Sabtu, 23 April 2016

RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) DILULUSKAN 23.4.2016

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1959, sebuah  Rang  Undang-Undang  Perbadanan  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka (DBP) telah  diluluskan.  Rang  Undang-Undang  tersebut  telah  dikemukakan  dan  diluluskan  dalam  Majlis  Undangan  Persekutuan Sejak  merdeka,  inilah  kali  pertama  sebuah  Rang  Undang-Undang  dibentangkan  dalam  Bahasa  Melayu,  Ahli-ahli Majlis  Undangan  tersebut  juga  menyokong  dalam  bahasa tersebut. DBP  yang  pada  mulanya  adalah  sebuah  Jabatan,  telah  menjadi  sebuah  Perbadanan  di  bawah  Kementerian  Pelajaran. Bermula  1 Ogos 1959,  cara  pentadbiran  DBP  telah  berubah  sebagai  sebuah  Perbadanan  yang  mempunyai  Lembaga.  Ia  dikenali  sebagai  Lembaga  Pengelola  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka.  Lembaga  ini bebas  menentukan  langkah dan  dasarnya  sendiri  dalam  hal-hal pentadbiran. Antara  langkah-langkah  yang  diambil  ialah  penubuhan  Jawatankuasa  seperti  Jawatankuasa  Kewangan, Jawatankuasa Penerbitan Buku, Jawatankuasa Tawaran (Tender), Jawatankuasa Perkhidmatan  dan  Jawatankuasa  Kerja. Tugas  Lembaga  yang  tertulis  di  dalam  Akta 213 ialah  menggalakkan  perkembangan  bahasa  dan  kesusasteraan  dalam  Malaysia. DBP  telah  berjaya  menampakkan  hasil  kerja yang  boleh  dibanggakan terutamanya  dalam  urusan-urusan  pentadbiran.  Sesuai  dengan kemerdekaan  yang  dicapai, fungsi  dan  kewujudannya  mula  mendapat  kepercayaan  dan  sambutan  orang  ramai.

http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan