ARKIB : 02/01/2006
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA lengkap Tuan Kisa-i
ialah Syeikh Muhammad Amrullah Tuanku Abdullah Saleh. Beliau inilah yang
melahirkan dua orang tokoh besar di dunia Melayu. Yang seorang ialah anak
beliau sendiri, Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah. Dan yang seorang lagi
ialah cucu beliau, Syeikh Abdul Malik Karim Amrullah. Cucunya sangat terkenal
walaupun tanpa melalui pendidikan tinggi formal dan diberi gelaran Professor
Doctor (Prof. Dr.). Cucunya itu lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka atau
nama mesra yang dipanggil orang, Buya Hamka.
Saya sempat bertemu Buya Hamka
pada Februari 1971 di rumahnya di Kemayoran Baru, Jakarta. Selain hampir semua
karangan beliau sempat dibaca, saya juga berpeluang mendengar ucapan lisan
beliau secara berdepan.
Apabila kita menyelusuri
karakter ketiga-tiga mereka, bermula dengan perjuangan datuk (Tuan Kisa-i),
ayah (Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah) dan cucu (Buya Hamka) secara global
dalam penyebaran Islam, kita akan menemui persamaan.
Walau bagaimanapun, pegangan
dalam pemahaman dan langkah-langkah perjuangan mereka terdapat
perbezaan-perbezaan yang begitu ketara. Tuan Kisa-i tetap mengamal Thariqat
Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i
sama dengan pegangan Kaum Tua, tetapi pada zaman beliau istilah Kaum Tua
dan Kaum Muda belum tersebar luas.
Anak beliau, Syeikh Haji Abdul
Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam
perjuangan Kaum Muda. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan
Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan taqlid, tetapi lebih
cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh.
Buya Hamka sukar dinilai orang,
kerana dalam beberapa tulisan kadang-kadang mengecam Kaum Tua, kadang-kadang
membenarkannya. Demikian halnya dengan Kaum Muda. Bahkan dalam penilaian
tasawuf,
Buya Hamka adalah bersifat
sederhana. Buya Hamka sebagai seorang ilmuwan perlu ditempatkan pada tempat
baik dan bijak, namun tidak dapat dinafikan ada golongan Kaum Tua
menyetujuinya di tengah-tengah ramai ulama yang mengecam beliau. Demikian
halnya pihak Kaum Muda lebih ramai yang menyetujuinya terutama setiakawan
dalam satu organisasi Muhammadiyah. Sungguhpun demikian, pihak Kaum Muda ada
juga yang tidak bersetuju dengan jalan pemikiran Buya Hamka.
Asal usul
Artikel ini tidak memfokuskan
kepada Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah dan Buya Hamka tetapi menjurus
kepada kisah Tuan Kisa-i atau Syeikh Muhammad Amrullah yang lahir pada malam
Khamis 6 Rejab 1256 H/4 September 1840 M. Beliau wafat pada 1327 H/1909 M.
Sebagaimana telah disebut di atas, nama ayahnya ialah Tuanku Abdullah Saleh.
Tuanku Abdullah Saleh digelar Tuanku Syeikh Guguk Katur dan digelar juga
Ungku Syeikh Tanjung. Beliau ialah seorang alim murid Abdullah Arif. Abdullah
Arif digelar juga dengan nama Tuanku Pariaman dan Tuanku Nan Tuo di Koto
Tuo, IV Koto.
Buya Hamka menulis, yang didengar
daripada ayahnya, tentang Tuanku Abdullah Saleh: Kata ayah saya: Engku
Syeikh Suku Tanjung atau Tuanku Guguk Katur itu adalah seorang ulama yang
sangat besar perhatiannya kepada Ilmu Tasawuf sehingga kitab Hikam Ibnu
'Athaillah beliau hafal di luar kepala. Beliau pun seorang cerdik ahli adat,
sehingga bukan saja urusan agama yang ditanyakan orang kepada beliau, bahkan
juga urusan adat. Tambah ayahku pula: Pelajaran Imam al-Ghazali tentang
khalawat sangat termakan oleh beliau Tuanku Syeikh Guguk Katur atau Engku Suku
Tanjung itu. Lantaran itu beliau lebih suka berkhalawat di suraunya di Guguk
Katur. (Lihat Ayahku cetakan ketiga, Djajamurni, Jakarta, 1963, hlm. 46.)
Selanjutnya Buya Hamka menulis,
Kepada murid yang soleh inilah tertarik hati gurunya Tuanku Syeikh Pariaman,
sehingga setelah anaknya Siti Saerah menjadi gadis remaja, beliau ambillah
Tuanku Suku Tanjung itu menjadi menantu. (Lihat Ayahku, hlm. 46-47.)
Daripada petikan di atas dapat
disimpulkan bahawa kedua-dua belah pihak, sama ada daripada pihak ibu mahupun
daripada pihak ayah, Syeikh Muhammad Amrullah adalah ulama dan tokoh yang
terkenal dalam masyarakat. Datuk beliau, atau ayah ibunya, Abdullah Arif atau Tuanku
Pariaman atau Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo, IV Koto adalah salah seorang yang
menyebarkan Islam di beberapa tempat di Minangkabau dan merupakan pahlawan yang
gigih melawan Belanda dalam Perang Paderi yang dipimpin oleh Tuanku Imam
Bonjol.
Hendaklah diperhatikan bahawa
Abdullah Arif yang disebut di sini bukan Syeikh Abdullah Arif pengarang kitab
Bahr al-Lahut, penyebar Islam di Aceh pada abad ke-12 dan 13 M. Belum diketahui
apakah Abdullah Arif (datuk Syeikh Muhammad Amrullah) keturunan Syeikh Abdullah
Arif (di Aceh). Yang dapat dipastikan nama itu serupa bagi mengambil sempena
daripada nama Syeikh Abdullah Arif (di Aceh). Ibu Muhammad Amrullah bernama
Siti Saerah yang merupakan anak kepada Abdullah Arif, ulama dan pahlawan yang
terkenal itu.
Hanya sampai pada Abdullah Arif
(daripada pihak sebelah ibu) datuk Syeikh Muhammad Amrullah saja yang dapat
diketahui. Daripada sebelah pihak laki-laki pula hanya diketahui nama ayahnya,
iaitu Tuanku Abdullah Saleh. Nama lebih atas daripada yang tersebut belum
diketahui. Sungguhpun demikian sudah cukup diketahui bahawa kedua-dua ayah dan
ibunya itu memang ulama dan tokoh yang cukup besar pengaruh pada zamannya.
Pendidikan
Mendapat pendidikan awal
daripada datuk atau nenek sendiri secara tradisi di Minangkabau, Buya Hamka
menulis, Setelah cucunya itu berusia 14 tahun, setelah khatam mengaji
al-Quran dengan ayahnya, Tuanku Syeikh Pariaman memesankan supaya cucunya itu
dihantarkan ke Koto Tuo, kerana beliau sendiri yang hendak mengajarnya
ilmu-ilmu agama. Bersama saudara sepupunya Tuanku Sutan, Muhammad Amrullah
belajar Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma'ani, Tafsir dan Fiqh kepada neneknya.
(Lihat Ayahku, hlm. 42.)
Yang disebut oleh Buya Hamka
dalam tulisan beliau hanya enam jenis mata pelajaran yang dipelajari daripada
datuknya Syeikh Muhammad Amrullah. Saya tidak pasti apa sebab ada dua mata
pelajaran yang mesti diajar dalam metod tradisional dunia Melayu dan dunia
Islam lainnya pada zaman itu yang tidak disentuh oleh Buya Hamka.
Kedua-dua mata pelajaran yang
saya maksudkan itu ialah Ilmu Akidah dan Ilmu Tasawuf. Saya tidak yakin Syeikh
Muhammad Amrullah tidak menguasai kedua-dua ilmu yang tersebut kerana pada
zaman itu kedua-dua ilmu tersebut merupakan perkara Fardu Ain. Selain itu oleh
kerana Syeikh Muhammad Amrullah adalah termasuk salah seorang pengamal Thariqat
Naqsyabandiyah, setiap pengamal thariqat mestilah faham ilmu tasawuf dalam erti
kata yang syumul. Kerana thariqat adalah bahagian kecil daripada tasawuf.
Apakah kedua-dua mata pelajaran
itu memang kurang mendapat perhatian di Minangkabau ataupun datuk beliau Syeikh
Muhammad Amrullah telah mempelajari kedua-dua itu daripada ayahnya Tuanku
Abdullah Saleh? Tuanku Abdullah Saleh diakui oleh Buya Hamka sendiri dan
ayahnya Syeikh Abdul Karim Amrullah tentang beliau hafal kitab Hikam Ibni
'Athaillah dan suka berkhalawat mengikut anjuran Imam al-Ghazali. Perlu saya
tambah bahawa khalawat di sini bukan pendapat Imam al-Ghazali, tetapi ulasan
lanjut Imam al-Ghazali daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w..
Mengenai guru-gurunya di Mekah,
Buya Hamka menulis, Beliau berguru kepada Sayid Zaini Dahlan, ulama Mekah
yang terkenal, dan berguru juga kepada Syeikh Muhammad Hasbullah dan beberapa
ulama yang lain. Beliau juga belajar dengan Syeikh Ahmad Khatib dan Syeikh
Tahir Jalaluddin yang usianya lebih muda daripada
beliau. Sayang sekali ayahku
tidak memberikan catatan tahun berapa beliau ke Mekah yang pertama itu.
(Lihat Ayahku, hlm. 49.)
Kedua-dua ulama bangsa Arab,
Sayid Ahmad Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad Hasbullah, yang disebutkan oleh
Buya Hamka di atas adalah guru bagi hampir semua ulama dunia Melayu. Selain
Syeikh Ahmad Khatib Abdul Lathif al-Minankabawi termasuk juga Syeikh Ahmad
Muhammad Zain al-Fathani. Saya masih meragui tulisan Buya Hamka yang menyebut
nama Syeikh Tahir Jalaluddin kerana dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin
beliau hanya menyebut berguru kepada Sayid Umar Syatha. Tentang Syeikh Tahir
Jalaluddin belajar daripada Syeikh Ahmad Khatib memang ada banyak sumber.
Kedudukan Syeikh Tahir
Jalaluddin sebagai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dapat diketahui daripada surat
menyurat timbal balik antara Syeikh Ahmad al-Fathani (di Mekah) dengan Syeikh
Tahir Jalaluddin (di Al-Azhar, Kaherah, Mesir). Baik Syeikh Ahmad Khatib
al-Minankabawi mahupun Syeikh Ahmad al-Fathani, kedua-duanya memang jauh lebih
muda daripada Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i).
Pada usia 26 tahun (1282 H/1864
M), Syeikh Muhammad Amrullah telah diberi ijazah dan tugas mengajar oleh
datuknya, Abdullah Arif atau Tuanku Pariaman atau Tuanku Nan Tuo di kampungnya.
Ilmu-ilmu yang diajarkan, menurut Buya Hamka, ialah Ilmu Tafsir, Fiqh, Tasawuf,
dan ilmu-ilmu alat, iaitu Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma'ani, Bayan, Badi. (Lihat
Ayahku, hlm. 48.)
Pandangan
Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan
Kisa-i) mengalami lapan kali perkahwinan, dan bilangan kesemua anak beliau
ialah seramai 46 orang. Anak beliau adik-beradik seibu sebapa dengan Dr. Syeikh
Abdul Karim Amrullah yang disebut oleh Buya Hamka dalam buku beliau, Ayahku,
ada seramai tujuh orang. Adik-beradik daripada satu ayah disebut ada 10 orang.
Sungguhpun antara anak dan cucu
beliau terdapat beberapa orang yang masyhur namanya, saya tinggalkan saja
kerana sudah cukup diwakili oleh Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (anak) dan
Prof. Dr. Hamka (cucu) yang kemasyhurannya sangat diketahui ramai pada zamannya.
Kekeluargaan yang sedang
dibicarakan ini bukanlah merupakan satu-satunya keluarga ulama dunia Melayu
yang dapat mempertahankan beberapa generasi menjadi ulama, tetapi turut berlaku
dalam keluarga Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari dan lain-lain. Bahawa sangat berbahagia dunia dan akhirat bagi
seseorang ulama yang berhasil mendidik anak, cucu, dan keturunannya menjadi
ulama pula.
Saya berpendapat walaupun
Syeikh Muhammad Amrullah, ayahnya Tuanku Abdullah Saleh dan datuknya (ayah
kepada ibunya) Syeikh Abdullah Arif berpegang mengikut aliran Kaum Tua,
sedangkan anak beliau Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah dan cucunya Prof. Dr.
Hamka dikatakan orang sebagai pelopor Kaum Muda atau di pihak yang lain
dikatakan pembawa fahaman Wahabi, namun mereka adalah jauh lebih baik jika
dibandingkan anak atau cucu ulama yang tidak berjuang untuk kepentingan Islam.
Menjulang tinggi kemasyhuran
nama di dunia ini tiadalah bermakna dan bererti di akhirat nanti sekiranya ia
lalai atau tidak mempedulikan kepentingan Islam. Tertipulah ia kerana
mendahulukan urusan hidup di dunia yang sekejap, lalu mengabaikan urusan hidup
di akhirat yang kekal abadi.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz44ejxSnpe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan