Isnin, 25 April 2016

Pesawat solar catat rekod dunia

 
PICCARD (kanan) dan Borschberg mendarat di Mountain View, California kelmarin.- Agensi

LOS ANGELES – Pesawat solar satu tempat duduk dalam misi penerbangan mengelilingi dunia, Solar Impulse 2(SI2) mendarat di California lewat kelmarin selepas tiga hari merentasi Lautan Pasifik dari Hawaii tanpa menggunakan bahan api walaupun setitik.

Juruterbang Switzerland, Bertrand Piccard SI2 untuk mendarat di sebuah landasan di Mountain View, sebuah bandar di selatan San Francisco yang menempatkan gergasi teknologi seperti Google sejurus sebelum tengah malam semalam.

Pesawat itu terbang mengelilingi Teluk San Francisco sebelum mendarat, melintasi mercu tanda bandar raya itu, Jambatan Golden Gate.

Projek itu bertujuan mempromosi penerbangan tanpa bahan api dan teknologi hijau itu diasaskan bersama oleh Piccard dan seorang lagi juruterbang SI2, Andre Borshberg. Mereka bergilir-gilir menerbangkan pesawat tersebut.

Penerbangan dari Hawaii menuju California sejauh 4,500 kilometer (km) itu bagi meneruskan laluan yang bermula di Abu Dhabi pada Mac 2015. SI2 terbang melintasi India, Myanmar, China dan Jepun dalam perjalanannya untuk mengelilingi dunia.

Dari Mountain View, pesawat itu akan terbang melintasi Amerika Syarikat seterusnya menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke Eropah sebelum pulang ke Abu Dhabi.

SI2 mencatat rekod dunia penerbangan pesawat solar paling jauh selepas terbang dari Nagoya, Jepun ke Hawaii sejauh 8,300km tanpa henti pada Julai 2015.

Kapal terbang empat kipas itu dilengkapi lebih 17,000 sel solar pada dua sayapnya dan sejumlah bateri untuk menyimpan kuasa bagi penerbangan waktu malam. SI2 dijangka membuat 13 hentian semasa penerbangannya mengelilingi dunia dengan mengambil masa 25 hari di ruang udara sepanjang tempoh lima bulan. – dpa

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz46qiNY9xW Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan