Ahad, 3 April 2016

Abu Qasim al-Zahrawi pakar bedah muslim terulung

ARKIB : 27/01/2006
MASYARAKAT Eropah menggelar Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi sebagai Abucasis. Pakar bedah muslim yang terkenal itu dilahirkan pada 936M di Zahra yang terletak berdekatan dengan Cordoba, Sepanyol semasa pemerintahan Khalifah Abdur Rahman III. Abu Qasim meninggal dunia pada tahun 1013 dengan meninggalkan asas perubatan yang akan diingati sepanjang zaman.

Di kalangan ahli perubatan Islam, beliau dikenali sebagai perintis ilmu pengenalan penyakit (diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga. Abu Qasim telah merintis pembedahan telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus, pembuluh-pembuluh darah dan otot-otot. Selain itu, beliau turut mempelopori pengembangan ilmu bagi penyakit kulit.

Abu Qasim pernah mengarang beberapa buah buku tentang bidang kedoktoran dan peralatan-peralatannya dalam sebuah ensiklopedia perubatan bertajuk At-Tasrif liman ‘Azija ‘an at-Ta’lif yang menerangkan secara jelas diagram mengenai 200 peralatan pembedahan. Ilustrasi diagram tersebut memberi gambaran banyak peralatan yang boleh digunakan untuk keperluan perubatan pergigian.

Pada bahagian akhir buku karangannya yang mengandungi 30 bab itu, beliau menyatakan tentang luka dan cara pembedahannya, pengubatan tulang yang remuk, penyakit gigi sekali gus dengan kaedah perubatannya tentang pembakaran luka dan pembersihan kotoran dalam rahim selepas bersalin. Buku itu kemudian meletakkan dasar-dasar pengembangan kedoktoran pergigian di Eropah. Malah beberapa bahagian penting dalam buku tersebut telah diadaptasi oleh seorang ahli bedah Perancis yang terkenal di Eropah, Guy de Chauliac.

Al-Tasrif diterjemahkan buat kali pertama dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona dan diikuti oleh beberapa terbitan lain di Eropah.

Pada abad ke-12, secara umumnya kaedah perubatan kesihatan yang terbaik adalah di negara-negara Islam. Baghdad, misalnya, pada tahun 1160 mempunyai lebih daripada 60 buah klinik. Malah para doktor dan ahli farmasi di Baghdad perlu mendapat latihan secukupnya sebelum terjun ke dunia perubatan.

Dr. Donald Campbell dalam bukunya, Arabian Medicine and Its Influence on the Middle Ages, mengakui bahawa buah fikiran Abu Qasim banyak dipengaruhi oleh sistem perubatan Barat. Di Eropah, beliau pernah menerima pujian sebagai ahli perubatan yang mempunyai reputasi tinggi seperti mana Galen dan Hippocrates.

Sehingga abad ke-15, silibus pelajaran media di Universiti Tubingen masih menggunakan salah satu karya Abu Qasim iaitu Kitab al-Masnur. Sebahagian daripada penulisannya mengenai perubatan diterbitkan ke dalam bahasa Latin yang bertajuk Liber Theorical nec non Practice as-Sharavii (1519).

Bukunya yang lengkap mengenai ulasan pembedahan, Abulcasis de Chirurgia Arabice et Latine Cura Johannis Channing, telah diterbitkan di Venice pada 1479, Basla (1541) dan Oxford (1778). Karyanya yang lain ditemui dalam buku History of Medicine jilid I oleh M.Neuberger pada 1910 dan Carl Brockelmann menjumpai karyanya dalam buku Geschichte der Arabischen Literatur jilid I pada 1898.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_09.htm#ixzz44kQufRvi© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan