Ahad, 3 April 2016

Keluarga Mat Kilau belum terima anugerah kerajaan negeri

ARKIB : 24/01/2006
KUANTAN 24 Jan - Waris kepada pahlawan terbilang Pahang, Mat Kilau meluahkan rasa terkilan terhadap kerajaan negeri yang sehingga hari ini masih gagal menunaikan janji untuk menganugerahkan sebidang tanah seluas empat hektar kepada pahlawan berkenaan.

Seorang daripada cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata, semasa arwah datuknya masih hidup, kerajaan negeri berjanji menghadiahkan tanah kepadanya.

"Jika ada tanah itu, mungkin kami boleh membina memorial atau yang seumpamanya untuk mengenang jasa bakti yang dicurahkan allahyarham ketika hayatnya untuk membebaskan negeri ini dari belenggu penjajah," katanya di kediamannya di sini hari ini.

Katanya, tanah yang dimaksudkan itu terletak di Batu Lima, berdekatan dengan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Paya Besar, tempat jasad allahyarham Mat Kilau disemadikan.

Mohd Alhamadi, yang merupakan Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di sini berkata, semasa hayatnya allahyarham datuknya itu hanya memiliki sebidang tanah seluas kira-kira 0.4 hektar.

"Tanah sekecil itupun diambil separuh oleh kerajaan negeri untuk pembinaan jalan raya.

"Kami tidak menolak pembangunan, tapi bila dah diambil, gantilah semula," katanya yang nyata kesal dan terkilan dengan tindakan itu.

Beliau berkata, paling menyayat hati mereka sekeluarga ialah apabila nenek mereka, Ajhrah Bakar meninggal dunia dalam sebuah rumah yang uzur dan usang tanpa sempat menikmati segala pemberian yang dijanjikan kepada allahyarham suaminya.

"Nenek saya itu meninggal dunia pada tahun 1996, membawa bersama kesedihan kerana hidup dalam kesusahan sedangkan suaminya ialah seorang tokoh terkenal negeri Pahang," katanya.

Ketika diminta membuktikan kesahihan beliau sebagai pewaris keturunan Mat Kilau, Mohd Alhamadi lantas menunjukkan geran tanah milik pahlawan itu, selain sebilah keris dan lembing serta gambar-gambar bersejarah yang jarang dipertontonkan kepada umum.

"Ini ialah pusaka tinggalan arwah datuk saya. Ia adalah kebanggaan kami sekeluarga," katanya yang turut mengajar ilmu persilatan yang diwarisi daripada allahyarham datuknya itu. - Bernama

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz44kEKh8aB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan