ARKIB : 25/08/2009
FATIMAH az-Zahra adalah puteri
bongsu nabi Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Khatijah. Fatimah dilahirkan
pada tahun ke-5 setelah nabi Muhammad diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan
tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj.
Beliau dilahirkan pada hari
Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi semasa masyarakat Quraisy sedang
memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada
bangunan tersebut.
Siti Fatimah mendapat gelaran
as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang
diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra
(yang cemerlang).
Beliau juga digelar Al-Batul,
iaitu yang menumpukan perhatian kepada ibadah dan menjauhi keduniaan. Fatimah
selalu bersujud ketika setiap kali berasa lapar dan berzikir setiap kali berasa
susah.
Fatimah mencintai ayahandanya
melebihi cintanya kepada siapa pun. Apabila ibunya meninggal dunia ketika
berusia enam tahun, Fatimah sentiasa berusaha untuk menggantikan peranan
ibunya.
Fatimah sentiasa mengajak nabi
berbual-bual dengan kata-kata yang menggembirakan dan menyenangkan hati nabi.
Justeru nabi memanggilnya dengan
panggilan manja Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya kerana kasih sayang yang
dicurahkan oleh Fatimah kepada ayahnya.
Fatimah mempunyai tiga orang
kakak iaitu Zainab, Rugayah dan Ummi Kalsum. Fatimah adalah anak yang paling
dicintai dan dikasihi nabi sehingga beliau berkata, "Fatimah adalah darah
daging saya, apa yang menyusahkannya juga menyusahkan saya dan apa yang
mengganggunya juga mengganggu saya".
Fatimah menyerupai ayahnya dari
sisi rupa dan akhlaknya. Ummu Salamah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang
yang paling mirip dengan Rasulullah.
Demikian juga dengan Aishah yang
pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah
dalam ucapan dan fikirannya.
Zaman kanak-kanaknya diwarnai
oleh pelbagai penentangan yang ditujukan kepada agama Islam yang dibawa oleh
ayahnya.
Penyeksaan, celaan yang keji,
gangguan mental dan fizikal dan fitnah dilakukan oleh golongan kafir Mekah
terhadap umat Islam.
Allah telah mengurniakan Fatimah
dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang tidak dimiliki oleh
kanak-kanak lain yang seusianya. Fatimah melihat cabaran dan dugaan yang
menimpa keluarga terutama pengalaman pahit yang menimpa ayahnya.
Cabaran dan dugaan itu mampu
difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan ini telah mendewasakan pemikiran
Fatimah supaya cekal menghadapinya dengan lebih cekal dan berani.
"Uqbah bin Abi Muit
menyimbah kotoran unta pada ayah kamu yang sedang bersujud di Kaabah!,"
kata seorang wanita kepada Fatimah yang sedang duduk di rumahnya.
"Apa! Sampai hati mereka
berbuat demikian kepada ayah saya," jawab Fatimah yang bergegas keluar
dari rumahnya.
Fatimah berlari sekuat hati
menuju ke arah Kaabah. Jantungnya berdegup dengan pantas memikirkan apa yang
telah berlaku pada ayahnya. Apabila sampai di hadapan Kaabah, Fatimah melihat
pembesar-pembesar Quraisy sedang ketawa kuat sambil menunjuk jari mereka kepada
ayahnya.
Beliau pantas menghampiri ayahnya
yang tengah bersujud di Kaabah. Fatimah melihat perut-perut unta yang berdarah
dan bernajis di atas kepala ayahnya. Beliau membersihkan kotoran itu dengan
pantas.
Air mukanya kelihatan sedih
bercampur geram kerana kotoran itu terpalit keseluruhan jubah ayahnya. Fatimah
bangun dan menghampiri Uqbah bin Abi Muit dan pembesar Quraisy lain yang
berdiri sombong bongkak tanpa perasaan takut.
Beliau menjeling tajam kepada
semua wajah-wajah itu dengan air mukanya yang benar-benar marah dengan tindakan
mereka terhadap ayahnya.
"Mengapa kamu melakukan
perkara keji ini kepada ayah saya?" tanya Fatimah dengan nada keras dan
marah.
"Suka hati kamilah. Mari
kita tinggalkan tempat ini. Puas hati saya melihat jubah Muhammad penuh dengan
kotoran unta," kata Uqbah lalu beredar dari situ bersama pembesar Quraisy
lain meninggalkan Fatimah yang masih sedih dan marah.
Pada satu peristiwa lain pula,
Fatimah sedang berjalan di sebuah lorong ketika berselisih dengan Abu Jahal
yang terkenal dengan permusuhannya terhadap agama Islam.
Abu Jahal menahan Fatimah lalu
menampar muka Fatimah beberapa kali. Fatimah terkejut dengan perbuatan Abu
Jahal terus berlari menuju khemah pemimpin Quraisy yang sedang duduk
berbincang.
"Ya Abu Sufian, ketua
pemimpin Quraisy. Saya ingin mengadu tentang sikap buruk Abu Jahal yang
tiba-tiba menampar muka saya tanpa sebab. Saya mahu keadilan!," kata
Fatimah di hadapan Abu Sufian tanpa perasaan takut.
"Apa! Abu Jahal menampar
kamu tanpa sebab. Pergi panggil Abu Jahal ke sini," arah Abu Sufian kepada
pengawal di sebelahnya.
Abu Jahal pun datang dengan
tergesa-gesa menuju khemah tempat pemimpin-pemimpin Quraisy sedang berbincang.
Dia tak menyangka Fatimah akan
datang mengadu kepada Abu Sufian tentang perbuatannya terhadap Fatimah. Dia
berharap Abu Sufian akan menyebelahinya dalam perkara itu.
Dia masuk ke dalam khemah itu
dengan muka sombong memandang wajah Fatimah yang kelihatan tenang.
"Mengapa kamu menampar muka
Fatimah tanpa sebab, Abu Jahal?," tanya Abu Sufian.
"Sahaja. Saya geram dengan
ayahnya". Jawab Abu Jahal dengan bongkak.
"Kamu tak ada hak berbuat
demikian terhadap budak kecil ini," kata Abu Sufian lalu memandang wajah
Fatimah.
"Hulur muka kamu supaya
Fatimah boleh menampar muka kamu," arah Abu Sufian kepada Abu Jahal yang
kelihatan terkejut mendengar keputusan Abu Sufian itu.
Fatimah tidak melepaskan peluang
itu untuk menampar muka Abu Jahal yang selama ini banyak menyakitkan hati
ayahnya. Beliau menampar muka Abu Jahal dengan sekuat hati dan pulang dengan
hati gembira ke rumahnya.
Fatimah menceritakan perkara yang
berlaku itu kepada ayahnya. Nabi gembira kerana Abu Sufian telah memberikan
keputusan yang adil kepada aduan anaknya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YKjjhZjH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan