ARKIB : 31/07/2009
ALLAH ingin menjadikan Nabi Ayub
sebagai seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh keimanannya, tabah, sabar,
tetap bersyukur dan sentiasa memuji Allah.
Oleh itu, Allah menguji Nabi Ayub
dengan pelbagai ujian termasuklah kehilangan harta benda dan anak-anaknya.
Ujian yang paling besar diterima oleh Nabi Ayub ialah ditimpa penyakit kulit
yang sangat teruk.
Allah membenarkan iblis untuk
menjalankan tipu muslihatnya. Tujuan Allah membenarkan iblis berbuat sedemikian
adalah untuk menguji keimanan Nabi Ayub.
Namun begitu, Allah mengetahui
bahawa Nabi Ayub mempunyai keimanan dan kesabaran yang tinggi walaupun
diberikan pelbagai ujian dan dugaan.
Penyakit kulit yang dihadapi oleh
Nabi Ayub sungguh teruk sekali hinggakan baginda tidak berdaya untuk bangun
daripada pembaringannya. Semakin hari, badannya semakin kurus dan baginda tidak
mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan. Mukanya menjadi pucat dan matanya
cengkung.
Walaupun Allah mengujinya dengan
penyakit yang begitu teruk, tetapi Nabi Ayub tetap beriman dan memuji kebesaran
Allah. Penyakit yang dihadapinya memakan masa hingga bertahun-tahun lamanya.
Baginda disisihkan oleh
masyarakat dan tidak ada sesiapapun yang sudi menjenguknya kecuali isterinya,
Rahmah yang setia menemani, menghibur dan menguruskan keperluannya selama ini.
Walaupun Nabi Ayub diuji dengan
penyakit yang begitu teruk, namun iblis masih tidak berpuas hati. Iblis telah
menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayub supaya bosan dan benci kepada Nabi Ayub.
Pada suatu hari, Rahmah berkata
kepada Nabi Ayub, "Sampai mati Allah akan menyeksamu, wahai Ayub? Ke mana
perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang gagah dan sihat
itu?"
Alangkah terkejutnya Nabi Ayub
apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ternyata isterinya itu juga sudah
berubah hati. Baginda berasa sedih kerana isterinya yang dikasihi sanggup
berkata begitu kepadanya.
Sejak hari itu Nabi Ayub tidak
lagi memandang isterinya. Makan minum yang disediakan oleh isterinya juga tidak
disentuh dan dimakan. Nabi Ayub telah bersumpah sekiranya baginda sembuh
daripada penyakit, baginda akan memukul isterinya sebanyak 100 kali sebagai
hukuman.
Kini tinggallah Nabi Ayub seorang
diri menghadapi penyakit yang ditanggungnya itu. Badannya semakin lemah dan
tidak berdaya lagi. Lalu Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Ayub supaya menggerakkan
kakinya sehingga keluar air. Air itu hendaklah diminum dan digunakan untuk
mandi oleh baginda. Nabi Ayub pun menurutinya.
Maka dengan keizinan Allah
badannya kembali kuat dan segar. Hilang segala penyakit yang ditanggungnya,
malah baginda lebih kuat dan gagah dari dahulu.
Pada masa yang sama, isteri
beliau telah melihatnya lalu terus kembali kepadanya. Nabi Ayub teringat akan
sumpahnya bahawa baginda akan memukul isterinya apabila sakitnya sembuh.
Isterinya itu pernah lalai menguruskan sewaktu baginda masih sakit. Akan tetapi
timbul dalam hatinya rasa hiba dan sayang kepada isterinya sehingga baginda
tidak dapat memenuhi sumpahnya.
Oleh sebab itu, turunlah perintah
Allah supaya baginda melaksanakan sumpahnya dengan tidak menyakiti isterinya
iaitu memukul dengan menggunakan seikat rumput yang terdiri 100 helai rumput
sahaja.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Y4CyLz1x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan