ARKIB : 19/07/2009
PERISTIWA Israk dan Mikraj
(perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian
ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses
pengukuhan dan penyucian kerohanian Rasulullah pada masa lalu.
Ia sekali gus menjadi ‘peristiwa
agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada
masa kini.
Hanya dalam satu malam, Allah SWT
mencipta perjalanan Rasulullah SAW untuk melihat sebahagian tanda-tanda
kebesaran-Nya; mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkannya
perintah solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang
dilakukan dengan jasad dan roh Rasullullah SAW dalam keadaan jaga itu (bukan
mimpi).
Perjalanan ini memiliki makna
yang sangat khusus, terutama bagi diri Rasulullah.
Ia berlaku kerana Allah hendak
menunjukkan kepada Muhammad tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya, seperti yang
disebut dalam al-Quran: Agar Kami tunjukkan kepadanya sebahagian tanda-tanda
kekuasaan Kami (Surah Al-Isra ayat 1).
Sesungguhnya dia telah melihat
sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling benar (Surah Najm ayat
18).
Meskipun terdapat jurang
perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj,
terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya
peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26
Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.
Banyaknya pendapat yang
membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik
tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang
berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan
fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW,
pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia
Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.
Sebagai contohnya tentang hakikat
buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul
pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi
harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa
media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam
perjalanan yang agung ini.
Dalam hal itu maka pendapat yang
diyakini jumhur ulama adalah pendapat yang paling baik untuk diikuti. Kita
harus menolak dalil-dalil yang sesat dan sebaliknya mengunakan dalil yang sahih
sebagai dasar pegangan bagi menunjukkan nilai-nilai keislaman dan sikap
keberagamaan.
Sayyid Qutub dalam kitabnya yang
terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ‘‘Perjalanan dari Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih
dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari
zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad SAW.
Demikian pula, perjalanan agung
ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid
(agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk
memberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang
menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.
Muhammad
Begitu juga dengan Israk Mikraj
tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk
Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki
makna yang lebih luas dan mendalam.
Banyak berlaku perdebatan yang
terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh
sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia
terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak
begitu popular di kalangan umat Islam.
Sebenarnya, peristiwa Israk dan
Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah
tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu.
Bagaimanapun, kenyataan yang terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang
hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir
baru tentang Israk dan Mikraj.
Ia menunjukkan secara jelas
tentang adanya penambahan atau penceritaan versi baru yang lahir dari perawinya
dan sama sekali tidak berkaitan dengan sabda Rasulullah atau dari dalil-dalil
yang sahih.
Sejarah membuktikan banyak kitab
yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis
yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam
kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H -151 M). Kitab ini adalah karya
tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil sahih atau dapat
dipertanggungjawabkan bagi membicarakan perihal Israk dan Mikraj.
Setelah itu lahir banyak karya
atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan
hadis-hadis yang dari segi kesahihannya tidak dapat dipertanggungjawabkan.
Dengan demikian, maka lahirlah
pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj
itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan
jisim (tubuh) baginda Rasulullah SAW, selebihnya dengan roh.
Dalam hal ini perlu ditegaskan
bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha
yang bersungguh untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan
perjalanan agung Rasulullah SAW tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan
datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul,
bukan dongengan atau palsu semata.
Apakah sebenarnya makna-makna
tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk
dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang
ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW? Dan apa yang lebih penting
ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti
diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.
Realiti sejarah membuktikan
bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang musyrik dan kafir yang percaya
akan kejadian Israk dan Mikraj ini.
Para ulama merumuskan bahawa
sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghiburkan Rasulullah
SAW yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara, Abu Talib
serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan
masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut
nyawanya.
Tahun yang dianggap tahun
kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah SWT telah ‘mengisrak mikrajkan’
Rasulullah SAW. Allah SWT telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan
tanda- tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat
sebahagian tanda- tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung.
Ini bermakna hikmah peristiwa
Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan
perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.
Sheikh Thanthawi Ahmad Umar
menyatakan dalam majalah Mimbar al-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari
perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan
bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah
SAW.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan
ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.
Namun begitu, ada juga yang
mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah
kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah SWT,
sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Ia merupakan sebahagian daripada
tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Mohd Shauki Abd Majid
Penulis adalah Pengurus
Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Y2zbofWK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan