Jumaat, 30 November 2018

Bilal dilatih bunuh Nabi


ARKIB : 14/09/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
TIDAK seperti sesetengah umat Islam yang telah lama memeluk Islam atau dilahirkan sebagai Islam sejak lahir, tetapi iman mereka tetap senipis kulit bawang.

Amat berbeza apabila kita memperkatakan iman Bilal bin Rabah yang langsung tidak goyah malah sangat kental ketika teruk diseksa oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf. Pada hal beliau baru sahaja memeluk Islam ketika itu.

Bayangkan selama dua hari berturut-turut Bilal diseksa dengan dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah-tengah kepanasan padang pasir dan batu besar yang dihempap ke atas dadanya menambahkan lagi penyeksaan.

Sebelum itu, lehernya diikat tali untuk diheret dan dibaling batu oleh kalangan Musyrik Mekah ketika dibawa Umaiyyah untuk diseksa di padang pasir.

Anda hayatilah kisah hidup Bilal menerusi sebuah buku Novel Sejarah Islam terbitan PTS (2009) karya Abdul Latip Talib; Bilal bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit.

Walaupun buku ini tidak lebih sebuah karya berbentuk novel atau penceritaan dengan gaya bahasa yang bebas namun semua itu bertujuan untuk menajamkan lagi pengetahuan dan mempertahankan fakta-fakta sejarah yang ada.

Pada buku ini diberikan gambaran yang jelas dan mendalam mengenai kehidupan sebagai hamba sahaya yang dilalui oleh Bilal dan keluarganya.

Ibu bapanya, Rabah dan Hamamah sebenarnya bukanlah berasal dari golongan hamba, tetapi mereka cuba berhijrah dari Habsyah untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Mekah. Tetapi dalam perjalanan mereka telah diserang dan menjadi tawanan yang kemudiannya dijual sebagai hamba di Pasar Ukaz.

Mereka kemudiannya dibeli oleh keluarga Bani Abu Dar yang sangat terkenal dengan kekayaan dan kehidupan yang mewah.

Pasangan suami isteri ini kemudiannya dibeli oleh keluarga Bani Abdul Dar dan tinggal di daerah As-Sarah yang terletak di pinggir Kota Mekah. Namun malangnya tuan yang membeli mereka bersifat kejam dan langsung tidak berperi kemanusiaan terhadap Rabah dan Hamamah. Namun selama dengan keluarga itu, lahirnya anak sulung mereka, Sahib dan Bilal sendiri iaitu 43 tahun sebelum Hijrah.

Menjadi hamba sahaya bererti mereka bukan manusia. Ini apabila Sahib kemudiannya diambil, dipisahkan dan dibawa ke Yaman untuk dijual seperti barang di sana.

Ibu bapa mana yang bagai disambar halilintar, terkejut apabila anak kesayangan mereka hendak diambil begitu sahaja. Hanya kerana si anak dijangka dapat dijual dengan harga yang mahal maka tidak ada hak untuk ibu bapanya menahan perbuatan si majikan.

Umaiyyah bin Khalaf adalah dalangnya, yang hendak membantu Abu Dar menjual Sahib bagi membolehkan mereka berkongsi keuntungan dengan menjual seorang manusia!

"Kamu milik keluarga Abdul Dar. Tuan kamu bersetuju jika aku mengambil salah seorang anak kamu bagi dijual di Yaman. Kamu tidak ada hak membantah!," tengking Umaiyah bin khalaf apabila Rabah dan Hamamah merayu dan cuba menahan dari anak mereka dibawa pergi.

Bayangkan kesedihan yang ditanggung lebih-lebih lagi si ibu apabila berlaku perpisahan yang kejam seperti ini. Hati ibu mana yang tidak hancur luluh apabila anak bagai disambar seekor helang, yang tidak mungkin akan ditemui lagi.

Sehinggalah si ibu mendengar sendiri, anak kesayangannya berjaya dijual dengan harga yang mahal yang menyebabkan pinggan di tangan jatuh terhempas di lantai akibat terlalu terkejut.

Akibatnya Hamamah dibelasah dan diseksa oleh tuannya, Abdul Dar kerana beliau didapati menyebabkan sebiji pinggan yang mahal, jatuh dan pecah berderai! Dadanya ditumbuk sehingga wanita malang itu jatuh ke lantai. Tidak cukup itu, Hamamah ditendang semahu-mahunya sehinggalah Umaiyyah datang meminta Abu Dar berhenti menyeksa Hamamah.

"Jika kamu terus memukulnya, dia akan mati. Kita juga yang rugi kerana tidak dapat menjualnya," kata Umaiyah.

Si ibu yang malang itu akhirnya jatuh sakit, sakit menanggung rindu terhadap anak yang diragut pergi dan sakit akibat diseksa. Semua ini memberikan tekanan sehingga tidak ada mental dan fizikal yang dapat bertahan. Si ibu akhirnya pergi buat selama-lamanya. Membawa bersama kerinduan terhadap si anak dan penderitaan akibat tidak mempunyai hak-hak kemanusiaan terhadap diri sendiri.

Akhirnya Rabah sendiri mengikut jejak isteri tercinta, jatuh sakit akibat terlalu diperhambakan dan akhirnya meninggal dunia yang menyebabkan kini tinggallah si Bilal seorang diri sebatang kara di dunia ini.

Begitulah sejarah awal kehidupan Bilal yang penuh dengan kepedihan, menjadi mangsa zaman atau era kejahilan yang teruk apabila manusia dinilaikan harganya sama ada murah atau mahal untuk dijual! Tidak ubahnya seperti hendak menjual haiwan ternakan, unta, lembu, kambing dan sebagainya!

Namun menarik mengenai Bilal ini sedari kecil beliau sememangnya tidak pernah menyembah berhala. Kala hayat ayah dan ibunya masih ada, mereka pergi ke Kaabah lalu menyembah tuhan-tuhan yang ada di situ sambil menangis, mengadu supaya anak mereka, Sahib dipulangkan semula ke pangkuan keluarga.

Namun Bilal hanya memerhatikan sahaja perbuatan ibu bapanya itu.

"Mak, ayah bolehkah patung berhala itu mengembalikan abang Sahib kepada kita?," tanya Bilal semasa dalam perjalanan pulang dari Kaabah itu.

Rabah dan Hamamah serba salah hendak menjawab pertanyaan anaknya itu. Tetapi akhirnya berkata: "Itu tuhan kita sejak turun temurun. Jika tidak mereka kepada siapa lagi kita hendak mengadu?"

Namun Bilal tidak pernah meneruskan tradisi penyembahan itu kerana percaya berhala itu hanya sekadar patung yang tidak bergerak dan bisu.

Ini kerana baginya jika benar berhala-berhala itu berkuasa, tentunya beliau dan keluarga telah lama bebas dari belenggu rantai perhambaan seperti selalu diminta oleh ibu bapanya sebelum ini.

Tetapi tahukah anda, Bilal pernah memasuki pertandingan gusti iaitu satu pertandingan yang sebelum ini tidak pernah terbuka kepada golongan hamba sahaya.

Semua ini semata-mata rancangan jahat tuannya, Umaiyyah bin Khalaf dan lain-lain pembesar Quraisy yang membincangkan mengenai satu komplot. Mereka setuju kemudiannya supaya Bilal menjadi seorang 'kaki gaduh' atau lebih tepat 'pembunuh terlatih' untuk membunuh seseorang yang sangat mulia di muka bumi ini, Nabi Muhammad SAW!

Setelah memasuki beberapa pusingan perlawanan, iaitu dengan mengalahkan para peserta yang terdiri dari golongan hamba juga, akhirnya Bilal memenangi kejuaraan setelah berjaya menumbangkan lawan yang dikatakan lebih berusia darinya.

Bilal kemudiannya diberikan sebilah pisau yang tajam yang dilumurkan racun yang paling berbisa dan disembunyikan dalam jubah yang dipakai oleh hambanya itu.

Bilal kemudiannya 'meminta' bantuan daripada sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq untuk membawanya berjumpa dengan Rasulullah bagi menjayakan misi 'membunuh' Nabi Muhammad seperti yang diperintahkan oleh tuannya.

Tetapi tahukah anda mengapa Bilal yang dipikulkan dengan tugas yang berat ini? Mengapa tidak pemuda-pemuda lain yang lebih 'terlatih' dan tangkas untuk menamatkan riwayat baginda.

"Saya mencadangkan kita adakan perlawanan gusti di kalangan hamba-hamba kita. Siapa yang muncul sebagai juara kita boleh gunakan bagi membunuh Muhammad. Jika Bani Hashim hendak menuntut bela, kita boleh serahkan hamba itu kepada mereka bagi dibunuh. Kita tidak rugi apa-apa!," kata Abu Jahal dalam komplot hendak membunuh Nabi itu.

Adakah Bilal tega atau sanggup membunuh Nabi Muhammad sedangkan beliau sendiri tidak sabar-sabar untuk mengenali baginda setelah mendengar pelbagai cerita sebagaimana diceritakan oleh penduduk Mekah di sana sini mengenai Nabi Muhammad.

"Benarkah Nabi Muhammad ini penyelamat yang selama ini yang ditunggu-tunggu oleh kaum yang tertindas. Benarkah agama yang dibawanya akan memberikan seribu rahmat terhadap semua manusia.

"Benarkah Islam itu agama yang akan memberi keadilan kepada semua pihak, bagaimana dengan aku yang dilahirkan sebagai hamba ini? Bolehkah agama itu membebaskan aku dan menjadikan manusia yang merdeka?" kata Bilal.

Pelbagai pertanyaan mengenai Nabi Muhammad dan Islam bermain di kotak fikiran Bilal.

Namun fikirannya juga terganggu mengenangkan tawaran dari tuannya yang kononnya akan memerdekakan Bilal jika hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad.

"Untuk bebas dan menjadi manusia yang bebas dan merdeka ini sememangnya menjadi impian setiap hamba sahaya seperti ku ini.

"Jadi tawaran dari Umaiyyah ini tidak kurang menariknya juga. Semudah aku membunuh Muhammad dan aku akan merdeka" katanya.

Anda tahu Nabi Muhammad sentiasa terpelihara keselamatan baginda dari menerima sebarang ancaman maut. Tidak ada catatan sejarah yang merakam baginda berjaya dibunuh oleh Bilal.

Jadi apakah sebenarnya berlaku, ini kerana jika Bilal tidak berjaya membunuh baginda, tetap ada hukuman yang menanti, nyawanya akan menjadi galang ganti, beliau pula yang akan mati!

Mahu tidak mahu, demi nyawa sendiri Bilal mesti menjayakan misi ini. Ikuti selanjutnya keluaran akan datang!
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YLjN3Dwp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan