ARKIB : 09/08/2009
Hatrik Nicol di Singapura
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
sukan@utusan.com.my
SEPERTI yang diduga, Nicol David
sekali lagi berjaya dalam 'pertempuran' merebut gelaran kali ini muncul juara
Skuasy Masters Singapura buat kali ketiga berturut-turut mengalahkan Natalie
Grinham di Singapura, semalam.
KUALA LUMPUR - Bintang skuasy
Malaysia, Datuk Nicol David nyata tidak mampu disentuh ketika ini. Dan, semalam
dia merangkul kejuaraan antarabangsa kelimanya pada tahun 2009 dengan muncul
juara Masters Singapura buat kali ketiga berturut-turut.
Jaguh No. 1 dunia itu menumpaskan
musuh tradisinya dan pemain No. 3 dunia, Natalie Grinham dari Belanda 11-9,
11-8, 11-9 dalam masa 40 minit.
Malah, Nicol, 25, turut
mengukuhkan dominasinya di pentas skuasy wanita dunia dengan merangkul
kejuaraan ke-39 keseluruhan dalam kalendar Persatuan Pemain Skuasy Wanita
Antarabangsa (WISPA).
Ini merupakan kali ketiga
berturut-turut Nicol mengecewakan adik-beradik Grinham pada final Masters
Singapura. Dia menumpaskan Natalie pada 2009 dan 2007, dan menundukkan Rachael
pada 2008.
Sebelum perlawanan bermula,
pengadil, Munir Shah dari Singapura memperkenalkan kedua-dua pemain dengan
panjang lebar, malah sempat menyanyikan sebuah lagu.
Set pertama berlangsung dengan
amat rapat apabila kedua-dua pemain saling kejar mengejar mata, malah kedudukan
seketika terikat 8-8 sebelum Nicol akhirnya berjaya mencipta jurang dan
memenangi saingan.
Grinham mendominasi di awal set
kedua, termasuk mendahului 6-1 dan 8-2. Begitupun, semangat kental Nicol
menyaksikan dia meraih sembilan mata berturut-turut untuk menang 11-8.
Selepas mendahului 2-0, Nicol
tidak lagi memandang ke belakang pada set ketiga. Biarpun diberi tentangan
sengit oleh Grinham, dia menang 11-9 untuk mengesahkan kejuaraan.
"Saya rasa, kunci kemenangan
saya hari ini adalah kerana menumpukan kepada perkara-perkara kecil. Lebih baik
saya beri tumpuan kepada permainan sendiri daripada bimbangkan tentang lawan.
"Saya juga sentiasa
memastikan bahawa saya hanya akan memberikan yang terbaik, setiap kali memasuki
gelanggang,'' ujar Nicol, yang sebelum ini turut menjuarai Terbuka Malaysia,
Seoul, Texas dan Cayman Island.
Bagi Grinham pula, dia telah
melakukan yang terbaik untuk memberi tekanan kepada Nicol sepanjang perlawanan
ini.
"Set kedua paling penting.
Saya tidak rasa saya melakukan banyak kesilapan, sebaliknya Nicol yang bermain
dengan baik dan berjuang untuk bangkit.
"Sejak beberapa tahun lalu
saya bergelut dengan kecederaan, namun sekarang semuanya dalam keadaan terbaik.
Saya datang ke sini dengan fizikal yang mantap dan saya benar-benar ingin
membawa pulang gelaran di Singapura,'' akui Grinham.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJjf8T22
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan