Ahad, 25 November 2018

Merungkai sejarah N. Sembilan


 
ARKIB : 21/05/2009
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my
GALERI Sejarah Negeri Sembilan menghimpun pelbagai artifak dan pameran berkaitan keunikan adat perpatih bagi memenuhi kehendak pengunjung termasuk pelancong luar.

SEREMBAN 20 Mei - Sejarah kedatangan adat perpatih ke Negeri Sembilan berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau dari Sumatera Barat, malah kebanyakan penduduk di sini berasal daripada golongan penghijrah tersebut.

Penghijrahan itu membawa kepada keunikan gaya hidup dan warisan kebudayaan yang menjadi amalan sejumlah penduduk negara ini terutama daripada sistem matrilineal, di mana keturunan seseorang itu disusur galur mengikut sebelah ibu.

Namun kini sejauh mana sejarah dan amalan adat perpatih itu difahami oleh masyarakat seperti generasi muda negeri ini yang kebanyakannya mungkin sudah berhijrah ke ibu kota.

Perkara yang sama cuba diatasi melalui Galeri Sejarah Negeri Sembilan di Muzium Negeri di sini.

Penubuhan galeri yang menghimpun pelbagai artifak dan pameran berkaitan keunikan adat perpatih ini memenuhi kehendak pengunjung termasuk pelancong luar yang tertarik dengan keunikan adat dan warisan negeri ini.

Bukan sekadar mempamerkan secara kronologi penghijrahan orang Minangkabau di Tanah Melayu pada abad ke-15 secara terperinci, pengisian galeri baru itu juga turut diwarnai dengan pelbagai artifak dan replika berkaitan termasuk rumah Minang.

Pada satu sudut pengunjung juga akan tertarik dengan pelbagai bahan sejarah yang melambangkan institusi beraja, Undang Yang Empat dan Luak-Luak yang dibanggakan oleh masyarakat negeri ini.

Boleh diandaikan jika anda mengambil masa selama dua tiga jam untuk menyelusuri galeri tersebut, sedikit sebanyak maklumat tentang keunikan negeri ini mampu dibawa pulang.

Pengarah Lembaga Muzium tersebut, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, idea penubuhan galeri tersebut juga bermula daripada pandangan pengunjung sendiri yang tertarik dengan adat perpatih dan mahukan ia dipamerkan secara terperinci.

''Kita mendapat banyak maklum balas daripada pengunjung yang mengatakan mereka tidak puas hati ketika meneroka khazanah adat perpatih di sini dan mahukan lebih banyak maklumat yang berkaitan. Sebagai pihak muzium yang bertanggungjawab menyimpan dan menguruskan khazanah lama untuk orang ramai, kita memandang serius perkara ini.

''Dari situ bermulanya Galeri Sejarah ini yang dibuka sejak 14 April lepas. Apa yang diharapkan agar ia memberi banyak manfaat kepada pengunjung," katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, penubuhannya mampu melengkapkan lagi pengisian pameran di Muzium Negeri termasuk memberi kepuasan dan memenuhi hasrat pengunjung yang datang tidak kira daripada golongan akademik, pelajar dan orang biasa yang menginginkan maklumat sejarah Negeri Sembilan.

''Semuanya dipamerkan secara terperinci dan secara kronologi bermula dari penghijrahan orang Minangkabau ke Tanah Melayu pada abad ke-15 sehingga adat istiadat diraja yang menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.

''Jika ada seorang pelajar, pensyarah atau pengkaji sejarah yang ingin mendapatkan maklumat tentang Negeri Sembilan semuanya mampu diungkaikan dengan mengunjungi Galeri Sejarah ini," katanya.

Penubuhan Galeri Sejarah itu juga, kata beliau, bertepatan kerana selepas 41 tahun berlalu Adat Pertabalan Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini.

''Apa yang diharapkan melaluinya orang ramai akan mendapat maklumat awal mengenai adat istiadat tersebut yang penuh bersejarah dan gilang gemilang," kata beliau.

Pada masa yang sama, pihak muzium, kata Shamsuddin, akan mengatur pelbagai program dan aktiviti sama ada dalam bentuk pendidikan, kebudayaan, kesenian, warisan dan adat istiadat khususnya kepada pelajar sekolah dalam usaha memeriahkan lagi kunjung mereka ke muzium tersebut.

''Selain mendapat pelbagai maklumat ketika mengunjungi muzium, mereka juga diharapkan membawa pulang keseronokan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan," tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohd. Razi Kail berkata, penubuhan galeri itu juga mampu meningkatkan kehadiran pelancong di samping memartabatkan khazanah warisan silam negeri Adat Perpatih ini,'' kata beliau.

''Sememangnya kita mengetahui bahawa muzium tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat dan dari aspek pelancongan muzium sentiasa menjadi tumpuan masyarakat khususnya pada hari cuti.

''Begitu juga pelancong asing apabila datang ke negeri ini tidak lengkap kalau tidak berkunjung ke muzium. Demikian muzium mempunyai tarikan tersendiri," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm#ixzz5XvEH2hdG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan