Jumaat, 29 April 2016

PENENTANGAN TOK JANGGUT TERHADAP SISTEM PENTADBIRAN BRITISH DI KELANTAN ATAU DIKENALI DENGAN `PERANG TOK JANGGUT'

Pada hari ini 29.4.1915 telah bermulanya detik awal penentangan yang dikenali `Perang Tok Janggut' untuk menentang sistem pentadbiran British di Kelantan.  Ianya mula tercetus apabila berlaku perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan iaitu seorang anggota Polis British, yang mana telah berakhir dengan kematian Sarjan Che' Wan. Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan mengepalai penentangan penduduk tempatan di daerah Pasir Putih membantah Pentadbiran British yang menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat tempatan pada masa itu. Campur tangan British di negeri Kelantan menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran seperti memperkenalkan sistem pentadbiran cukai baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat setempat dan melantik pegawai-pegawai menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional. Tok Janggut dan penduduk di situ menentang British dengan dibantu oleh Pasukan Polis yang kebanyakan datang dari Singapura, berlanjutan sehingga Jun 1915.  Akhirnya Tok Janggut dan beberapa pengikutnya telah berjaya dibunuh oleh Pihak British yang mempunyai angkatan tentera yang ramai dan peralatan-peralatan senjata moden. Sesungguhnya dengan berlakunya `Perang Tok Janggut' telah meningkatkan lagi semangat keperwiraan Orang-orang Melayu Kelantan yang mempunyai semangat juang yang jitu, untuk terus berjuang menentang pihak penjajah British yang semakin kuat bertapak di Kelantan dan lain-lain negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Rabu, 27 April 2016

Muhammad Gabenor BNM baharu

Oleh HAIKAL RAMAN
 
KUALA LUMPUR – Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai gabenor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang bakal menamatkan kontrak perkhidmatannya pada akhir bulan ini.

Muhammad berusia 56 tahun yang telah menyertai bank pusat sejak tahun 1984 merupakan gabenor BNM yang kelapan untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei ini.

Jawatan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya yakin kepimpinan yang akan diterajui oleh Muhammad mampu terus memberi sumbangan dalam membantu kerajaan daripada pelbagai aspek dan pulangan positif.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz476Bshtfq Hakcipta terpelihara

PEMBUKAAN SISTEM JANAELEKTRIK DI BANDAR 32 BERA

Tenaga Elektrik merupakan satu keperluan asas yang diperlukan oleh semua penduduk negara ini terutama di kawasan luar bandar.  Di atas keperluan tersebutlah, Lembaga Letrik Negara telah membina beberapa buah stesen Janaelektrik di seluruh negara termasuk di Felda Gugusan Bera, Pahang.  Pada hari ini 27.4.1987 Stesen Janaelektrik Bandar 32 Bera telah memulakan operasinya setelah kerja-kerja ujikaji selesai dijalankan oleh para Jurutera dari Ibu Pejabat.  Stesen Janaelektrik tersebut terletak kira-kira 60km dari bandar Temerloh Pahang Darul Makmur dan 30km dari Pekan Triang. Pada peringkat awal tiga set janakuasa disediakan dengan kemampuan 500kw setiap satu janakuasa.  Setakat ini bekalan hanya diberi kira-kira 20 jam sehari semalam.  Dijangkakan bekalan akan diberi terus 24 jam apabila jumlah penggunaan bertambah dan penggunaan tenaga elektrik yang ekonomik dengan penjanaan. Di antara beberapa buah rancangan Felda Gugusan Bera yang menikmati bekalan elektrik ialah Felda Sebertak, Felda Tementi termasuk Balai/Kuarters Polis Diraja, Pusat Kesihatan serta rumah kakitangannya. Sesungguhnya dengan pembukaan stesen itu diharap akan dapat membuka era baru dalam kehidupan seharian penduduk-penduduk Felda Gugusan Bera khasnya dan kawasan-kawasan di persekitaran amnya dalam usaha-usaha menuju ke arah negara yang berwawasan dalam semua bidang pembangunan.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Selasa, 26 April 2016

RENTAP MENYERANG KUBU NAGA SKRANG, SARAWAK 26.4. 2016


Pada  hari  ini  dalam  tahun  1853,  ketua suku Dayak Laut  yang  terkenal  bernama  Rentap atau  nama asalnya  Libau  bersama-sama  pengikutnya  telah  menyerang  kubu  milik  kerajaan James  Brooke  di  Naga Skang,  Sarawak. Nama  Rentap  diberikan kerana  kegagahan beliau. Ia membawa  maksud  ‘penggoncang  dunia’.    Pemerintahan  James  Brooke  ditentang  kerana  telah  mencabuli  adat  resam  kaum  Iban. Pemerintah  itu telah    melarang  suku  kaum  Iban  berdagang  di  persisir  pantai  bagi  menghalang  mereka  dari  bercampur-gaul  dengan  orang  melayu. Kekalahan  kerajaan  James  Brooke  di Naga  Skrang,  telah  menyemarakkan  lagi  semangat  perjuangan  Rentap. Beliau  telah  membina  kubu  di  atas  Gunung  Sadok  dan menggelarkan  dirinya  sebagai  ‘Raja  Darat  Sarawak’. Ini  telah  menggugat  kedudukan  Brooke  yang  sebelum  ini bergelar ‘Raja  Sarawak’. Dalam  bulan  Jun  1857, Brooke  telah  mengerahkan  seramai  3,000 orang  Than  dan  500  orang  Melayu  untuk  menyerang  Rentap,  namun gagal. Akhirnya, pada September  1861, Brooke  berjaya  memusnahkan  kubu  Rentap. Pada  28  Oktober  1861,  kubu  dan  perkampungan  Rentap  itu  musnah  dibakar  dan  ini  memaksa  Rentap  melarikan  diri ke  Entabai, dekat  Sungai  Kanowit.  Walaubagaimanapun,  perjuangan  Rentap  dan  pengikutnya melambangkan  semangat juang yang jitu dalam  membela  adat resam  dan  budaya  serta  hak  kaum  mereka  di  bumi kelahiran  mereka  sendiri.

http://www2.arkib.gov.my/hids

SKEMA Peperiksaan Percubaan Sejarah STPM P2 SMK Jengka 2 2016

1.Bincangkan kandungan dan kepentingan Piagam Madinah. 20m
Piagam Madinah merupakan sebuah perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Piagam ini digubal dengan bimbingan wahyu pada tahun 622 M.. Pembentukan piagam ini telah dipersetujui oleh orang Islam dan orang bukan Islam khasnya orang Yahudi. Piagam Madinah terdiri daripada dua bahagian dan mengandungi 47 fasal. Bahagian pertama mengandungi 23 fasal, yang menerangkan tanggungjawab dan hubungan antara orang Islam, iaitu golongan Muhajirin dan Ansar. Bahagian kedua mengandungi 24 fasal yang berkaitan dengan hak dan tanggungiawab orang Yahudi terhadap negara Islam Madinah.

Piagam ini merangkumi aspek politik, perundangan, agama,sosial, pertahanan dan kedudukan orang Yahudi.Piagam ini bertujuan mewujudkan satu masyarakat yang harmoni, mengekalkan perpaduan dan
keamanan serta mempertahankan Madinah daripada ancarnan musuh. Piagam Madinah membawa banyak
kesan positif terhadap pembentukan negara Islam di Madinah.

      Fasal pertama dalam perlembagaan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin kota
Madinah. Baginda diterima sebagai seorang negarawan yang berwibawa. Baginda bukan sahaja diakui sebagai pemerintah tertinggi malah juga sebagai ketua hakim. Baginda berkuasa dalam menentukan dasar-dasar kerajaan dan bertanggungjawab menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam kalangan pelbagai kaum di Madinah. Baginda juga berjaya mewujudkan satu institusi kehakiman dan keadilan berlandaskan hukum-hukum Islam.
Piagam ini berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat, aman, utuh dan berdaulat. Keadaan
ini menjadi satu kenyataan apabila Madinah berjaya menundukkan musuh-musuh seperti Parsi dan Rom
dan menguasai tanah jajahan mereka. Kekuatan Madinah bergantung kepada penduduknya yang wajib mempertahankan keamanan dan keselamatan negara. Piagam ini juga mengakui hak ummah Madinah, iaitu perlindungan nyawa dan harta benda. Sebarang bentuk pengkhianatan dilarang sama sekali. Mereka juga dilarang mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh Islam.

      Hubungan dan tanggungjawab orang-orang Yahudi dapat diaturkan oleh piagam ini. Orang Yahudi bebas menganut dan mengamalkan ibadat agama mereka selagi tidak bertentangan dengan Islam. Mereka juga tidak dibenarkan menindas orang yang lemah. Golongan Yahudi diberi perlindungan dan jaminan keselamatan selagi mereka mematuhi segala peraturan. Mereka tidak boleh melaga-lagakan orang Aus dan Khazraj atau menimbulkan huru-hara. Orang Yahudi akan dihalau keluar dari kota Madinah jika mereka mencabuli perlembagaan ini.

     Perpaduan umat Islam berjaya dibentuk. Orang-orang Islam diwajibkan hidup bersatu padu dan dilarang bersekutu dengan musuh. Semangat ukhuwah Islamiah disemaikan. Golongan Muhajirin dan Ansar perlu bekerjasama demi membina sebuah negara Islam yang kuat. Perpaduan orang Islam dapat memulihkan ekonomi golongan Muhajirin dan menggiatkan lagi aktiviti perdagangan di Madinah.Persaudaraan antara orang Islam mewujudkan keamanan. Permusuhan arfiara orang Aus dan Khazraj juga dapat dihapuskan melalui penghayatan ajaran Islam. Hubungan baik terjalin antara orang Islam dengan orang bukan Islam melalui sifat saling menghormati dan tanggungjawab yang kolektif. Persefahaman dan kerajinan umat Islam menjadikan kota Madinah sebagai pusat perdagangan yang penting di Semenanjung Arab.

      Satu aspek yang ditegaskan dalam piagam ini ialah konsep persamaan taraf dan keadilan. Piagamini menetapkan kesamarataan antata semua orang tanpa mengira bangsa, keturunan atau warna kulit.Keadilan dilaksanakan dengan penuh kejujuran.Keadilan memberikan jaminan keselamatan nyawa.harta benda, akal, agama dan sebagainya. Piagam ini mengingatkan masyarakat Madinah supaya sentiasa berlaku adil dan tidak menganiayai orang lain. Konsep keadilan ini dapat dilihat dengan jelas dalam sistem ekonomi Islam yang mengharamkan segala bentuk eksploitasi dan penindasan.

      Memang tidak dapat dinafikan bahawa Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad SAW boleh diterima pakai oleh semua semua anggota masyarakat di Madinah dalam pelbagai aspek. Sahifah ini juga menonjolkan kepimpinan Rasulullah SAW terutamanya dalam menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum di Madinah.

2.Jelaskan lima ciri kepemimpinan yang terdapat pada diri Nabi Muhamammad s.a.w. 20m.
Pengenalan
             Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke Madinah.
Isi
                Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.
                Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.
                Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.  juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
                Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
                Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh baginda.
Penutup
                Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.

3.Huraikan sumbangan Salahuddin al-Ayyubi dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. 20m
1.Latar belakang Salahddin al-Ayyubi
Pendahuluan
Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh yang bertanggungjawab membebaskan kota Baitulmuqaddis daripada kekuasaan orang Barat.Ketika tercetusnya Perang Salib, nama dan kepimpinan beliau amat digeruni oleh tentera salib terutamanya setelah berjaya menawan semula beberapa buah wilayah kerajaan Islam. Beliau juga pernah terlibat dalam peperangan di Mesir, Palestin, dan Syria.

 (a) Menentang tentera salib
Pada tahun I 164 M, Salehuddin al-Ayyubi telah menyertai ekspedisi ketenteraan Syria bersama bapa saudaranya, Shirkuh yang dihantar oleh Khalifah Nur al-Din. Mereka berjaya menewaskan tentera Salib yang berada di bawah pimpinan Amaury I Setelah Shirkuh meninggal dunia, Salehuddin al-Ayyubi telah dilantik sebagai panglima angkatan tentera Syria. Pelantikan ini menjadi titik tolak kepada kegemilangan dan kemasyhurannya.
(b) Menawan kota Baitulmuqaddis
Salahuddin al-Ayyubi menjadikan Ra'su al-Ma' sebagai pusat gerakannva menuju ke Busra diikuti Karak, Syubak, dan Tabariah. Ketika pertempuran di Hittin, kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Kemaraan tentera Salehuddin al-Ayyubi tidak dapat dikekang lagi apabila beliau berhadapan dengan Raja Baitulmuqddis yang hanya dikawal oleh 150 orang pahlawannya sahaja.Salehuddin al-Ayyubi mengarahkan Raja Baitulmuqaddis, iaitu Gui of Lusignan dan pemerintah Karak iaitu Raynald supaya menghadapnya. Beliau kemudiannva telah memancung kepala Raynald kerana sikap biadab pemerintah Karak tersebut terhadap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.
(c) Mengamalkan dasar tolak ansur terhadap penganut Kristian
 Meskipun orang Islam berjaya menguasai Baitulmuqaddis, namun orans Kristian tetap diberikan peluang mengunjungi kota suci tersebut.Melalui perjanjian damai yang dimeterai antara Salehuddin al-Ayyubi dengan Richard The Lion Heart di Ramalah pada 2 November l192 M orang Islam bersedia memberikan kelonggaran kepada orang Kristian untuk mengunjungi dan beribadat di Baitulmuqaddis
(d) Memulihkan dan membangunkan negara
Salahuddin al-Ayyubi mengarahkan pembinaan kubu Qal'ah al-Jabal yang terletak di atas bukit bagi membendung saki-baki musuh yang masih berada di dalam kota Kaherah. DiSinai, kubu yang hampir sama juga dibina di samping membangunkan Pulau al-Raudah dan Pulau al-Gizah.

Ibn Jubair pernah menjelaskan pasar minggu yang besar diadakan pada setiap hari Ahad. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan dan tempat bersantai.Salehuddin al-Ayyubi telah mengubah sebuah dewan di istana yang dibina oleh al-Aziz bin al-Muiz dengan menjadikannya sebuah hospital yang dinamakan Bimaristan al-Atiq.Sebuah gedung ubatan disediakan bagi membolehkan ubat diagihkan mengikut gred yang ditetapkan kepada para pesakit. Hospital tersebut juga mempunyai ruangan khas untuk pesakit wanita. Jaring-jaring besi juga dipasang sebagai pemisah bagi mengelak pesakit
mental mengganggu pesakit lain.

Memajukan pendidikan
Sebagai individu yang mencintai ilmu pengetahuan, beliau banyak membina sekolah dan menjemput golongan ulama dan cerdik pandai ke negaranya. . Beliau memperkenalkan sistem pendidikan prasekolah yang dikenali dengan nama sistem al-Katib. Mengikut sistem tersebut, kanak-kanak akan mempelajari al-Quran, menghafal hadis, dan meningkatkan kemahiran seni khat. Selain itu, mereka juga diajar tentang asas ilmu matematik, syair, kata-kata hikmat, dan beribadat seperti solat berjemaah.

Memajukan bidang ekonomi .
Dalam bidang ekonomi, negara memperoleh sumber pendapatan yang pelbagai seperti jizyah yang dikenakan kepada golongan bukan Islam, fidyah yang dibayar oleh tawanan perang untuk menebus diri, harta rampasan perang, dan cukai tanah (kharaj). Cukai-cukai yang membebankan pada zaman kerajaan Fatimiyyah dihapuskan seperti cukai yang dikenakan ke atas jemaah haji.

Beliau juga menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian seperti memberi tumpuan kepada penyediaan dan penyelenggaraan sistem terusan serta teknik-teknik pertanian agar berlaku peningkatan produktiviti dan mengelak kekurangan bekalan makanan.

Kesimpulannya,kejayaan Salehuddin al-Ayyubi membebaskan semula Baitulmuqaddis merupakan bukti palingketara yang beliau sentiasa berusaha untuk memartabatkan agama dan negara Islam.Rentetan daripada kejayaan tersebut, beliau telah dapat melaksanakan pelbagai perancanganyang meliputi aspek politik, ekonomi, pendidikan, dan kebajikan sosial.
4.Bincangan sumbangan al-Khawaizmi dalam bidang matematik, 20m
 Abu Abd Allah Muhammad Ibn Musa al Khwarizmi merupakan nama sebenar al Khwarizmi. Beliau merupakan tokoh ilmuan Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, lojik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan serta sejarah Islam. Sumbangan beliau mula terserlah semasa pemerintahan Khalifah al Makmun di Baghdad khasnya dalam bidang matematik dan dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja.
                Kepakaran beliau dalam bidang matematik mendapat pengiktirafan Khalifah Abasiyyah. Khalifah Harun al Rasyid misalnya melantik beliau sebagai pakar matematik di Baitul Hikmah. Beliau juga dilantik sebagai Pengarah Arkib Buku di perpustakaan istana oleh Khalifah al Makmun.
                Beliau juga telah memperkenalkan sistem nombor. Simbol-simbol tertentu digunakan untuk mewakili nilai-nilai tertentu. Al Khwarizmi merupakan orang pertama memperkenalkan angka sifar (kosong) dalam matematik. Melalui angka sifar akan terbit nombor yang mencapai infiniti.
               Seterusnya beliau memperkenalkan sistem angka yang sistematik. Sistem ini membolehkan operasi pengiraan matematik diperluas meliputi operasi kuasa, log dan kosinus. Sistem ini juga membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang pesat. Angkasifar yang beliau perkenalkan telah dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan ‘cifre’, ‘chiffre’ dan ‘zero’.
              Al Khwarizmi turut memperkenalkan sistem al-jabar (algebra). Penggunaan symbol yang mewakili nombor, nilai atau pembolehubahmembolehkan banyak masalah pengiraan diselesaikan. Buku yang memperkenal kaedah aritmetik algebra ini telah diterjemah ke bahasa Latin dan menjadi rujukan pelbagai universiti di Eropah mulai abad ke12M hinggan abad ke16M.
             Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan istilah baru dalam ilmu matematik yang digunapakai hingga ke hari ini. Antaranya ialah pemboleh ubah (x), pemboleh ubah kuasa dua (x²) dan pemalar (c). Kitab yang beliau hasilkan mengandungi bab-bab tentang pelbagai topic seperti pengiraan darab, campur, tolak, bahagi, persamaan, timbangan dan ukuran, luas bulatan dan segi tiga serta isi padu piramid dan  kon.
           Al Khwarizmi juga telah menghasilkan ‘al Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah’ yang digunakan dalam urusan pengiraan pembahagian harta pusaka. Masalah pengiraan yang rumit dan kompleks yang tidak dihurai dalam al Quran dan hadis dapat diselesaikan dengan mudah.

          Memang tidak dapat dinafikan Al Khwarizmi memberi sumbangan besar dalam bidang matematik. Sumbangan besar ini menyebabkan beliau bukan sahaja disanjung oleh umat Islam sahaja malah juga dikagumi sarjana-sarjana Barat yang menggunapakai idea-idea beliau.

5.Bincangkan perkembangan  ilmu naqli dan aqli zaman khalifah Abbasiyah pada abad ke 11M-13M.20m
Kerajaan Abbasiyah telah muncul sebagai pusat perkembangan ilmu sejak zaman pemerintahan Kharifah Abu Jaafar al-Mansur dan mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmum.
Pada abad ke 11 hingga 13M, kerajaan Abbasiyah berada di bawah kekuasaan Saljuk. Ilmu pengetahuan dan agama berkembang pesat dan mencapai kemuncak pada zaman Sultan Malik syah dan dibantu wazir Nizam al-Mulk.
Nizam al-Mulk bertanggungiawab membangunkan Madrasah Nizamiyah dan Madrasah Hanafiyah di Baghdad. Lima bidang keilmuan diajar di Madrasah Nizamiyah .al-Quran,hadis, fiqh dan bahasa Arab.

      Galakan pemerintah terhadap perkembangan ilmu merahirkan ramai ilmuan Islam dalam bidang ilmu naqli seperti az-Zamakhsyri (tafsir dan teologi), al-Qusyairy (tafsir dantasawuf) dan Imam al-Ghazali (teologi dan falsafah) dan ilmu aqli seperti Ibn al-Haytham dan Ibnu Sina (perubatan), Umaral-Khayyam (mathematik) dan Nasaruddin at-Thusi (astronomi).

      Antara faktor kemajuan ilmu naqli dan aqli zamanAbbasiyah ialah faktor dalaman umat Islam. Faktor dalaman ialah semangat keilmuan, kesedaran yang tinggi dari pembesar kerajaan, wujudnya pelbagai pusat kajian dan penterjemahan dan peningkatan kematangan berfikir umat Islam.

      Manakala antara faktor luaran umat Islam ialah tradisi keilmuan wilayah Parsi sebelum perkembangan Islam, adaptasi terhadap budaya asing terutama ilmu dan falsafah yunani, gerakan penterjemahan karya asing dan kecenderungan baharu dalam tradisi berfikir(pemikiran rasional-analisis).

      Perkembangan ilmu naqli (keagamaan) pula ialah ilmu al-quran - tafsir dan qiraat. Kajian al-quran tertumpu pada teks (Tafsir bil Ma'tsur) dan pada kontekstual (Tafsir Birra'yi - (Tafsir Maudhu,i, Tafsir Adaby, Tafsir Nuzuli dan Tafsir Ilmi). Kandungan ilmu al-quran,ilmu akidah, akhlak dan syariat (ibadat, muamalat). Tokoh ulama –Zamakhsyui dan karyany a, al_Khosysyaf

      Perkembangan ilmu seterusnya ialah Sunnah  atau hadis .Antara disiplin ilmu ini ialah ilmu hadis, sanad, Nasakh wa Mansukh, dan rain-lain. Tokoh ilmu hadis - Zamakhsyari dan karyanya al-Faiq.

      Perkembangan ilmu seterusna ialah ilmu kalam iaitu pemikiran ketuhanan (teologi) ekoran berkembangnya kecenderungan berfikir secara rasional sehingga kajian ketuhanan tidak lagi berdasarkan pada dalil agama tetapi telah mengarah kepada kedalaman pemikiran terhadap dogma. Tokoh ilmu kalam ,Imam al-Ghazali dan karyanya, Maqasid al-Falasifah dan tahafut al-Falasifah,Imam al-Qusyairy an-Naisabury dengan karyanya RisaIatul Qusyairiyah

      Perkembangan ilmu aqli juga berkembang pesat pada zaman Abbasiyah. Ilmu pertama ialah falsafah. Falsafah ialah induk kepada ilmu aqli kerana daripada falsafah ini,maka berkembanglah ilmu-ilmu lain. Zaman Abbasiyah berlaku perkembangan ilmu falsafah akibat pengaruh Parsi dan Yunani. Tokoh ilmu falsafah - Imam al-Ghazali dengan karyany a Tahafut al –FaIasifah.

      Perkembangan ilmu seterusna ialah Seni sastera. Antara tokoh dalam bidang ini ialah Farid al-Din al-'Aththar dengan karyanya Manthiq al-Thayr dan Umar Khayyam dengan karyanya Rubaiyat.

      Ilmu Perubatan  juga turut berkembang pada  zaman Abbasiyah. Perkembangan ilmu kedoktoran zaman Abbasiyah mengalami tiga peringkat. Zaman permulaan, kemajuan dan kemunduran. Tokoh perubatan Islam antaranya Jabir Ibn Hayyam (Kitab al-Kimya),Ikhwan as-Safa (Rasa'il lkhwanas - Safa'wa Khullan al-Wafa), Ibn al-Hayth am (Kitab al Manazir dan Risalafil-Daw') dan Ibnu Sina (al-Qanun FiTibb).

     Astronomi juga turut berkembang pada zaman ini. Antara tokohnya ialah Nasiruddin Ath-Thusi (AlMutawassithat Bain Al-Handasa wal Hai'a) dan Abu Wafa' -pakar trogonometri.
Bidang ilmu aqli seterusnya ialah Matematik. Antara tokohnya ialah Umar Khayyam yang terkenal dalam bidang algebra ('Mazalatfi al-Jabr wa alMuqabila). Dalam bidang geometri pula, beliau banyak membuat kajian-kajian yang menjurus kepada pembentukan teori garisan selari.

      Kesimpulannya kerajaan Bani Abbasiyah telah telah berjaya meningkatkan perkembang ilmu aqli dan naqli antara abad ke-11 hingga ke-13M. Para sarjana Islam telah banyak menguasai bidang ilmu seperti bidang ilmu  naqli seperti tafsir.teologi,tafsir, tasawuf teologi dan falsafah dan ilmu aqli seperti perubatan,matematik dan astronomi.

6.Bincangkan reaksi masyarakat Mesir terhadap kuasa Barat pada abad ke-20.20m

 Tentera Perancis di bawah Napoleon Bonaparte telah menceroboh Mesir pada pertengahan tahun 1798 setelah menewaskan tentera kerajaan Mamluk yang memerintah Mesir ketika itu. Perancis menduduki Mesir selama tiga tahun.Selepas itu, British menceroboh Mesir pada tahun 1882.

      Perancis yang muncul sebagai satu kuasa revolusi yang agresif telah berjaya menundukkan sebahagian daripada kerajaan beraja di Eropah. Namun begitu, Napoleon berasa belum puas selagi musuh utama Perancis iaitu Britain, sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan monarki ditewaskannya.
      Napoleon telah mengambil langkah untuk menakluk Mesir yang terletak di tengah-tengah jalan pelayaran bagi melemahkan ekonomi Britain. Dengan menundukkan Britain, Napoleon berharap menjadi pemimpin teragung di dunia. Bagaimanapun, kekalahannya di tangan Duke of Wellington menghancurkan cita-citanya itu.
      Pada bulan Mac 1801, tentera Turki Uthmaniyah yang turut dianggotai penduduk Mesir di samping bantuan daripada pihak British berjaya mengusir keluar tentera Perancis dari bumi Mesir. Tanpa bantuan tentera British, mungkin Perancis dapat bertahan lebih lama di Mesir.
      Sebelum meletusnya Pemberontakan Urabi (1881), di Mesir telah muncul dua golongan penentang terhadap penguasaan asing. Pertama, penentang yang terdiri daripada golongan awam yang terdiri daripada golongan bangsawan (pasha), ulama, dan tuan tanah. Kedua, ialah pegawai tentera Mesir (yang berketurunan Mesir asli yang dikenali sebagai Fellaftin ).
      Golongan awam berhasrat untuk menentang penguasaan asing ke atas bumi Mesir. Bagaimanapun, golongan kedua iaitu, pegawai tentera pegawai tentera Mesir menentang kepimpinan Turki-Circassia yang mempunyai taraf istimewa dalam bidang pentadbiran dan
ketenteraan.

      Apabila ada usaha untuk mengehadkan saiz tentera Mesir, ramai daripada pegawai berketurunan Fellahin yang diberhentikan perkhidmatan berbanding dengan pegawai tinggi tentera berketurunan Turki-Circassia yang dikekalkan jawatan mereka.
      Dua golongan ini (golongan awam dan pegawai tentera Mesir) telah bergabung mendokong dasar nasionalisme Mesir apabila bangsa Eropah menunjukkan permusuhan terhadap mereka.
Pergerakan ini bersatu di bawah pimpinan Kolonel Ahmed Urabi yang bercita-cita mengusir bangsa Eropah seluruhnya dari bumi Mesir.
      Urabi menubuhkan sebuah pertubuhan sulit dalam tentera bagi mengatasi masalah diskriminasi sosial, kemelesetan ekonomi dan keruntuhan akhlak masyarakat Mesir.
     Urabi dengan galakan daripada wakil pemerintah Turki Uthmaniyah di Mesir iaitu Khedif Ismail telah menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Kebangsaan (Hizb al-Watani) yang berjuang menghapuskan pengaruh asing dalam pentadbiran Mesir, menjamin agar hutang piutang asing dibayar dengan syarat harta rakyat Mesir tidak dirampas serta menyeru agar kuasa Khedif dipulihkan kembali serta segala pendapatan daripada perkhidmatan kereta api Mesir dipulangkan kepada Kerajaan Mesir.
      Usaha tersebut tidak beriaya apabila pihak British dan Perancis bertindak balas hingga menyebabkan Sultan Abdul Hamid II' Sultan Turki Uthmaniyah didesak menfngkirkan Khedif Ismail dan digantikan puteranya sebagai Khedif baru, iaitu Taufik pada tahun 1879.
      Biarpun percubaan pertama menghadapi British tidak berjaya, tetapi golongan nasionalis ini tidak berputus asa. Pihak tentera terus mendapat sokongan daripada pegawai kerajaan, ulama yang tertindas, dan golongan Petani.
      Pada mulanya golongan nasionalis menuntut kepada pihak British hal-hal yang menjadi sungutan Pihak tentera, pemerintahan sistem perlembagaan, dan penubuhan sebuah parlimen yang tetap.
      Keadaan berubah menjadi lebih radikal apabla segolongan ahli Majlis menuntut supaya belaniawan Mesir dibahaskan dalam Majlis Para Pembesar Negara (Parlimen Mesir)' Kuasa Eropah yang diketuai British menolak tuntutan tersebut kerana bimbang kadar pemotongan cukai daripada pendapatan Mesir kepada kuasa-kuasa Eropah akan dicabar oleh golongan nasionalis Mesir.
      Sehubungan itu, British mendesak supaya Khedif Taufik menerima ketetapan pihak Barat. Perkembangan ini menimbulkan ketegangan. Rusuhan berlaku di hilir Mesir dan beberapa orang Kristian dibunuh.
      Pada akhir tahun 1881, Ahmed Urabi dan para penyokongnya telah mengambil alih kuasa daripada KhedifTaufik dan akhirnya Taufik meminta perlindungan daripada pihak British. Bagi
memulihkan keamanan dan menjaga kepentingan perdagangan dan pertahanannya, British mengambil keputusan untuk menceroboh Mesir secara langsung pada tahun 1882.
      Pada bulan Julai 1882, pihak berkuasa British telah menghantar Laksamana Seymor dengan angkatan tentera lautnya memaksa pihak nasionalis membubarkan pertahanan mereka di
iskandariah. Apabila tuntutan itu ditolak, tentera laut British pun membedil Iskandariah dan seterusnya menakluk Port Said, lsmailiah, dan bandar Suez.
      Urabi dan tenteranya cuba bertahan tetapi tidak dapat menahan asakan British. Mesir terus meniadi tanah British. Taufik kembali ke Mesir dan dilantik semula sebagai Khedif Mesir.
      Pemimpin nasionalis Mesir seperti Urabi telah dibuang negeri di Sri Langka. Muhammad Abduh yang menyokong perjuangan Urabi pula telah diusir ke Perancis.Dengan itu, Perlembagaan Mesir digubal pada tahun 1923, dan Ahmad Fuad memakai gelaran sultan iaitu Raja Fuad I. Melalui pilihan raya, Saad Zaghlul dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir.
      Kesimpulnyn pihak British berjaya membendung penentangan penduduk Mesir kerana kerajaan British terpaksa memberi keutamaan kepada isu-isu di Mesir disebabkan penguasaan Terusan Suez yang merupakan laluan antarabangsa.

Isnin, 25 April 2016

Unit 3. Peluasan kuasa Barat

HP- Membincangkan faktor-faktor peluasan kuasa Barat Zaman Khalifah Uthmaniyah abad ke-18 hingga 20M.
Faktor peluasan kuasa Barat
Politik
a. Dasar Imperialisme - meluaskan empayar – kuasa hegemoni
b. Persaingan kuasa-kuasa Barat seperti British, Perancis,Rusia dan lain-lain - pakatan Eropah
c. Dasar campur tangan ekoran pergolakan politik dalam wilayah Uthmaniyah - sebelumnya Dasar persahabatan (Dasar Tidak Campur Tangan / Berkecuali) dan Dasar Perlindungan terhadap kepentingan perdagangan Barat.
d. Permasalahan Timur (The Eastern Question)
e. Polisi luar terpenting - dasar pecah dan perintah. Bangsa Islam Turki, Arab, Armenia, Kurd dan bangsa-bangsa Islam lain mula membina jenama kebangsaan mereka sendiri.
f. Dasar pembaharuan (Tanzimat) - gerakan reformasi ala Barat
Ekonomi
a. Revolusi industri di Eropah
b. Kepentingan Terusan Suez
c. Krisis kewangan dan ekonomi Mesir yang berpunca daripada usaha pembangunan Terusan Suez, Empangan Aswan dan industri gula yang giat dijalankan.
d. Monopoli bahan mentah dan pasaran
e. Konflik hutang kerajaan Uthmaniyyah.[1]
Agama
a. Sentimen agama - kesan Perang Salib
b. Gerakan kristianisasi - peranan pihak gereja di sebalik misi penjajahan kuasa Barat
c. Isu layanan kerajaan Uthmaniyyah terhadap penduduk beragama Kristian
o Faktor-faktor lain :
a. Perkembangan bidang sains dan teknologi, perhubungan dan pengangkutan.[2]



[1] “Peluasan Kuasa Barat”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah P2, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),106.
[2] Ibid,107.

Pesawat solar catat rekod dunia

 
PICCARD (kanan) dan Borschberg mendarat di Mountain View, California kelmarin.- Agensi

LOS ANGELES – Pesawat solar satu tempat duduk dalam misi penerbangan mengelilingi dunia, Solar Impulse 2(SI2) mendarat di California lewat kelmarin selepas tiga hari merentasi Lautan Pasifik dari Hawaii tanpa menggunakan bahan api walaupun setitik.

Juruterbang Switzerland, Bertrand Piccard SI2 untuk mendarat di sebuah landasan di Mountain View, sebuah bandar di selatan San Francisco yang menempatkan gergasi teknologi seperti Google sejurus sebelum tengah malam semalam.

Pesawat itu terbang mengelilingi Teluk San Francisco sebelum mendarat, melintasi mercu tanda bandar raya itu, Jambatan Golden Gate.

Projek itu bertujuan mempromosi penerbangan tanpa bahan api dan teknologi hijau itu diasaskan bersama oleh Piccard dan seorang lagi juruterbang SI2, Andre Borshberg. Mereka bergilir-gilir menerbangkan pesawat tersebut.

Penerbangan dari Hawaii menuju California sejauh 4,500 kilometer (km) itu bagi meneruskan laluan yang bermula di Abu Dhabi pada Mac 2015. SI2 terbang melintasi India, Myanmar, China dan Jepun dalam perjalanannya untuk mengelilingi dunia.

Dari Mountain View, pesawat itu akan terbang melintasi Amerika Syarikat seterusnya menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke Eropah sebelum pulang ke Abu Dhabi.

SI2 mencatat rekod dunia penerbangan pesawat solar paling jauh selepas terbang dari Nagoya, Jepun ke Hawaii sejauh 8,300km tanpa henti pada Julai 2015.

Kapal terbang empat kipas itu dilengkapi lebih 17,000 sel solar pada dua sayapnya dan sejumlah bateri untuk menyimpan kuasa bagi penerbangan waktu malam. SI2 dijangka membuat 13 hentian semasa penerbangannya mengelilingi dunia dengan mengambil masa 25 hari di ruang udara sepanjang tempoh lima bulan. – dpa

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz46qiNY9xW Hakcipta terpelihara

TAHUN TEKNOLOGI GETAH 1991

Pada hari ini 25.4.1991 Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba telah merasmikan Majlis `Tahun Teknologi Getah 1991' bertempat di Rancangan Tanah Pinggir Padang Besar, Sik, Kedah. Tahun 1991 dipilih sebagai `Tahun Teknologi Getah' yang bertemakan `Teknologi Meningkatkan Pendapatan' kerana melalui teknologi akan dapat meningkatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran serta memendekkan jangka masa keremajaan pokok getah. Seramai 107,000 pekebun kecil getah terbabit dengan kempen tahun Teknologi Getah di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 8,000 pekebun kecil mewakili negeri masing-masing. Kempen Tahun Teknologi Getah itu akan dijalankan hingga akhir tahun di mana pekebun-pekebun kecil akan diberikan penekanan mengenai pentingnya teknologi baru getah diamalkan, kerana teknologi berkenaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi juga hasil. Dalam ucapan perasmiannya Encik Ghafar Baba berkata bahawa pekebun-pekebun kecil getah digalak meningkatkan hasil daripada 1,100 kilogram bagi setiap hektar kepada 1,800 kilogram sehektar seperti yang dihasilkan diestet-estet, kerana perbezaan 700 kilogram itu menyebabkan pekebun-pekebun kecil kerugian sehingga RM1,400 setiap hektar.  Hasil itu juga boleh ditambah sehingga 2500 kilogram sehektar kerana lebih banyak kaedah yang diperkenalkan oleh Risda untuk meningkatkan hasil melalui pengenalan klon baik, membasmi penyakit serta penggunaan baja yang betul. Di antara agensi-agensi lain yang turut serta dalam kempen tersebut ialah Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Mardec, Felcra, Felda dan Universiti Pertanian Malaysia. Sesungguhnya dengan pelancaran Kempen Tahun Teknologi Getah 1991 diharap para pekebun kecil getah akan berjaya meningkatkan hasil pendapatan mereka ke tahap yang lebih baik.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 24 April 2016

Jelaskan sumbangan al-Ghazali dalam bidang falsafah.

Nama sebenar Imam al-Ghazali ialah Muhammad al-Thusi al-Imam Abu Hamid al-Ghazali. Beliau dilahirkan di Thus pada tahun 1058M. Antara guru yang pernah mengajar beliau ialah Imam al-Radzakani, Imam al-Abi Nash al-Ismaili, dan Imam al-Haramain Abu Ma’ali al-Juwaini.
       Sebagai individu yang tekun menuntut dan ilmu pengetahuan, beliau telah berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu seperti usuluddin, usul fiqh, mantik, membaca hikmah dan yang
paling terkenal ialah falsafah. Kelebihan tersebut membolehkan beliau menulis dan menyusun kitab-kitab daripada pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajarinya.

      Imam al-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga, iaitu ateis,natural. dan teologi. Golongan pertama, iaitu ateis ialah golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua, iaitu natural ialah golongan ilmuwan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan ketiga ahli teologi, iaitu ahli yang membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle, dan Socrates. Golongan ini membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.

      Imam al-Ghazali merupakan orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian, iaitu matematik, mantik, fizik, ketuhanan, siasah, dan akhlak.Matematik menurut Imam al-Ghazali adalah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama.

      Mantik pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan.Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang, air, udara, dan alam seluruhnya.

      Ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan daripada perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari perbincangan mantik dan logik. Ilmu ini menurut Imam al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar.

     Siasah menurut Imam al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.Ilmu yang terakhir dalam falsafah menurut beliau ialah akhlak. Akhlak merupakan ilmu yang berkaitan cara seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.

     Metodologi yang diasaskan oleh Imam al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara
penulisan beliau yang terkenal dalam bidang falsafah ialah Maqasid al-falasifuh, al-Munqiz min aldhalal, dan Tahafut al-falasifah.

      Imam al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam.Beliau dapat menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah ketuhanan Yunani yang tidak bertauhid kepada agama yang suci, iaitu Islam. Imam al-Ghazali berjaya mempertahankan kemurnian Islam sekali gus mengelak amalan mengagung-agungkan falsafah Yunani tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah Islam.

Kesimpulannya,kemampuan Imam al-Ghazali memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada tokoh-tokoh ulama serta kebijaksanaan beliau berhujah dengan mengemukakan pandangan-pandangan yang bernas menyebabkan beliau disanjung tinggi oleh umat Islam.Gelaran hujjatul Islam yang diberikan kepada beliau sememangnya amat tepat berdasarkan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau.

Sumber rujukan-Mohd Zaki Ahmad,Score in STPM Penggal 2 Sejarah Islam (500-1918) Kertas2 940/4 Kertas Model, (Shah Alam: Oxford Fajar.2013)  ,76-77.

UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS TAMBAK JOHOR


Pada hari ini 24.4.1920 Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar telah meletakkan batu asas tambak Johor. Upacara ini dihadiri bersama oleh Sir Lawrence Guillemard sebagai wakil kerajaan Negeri-negeri Selat. Sebelum rancangan pembinaan tambak Johor dijalankan, beberapa skim telah dikemukakan untuk membina sebuah jambatan bagi menghubungkan negeri Johor dengan Singapura. Tetapi oleh kerana tapak bagi pembinaan jambatan itu tidak menyakinkan, rancangan itu dibatalkan. Akhirnya pengarah Jabatan Kerjaraya Negeri-negeri Bersekutu Mr.W.Eyre Kenny mengemukakan cadangan bagi pembinaan tambak Johor. Tambak batu ini yang berukuran 3,465 kaki panjang dan 60 kaki lebar mengandungi tambakan batu yang dianggarkan berjumlah setengah juta kaki persegi. Di atas tambak itu dibina landasan keretapi dua hala dan sebatang jalan raya selebar 26 kaki untuk kenderaan. Manakala disebelah kiri dan kanan tambak dibina lorong untuk berjalan kaki. Projek pembinaan tambak ini selesai dalam masa lima tahun dengan perbelanjaan sebanyak $17 juta. Pada bulan Januari tahun 1942, tentera British telah mengebom tambak itu untuk menahan kemaraan tentera Jepun ke Singapura, dan memusnahkan sepanjang 70 kaki dari bahagian tambak itu. Kerosakan itu telah diperbaiki oleh Jepun dua bulan kemudiannya. Hingga ke hari ini tambak Johor masih tetap utuh dan kukuh sebagai nadi perhubungan darat yang terpenting di antara semenanjung Malaysia dengan Singapura.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Sabtu, 23 April 2016

RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) DILULUSKAN 23.4.2016

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1959, sebuah  Rang  Undang-Undang  Perbadanan  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka (DBP) telah  diluluskan.  Rang  Undang-Undang  tersebut  telah  dikemukakan  dan  diluluskan  dalam  Majlis  Undangan  Persekutuan Sejak  merdeka,  inilah  kali  pertama  sebuah  Rang  Undang-Undang  dibentangkan  dalam  Bahasa  Melayu,  Ahli-ahli Majlis  Undangan  tersebut  juga  menyokong  dalam  bahasa tersebut. DBP  yang  pada  mulanya  adalah  sebuah  Jabatan,  telah  menjadi  sebuah  Perbadanan  di  bawah  Kementerian  Pelajaran. Bermula  1 Ogos 1959,  cara  pentadbiran  DBP  telah  berubah  sebagai  sebuah  Perbadanan  yang  mempunyai  Lembaga.  Ia  dikenali  sebagai  Lembaga  Pengelola  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka.  Lembaga  ini bebas  menentukan  langkah dan  dasarnya  sendiri  dalam  hal-hal pentadbiran. Antara  langkah-langkah  yang  diambil  ialah  penubuhan  Jawatankuasa  seperti  Jawatankuasa  Kewangan, Jawatankuasa Penerbitan Buku, Jawatankuasa Tawaran (Tender), Jawatankuasa Perkhidmatan  dan  Jawatankuasa  Kerja. Tugas  Lembaga  yang  tertulis  di  dalam  Akta 213 ialah  menggalakkan  perkembangan  bahasa  dan  kesusasteraan  dalam  Malaysia. DBP  telah  berjaya  menampakkan  hasil  kerja yang  boleh  dibanggakan terutamanya  dalam  urusan-urusan  pentadbiran.  Sesuai  dengan kemerdekaan  yang  dicapai, fungsi  dan  kewujudannya  mula  mendapat  kepercayaan  dan  sambutan  orang  ramai.

http://hids.arkib.gov.my/