pinggang agar tidak terlucut. Kopiah lusuh gabungan nuansa kelabu dan biru elektrik yang terletak elok di para rumah pantas dicapai.
Tubuh genit berkulit kuning langsat itu tadi berjalan laju merentas senja yang mula melabuhkan tirai petang menuju ke Masjid Kampung Hulu, Melaka. Walaupun masjid yang menjadi peninggalan zaman pemerintahan Belanda itu hanya terletak kira-kira 100 meter, dia tetap ingin tiba awal.
Belum sempat mengambil nafas yang tercungap akibat berjalan terlalu deras, Mansor Mohd. terus mencapai pinggan untuk meletakkan hidangan yang terbaris kemin beralas tikar mengkuang di lantai masjid. Makanan tersebut merupakan juadah iftar yang disedekahkan oleh penduduk setempat.
Mengarah ke satu sudut pekarangan masjid, dia bersama lima lagi rakannya bersedia menyaksikan satu tradisi lama yang menyemarakkan lagi semangat Ramadan pada hemat peribadinya.
Mendongak 45 darjah menghadap langit, terletak sebuah beduk lama yang menjadi panduan waktu bagi masyarakat Muslim sekitar kawasan tersebut. Saat siak mengetuk beduk bersama irama keramatnya, seakan-akan satu perasaan menerpa pada tubuh sehingga membuatkannya kekal kaku.
“Paluan itu melahirkan satu perasaan yang luar biasa dan sukar untuk digambarkan secara jelas. Malah, jika diamati dengan teliti, melodinya mampu memberi keinsafan.
“Pada saya, Ramadan tidak akan lengkap tanpa bunyi pukulan beduk bagi menandakan waktu berbuka puasa. Walaupun ia adalah cerita zaman kanak-kanak saya, bunyinya masih segar dalam ingatan,” ujar Mansor, 77, yang mula mengimbau saat beduk dijadikan media komunikasi kepada penduduk sekitar 70 tahun lalu.
Mansor menjelaskan, pada waktu itu, beduk berfungsi sebagai instrumen penghubung tradisional bagi kegiatan ritual keagamaan dan perkhabaran. Ia biasanya dibunyikan untuk memberitahu sudah masuk waktu solat selain menyampaikan berita kematian.
“Ketika itu, kami tidak mempunyai gajet pintar yang membolehkan mengetahui waktu solat dan berkomunikasi terus menggunakan panggilan telefon bagi memaklumkan sebarang kecemasan,” ujarnya sambil meraut wajah yang mula mengedut.
Bertanya tentang gaya paluan, dia memberitahu, terdapat perbezaan bunyi antara waktu solat dan kematian. Beduk akan dipukul dengan kadar singkat bagi menandakan waktu solat. Sementara ketukan yang lebih lama untuk menandakan kematian, perkara tersebut sudah menjadi maklum oleh penduduk setempat.
Apabila solat Jumaat, beduk tersebut akan dipukul sebanyak tiga kali iaitu pada pukul 11 pagi, 12 tengah hari dan waktu Zohor. Bilangan tersebut dilakukan sebagai persediaan untuk masyarakat di situ agar tidak leka untuk hadir ke masjid.
Dua misalan tersebut memberi ilustrasi tentang kegunaan beduk dalam proses komunikasi masyarakat desa, khususnya di Kampung Hulu, Melaka pada satu ketika dahulu dan masih relevan sehingga kini.
Beduk yang terletak di anjung masuk dan menjadi salah satu ikonik di masjid tersebut turut diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Malaysia.
Pembuatan
Beduk yang terletak di anjung Masjid Kampung Hulu, merupakan satu-satunya beduk masih berfungsi di Melaka.
Sementara itu, sudah lebih separuh abad menjadi siak di Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abd. Kadir, 65, memberitahu, beduk itu diperbuat daripada pokok balak jenis berurat yang dipotong sepanjang dua meter. Untuk mendapatkan bentuk silinder berongga dengan ketebalan kira-kira lima sentimeter (sm), ia perlu dipahat pada bahagian tengah.
Di bahagian depan mulut pula akan ditutup menggunakan kulit kambing dewasa setebal syiling 50 sen. Proses tersebut mengambil masa kurang daripada sebulan mengikut pada kehalusan dan ketelitian kerja.
“Beduk ini dibuat dengan cara tradisional seperti pemasangan kulit menggunakan kayu pasak, manakala alat pemukul diperbuat daripada kayu rotan tebal berukuran 30sm.
“Instrumen ini dipercayai dihasilkan oleh orang Melayu ketika membangunkan Masjid Kampung Hulu bersama beberapa kumpulan kapitan pada tahun 1728. Ia seusia dengan masjid ini iaitu kira-kira 300 tahun,” ujarnya yang memikul tanggungjawab sebagai tukang beduk selepas arwah datuknya meninggal dunia.
Kata Abdullah, beduk berkenaan tidak memerlukan penjagaan yang rumit kerana permukaan kayunya sudah disyelek rata supaya tahan lebih lama. Dia hanya naik ke anjung yang mempunyai lapan anak tangga itu sekali seminggu untuk menyembur beduk dengan air sebelum dilap menggunakan kain bersih.
Cuma, kulit yang dipalu itu lazimnya akan ditukar lima tahun sekali akibat terkoyak. Ia turut diselenggara kerana ingin mengekalkan bunyi yang kuat dan mengelakkan paluan menjadi sumbang ketika beduk diketuk.
Tambahnya, beduk tersebut tidak dibenarkan untuk dibawa keluar mahupun dipinjam. Ini kerana, pihaknya ingin memastikan khazanah negara itu sentiasa terpelihara dan berada dalam kondisi yang baik.
Penyelidik
Disebabkan nilai sejarah yang terkandung dalam instrumen lama itu, terdapat ramai penyelidik yang bertandang ke masjid tersebut untuk membuat kajian mengenainya.
Ia lebih menjurus pada persoalan arkeologi dalam mengetahui kesan saintifik peninggalan alat berkenaan.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa beduk lama mempunyai ‘nyawa’ dan perkara-perkara mistik di sebaliknya. Namun, jelas Abdullah, tiada perkara aneh yang pernah berlaku sepanjang dia menjaga harta tinggalan warisan itu.
Bagaimanapun, tidak sembarangan orang boleh mengetuk beduk tersebut. Jika tidak serasi pada individu, bunyi iramanya turut akan sumbang.
“Pernah seorang pemuda cuba untuk mengetuk beduk ini selepas mengakui sudah biasa dengan kaedah irama paluan. Pada ketika itu, dia ingin mengejutkan penduduk kampung untuk bangun bersahur.
“Apabila diketuk beduk ini, iramanya seperti bunyi gendang perayaan kaum Hindu dan langsung tidak kuat. Malah, tidak seorang pun mendengar paluan itu meskipun rumah yang terletak berdekatan masjid,” ujarnya penuh sinis.
Jelas lelaki berkulit cerah itu, bunyi paluan beduk berkenaan mampu kedengaran hingga ke Kampung Moten yang terletak sejauh tiga kilometer dari masjid berkenaan.
Dia turut berkongsi bahawa hanya Masjid Kampung Hulu yang masih meneruskan tradisi penggunaan beduk di kota Melaka.
“Walaupun ia dilihat tidak relevan untuk terus diaplikasikan pada masa kini, namun saya berpendapat ia amat penting sebagai peninggalan sejarah budaya dan penempatan khususnya di sini,” katanya yang kini mencari dan mahu melatih mana-mana anak muda berminat untuk mengetuk beduk.
Dalam pada itu, seorang kakitangan kerajaan, Mohd.Azwan Hamdan, 29, berkata, dia menyambut murni usaha mana-mana pihak dalam mengekalkan tinggalan sejarah yang dilihat kian pudar dek arus pemodenan ini.
“Bagi saya ia adalah sesuatu perkara yang bagus sekiranya ingin memperkasakan semula kebudayaan lama. Sebagai generasi melinia, ramai anak muda mengambil enteng dalam mengenali sejarah mahupun warisan nenek moyang termasuk beduk lama.
Kesatuan hati
Salah satu fungsi instrumen lama itu adalah memaklumkan tentang kematian yang berlaku di sesebuah kampung. – Gambar hiasan
“Penggunaan beduk lama itu mampu melahirkan kesatuan hati setiap individu lantas mengharmonikan penduduk di sesuatu kawasan. Ini kerana, paluan instrumen itu memanggil masyarakat setempat untuk berkumpul bagi menyertai majlis-majlis yang mulia seperti solat berjemaah,” katanya.
Walaupun terlepas daripada zaman paluan beduk, dia mempunyai usaha dalam menjejak peninggalan sejarah dan warisan alat tersebut ketika bekerja di kota Jelapang Padi beberapa tahun lalu.
“Namun begitu, saya tidak menolak pembangunan teknologi yang merentas dunia, sebaliknya mereka perlu mengetahui asal-usul dan setidak-tidaknya mempunyai rasa ingin ambil peduli tentang perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Hulu, Melaka baru-baru ini.
Dia yang melahirkan rasa terkilan itu berkata, sikap lewa tersebut ekoran terhakisnya nilai kemelayuan dalam diri setiap remaja yang terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Tidak dapat menjajah melalui fizikal, mereka lancarkan serangan psikologi sekali gus melunturkan semangat cintakan warisan.
“Saya menyarankan agar ‘orang lama’ yang mempunyai kemahiran mahupun kepakaran dalam apa jua nilai budaya dan tradisi bangsa itu, diwariskan kepada generasi muda. Usaha itu sedikit sebanyak dapat membantu menghidupkan legasi ini daripada terus lenyap,” ujarnya penuh kobar.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0702&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ejMLfMcs Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan