Isnin, 25 April 2016

TAHUN TEKNOLOGI GETAH 1991

Pada hari ini 25.4.1991 Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba telah merasmikan Majlis `Tahun Teknologi Getah 1991' bertempat di Rancangan Tanah Pinggir Padang Besar, Sik, Kedah. Tahun 1991 dipilih sebagai `Tahun Teknologi Getah' yang bertemakan `Teknologi Meningkatkan Pendapatan' kerana melalui teknologi akan dapat meningkatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran serta memendekkan jangka masa keremajaan pokok getah. Seramai 107,000 pekebun kecil getah terbabit dengan kempen tahun Teknologi Getah di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 8,000 pekebun kecil mewakili negeri masing-masing. Kempen Tahun Teknologi Getah itu akan dijalankan hingga akhir tahun di mana pekebun-pekebun kecil akan diberikan penekanan mengenai pentingnya teknologi baru getah diamalkan, kerana teknologi berkenaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi juga hasil. Dalam ucapan perasmiannya Encik Ghafar Baba berkata bahawa pekebun-pekebun kecil getah digalak meningkatkan hasil daripada 1,100 kilogram bagi setiap hektar kepada 1,800 kilogram sehektar seperti yang dihasilkan diestet-estet, kerana perbezaan 700 kilogram itu menyebabkan pekebun-pekebun kecil kerugian sehingga RM1,400 setiap hektar.  Hasil itu juga boleh ditambah sehingga 2500 kilogram sehektar kerana lebih banyak kaedah yang diperkenalkan oleh Risda untuk meningkatkan hasil melalui pengenalan klon baik, membasmi penyakit serta penggunaan baja yang betul. Di antara agensi-agensi lain yang turut serta dalam kempen tersebut ialah Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Mardec, Felcra, Felda dan Universiti Pertanian Malaysia. Sesungguhnya dengan pelancaran Kempen Tahun Teknologi Getah 1991 diharap para pekebun kecil getah akan berjaya meningkatkan hasil pendapatan mereka ke tahap yang lebih baik.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan