ARKIB : 18/08/2009
NAMA sebenar beliau ialah Lulabah
binti al-Harits dan mendapat gelaran Lulabah al-Kubra. Beliau lebih dikenali
dengan panggilan Ummu Fadhl yang membawa makna ibu Fadhl.
Ummu Fadhl memeluk agama Islam
sebelum hijrah. Beliau merupakan wanita pertama selepas Khadijah bin Khuwailid
memeluk agama Islam.
Perkara ini dinyatakan oleh
Abdullah, anak yang berbunyi: "Saya dan ibu saya adalah termasuk orang
yang tertindas dari wanita dan kanak-kanak". Suami beliau ialah Abbas bin
Abu Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad.
Abbas tidak mengisytiharkan
keislamannya sehingga pada tahun pembebasan Kota Mekah. Abu Rafi, hamba nabi
Muhammad menyatakan: "Saya pernah menjadi pelayan bagi Abbas bin Abu
Mutalib. Ketika Islam datang maka Abbas memeluk agama Islam lalu diikuti oleh
Ummu Fadhl dan saya juga memeluk agama Islam. Hanya Abbas merahsiakan
keislamannya".
Ummu Fadhl telah melahirkan enam
orang anak lelaki yang bijaksana dan mulia. Mereka adalah Fadhl, Abdullah,
Ubaidullah, Mabad, Qatsam dan Abdul Rahman.
Abdullah merupakan seorang imam
ilmu tafsir tersohor sehingga mendapat gelaran lautan kerana memiliki ilmu yang
sangat luas dan kemuliaannya.
Kebijaksanaan Abdullah merupakan
salah satu anugerah dari Allah kepada Ummu Fadhl. Kenikmatan Allah atas
hambanya sangat luas dan paling sempurna adalah kebijaksanaan anak.
Ummu Fadhl dan Ummu Aiman telah
diberi penghormatan untuk memandikan jenazah Khadijah oleh nabi. Ketika nabi
berhijrah ke Madinah, Ummu Fadhl dan suaminya menetap di kota Mekah tetapi
mengikuti perkembangan nabi di kota Madinah.
Ummu Fadhl telah mendapat kemuliaan
untuk memukul dan membunuh Abu Lahab (musuh orang Islam) selepas Perang Badar.
Abu Lahab tidak dapat berjuang
dalam Perang Badar dan mewakilkan dirinya kepada Ash bin Hisham. Ini adalah
adat orang Quraisy yang akan mewakilkan kepada orang lain jika mereka tak dapat
menyertai sesuatu peperangan. Abu Lahab menunggu dengan penuh debaran.
Ummu Fadhl duduk memerhatikan
hambanya, Abu Rafi sedang memahat sesuatu pada batuan di sekitar telaga zamzam.
Mereka berdua berasa gembira mendengar kemenangan pihak Islam ke atas pihak
kafir Quraisy Mekah.
Abu Lahab yang mendapat berita
kekalahan pihak kafir Quraisy berlari ke arah Abu Suffian bin Harith yang baru
pulang dari Perang Badar.
"Abu Suffian sudah pulang
dari Badar. Mari kita tanya apa yang telah berlaku di Badar?," kata
orang-orang Mekah yang mula mengerumuninya.
"Wahai sepupu, ceritakanlah
kepada kami peperangan Badar yang telah kau sertai," kata Abu Lahab kepada
Abu Suffian.
"Ketika pasukan kita hendak
bertempur dengan pihak Muhammad, tiba-tiba mereka menyerang tanpa henti ke arah
pasukan kita. Mereka bertempur sesuka hati dan menawan kami sesuka hati.
"Kemudian saya menghimpun
semula pasukan untuk menyerang mereka, tiba-tiba kami melihat ada sekelompok
lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia. Mereka tidak
menginjakkan kaki ke tanah," cerita Abu Suffian dengan bersungguh-sungguh.
"Itu adalah malaikat",
sampuk Abu Rafi sambil mengangkat batu dengan tangannya.
"Apa kata kamu?," Abu
Lahab mengepalkan tangannya lalu memukul Abu Rafi dengan kuat.
Abu Lahab tidak suka Abu Rafi
menyampuk cerita Abu Suffian itu. Dia memandang hina pada Abu Rafi yang hanya
merupakan seorang hamba. Hatinya yang marah sudah tidak terkawal sehingga Abu
Lahab menarik tubuh Abu Rafi lalu memukulnya berulang kali di atas tanah.
Ummu Fadhl yang tengah duduk
terkejut melihat sikap Abu Lahab yang sudah melampaui batas. Beliau mendekati
salah sebuah tiang khemah tempat Abu Suffian tengah duduk lalu mengambil dengan
tangannya. Ummu Fadhl memukul Abu Lahab dengan pukulan keras tepat pada kepada
Abu Lahab sehingga luka.
"Aduh sakitnya! Berhenti
pukul saya," Abu Lahab menjerit kesakitan sambil memegang bahagian
kepalanya yang mula berdarah.
"Berani kamu menyeksa hamba
saya ketika tuannya tiada!," tengking Ummu Fadhl lalu meminta Abu Rafi
bangun dan beredar dari kawasan itu.
Abu Lahab bangun lalu berdiri dan
memalingkan muka dari Ummu Fadhl dengan perasaan malu. Nyawa Abu Lahab tidak
panjang selepas kejadian itu. Allah telah menimpakan penyakit bisul kepada Abu
Lahab yang menyebabkan kematiannya.
Keberanian Ummu Fadhl terhadap
musuh Allah seperti Abu Lahab sehingga jatuhnya kehormatan diri dan
kesombongannya harus menjadi teladan kepada peribadi wanita Islam.
Ummu Fadhl selalu dimuliakan oleh
nabi dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan wanita Islam pada zaman itu
kerana memiliki sifat peribadi dan akhlak yang baik.
Ummu Fadhl adalah wanita yang
beriman, bertakwa, rajin berpuasa dan ikhlas hatinya.
Pada suatu hari Ummu Fadhl
menceritakan mimpinya kepada nabi yang sering mengunjungi dan tidur siang di
rumahnya. Nabi mendengar kata-kata Ummu Fadhl tentang mimpinya sebelum
memberitahu apa maknanya.
"Ya Rasulullah saya bermimpi
seperti salah satu daripada anggota tubuh kamu berada di rumah saya".
"Bagus mimpi kamu. Fatimah
akan melahirkan seorang anak lelaki nanti. Anak itu akan kamu susukan bersama
dengan anak kamu, Qatsam," kata nabi tentang mimpi Ummu Fadhl.
Ummu Fadhl berasa gembira dengan
apa yang dikatakan oleh nabi dan menceritakan kepada keluarganya tentang
perkara itu. Tidak berapa kemudian, Fatimah melahirkan seorang anak lelaki yang
dinamakan Hasan yang kemudian diasuh oleh Ummu Fadhl.
Dia meninggal dunia pada zaman
pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YKfKKeYp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan