Isnin, 26 November 2018

Saintis tempatan cipta sejarah


ARKIB : 16/06/2009
KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysia melakar sejarah saintifik melalui inisiatif Program Brain Gain Malaysia (BGM) apabila syarikat tempatan bergabung dengan universiti terkemuka University of Illinois Urbana Champaign (UIUC) bagi mengatasi norma saintifik berusia 40 tahun.

Saintis tempatan kaum Kelabit dari Sarawak, Dr. Gabriel Walter yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Electro Opto Systems (QEOS) Sdn. Bhd., mencatat sejarah dengan mencipta alat pemancar cahaya spontan terlaju di dunia yang mampu memancarkan cahaya pada kelajuan sehingga tujuh gigahertz (GHz).

Selama lebih 40 tahun, komuniti saintifik mempercayai bahawa alat cahaya spontan yang efisien tidak boleh beroperasi pada gelombang lebih 1 GHz.

Selepas penyelidikan asas lebih lima tahun yang dimulakan di UIUC pada 2004, pasukan QEOS-UIUC membuktikan bahawa Light Emitting Transistor (LET) mampu beroperasi pada 4.3 GHz, dan seterusnya mungkin pada 7 GHz dengan menggunakan Light Emitting Diode (LED).

Penyelidikan ini dibiayai oleh Agensi Penyelidikan Lanjutan Projek Pertahanan (DARPA) melalui dana empat tahun berjumlah RM22.75 juta (AS6.5 juta) dan disokong oleh dana BGM dan Pejabat Penyelidikan Tentera.

DARPA ialah agensi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bagi pembangunan teknologi baru untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz5XwiRALge
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan