Jumaat, 30 November 2018

Nabi SAW disakiti kaum Musyrikin


ARKIB : 07/09/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

Di awal Islam, masyarakat Arab yang baru memeluk Islam masih lagi melakukan solat jemaah jauh di padang-padang pasir supaya tidak diketahui oleh kaum kafir Quraisy. - Gambar Hiasan

KALAU dahulunya kaum kafir Quraisy menentang Rasulullah SAW tanpa perlu menyentuh tubuh badan baginda. Bahkan sehelai bulu roma baginda pun, mereka tidak akan cuba usik.

Cukup dengan kempen memburuk-burukkan baginda, dirasakan Nabi Muhammad pasti akan menyerah kalah. Ini kerana dengan cara kempen seperti itu, diyakini boleh memberi tekanan kepada ketahanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu tidak lagi mampu mempertahankan apa yang cuba diperjuangkan.

Namun mereka cukup marah apabila strategi tersebut langsung tidak memberikan kesan kepada nabi SAW. Malah semakin hebat mereka memburukkan baginda semakin hebat jugalah baginda meneruskan usaha menyampaikan dakwah-dakwah agama Allah.

Malah baginda tidak teragak-agak untuk terus meminta kaumnya supaya berhenti dari menyembah berhala serta meninggalkan segala kekufuran dan kehidupan yang selama ini penuh dengan kesesatan.

Akibat tidak lagi tertahan dengan 'kedegilan' Nabi Muhammad itu, maka akhirnya mereka bersetuju untuk mencederakan tubuh badan baginda.

Menurut al-Bukhari di dalam sahihnya bahawa Amru Ibn Al 'As menceritakan, pernah berlaku pada suatu hari, ketika baginda berada berdekatan dengan batu Hajaral Aswad di Kaabah, secara tiba-tiba datang seorang pemuda Arab Quraisy, 'Aqabah bin Abi Muit (La'natullah) menyerang baginda. Pemuda itu terus menjerut leher Nabi Muhammad dengan sehelai kain.

Jerutan yang begitu kuat itu menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bernafas dan hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Mujurlah ketika itu sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq kebetulan lalu di tempat kejadian dan terus menyelamatkan Nabi Muhammad dari terus menjadi mangsa jerut Aqabah.

Abu Bakar begitu marah dengan cubaan Aqabah itu lalu menjerkah dengan nada yang tinggi; "Adakah kamu mahu membunuh seseorang yang hanya berkata: Tuhanku ialah Allah?"

Namun peristiwa ini sama sekali tidak mematahkan semangat baginda dan menyerahkan kepada Allah supaya dirinya tidak diapa-apakan lagi di masa hadapan.

Namun dalam satu peristiwa lain, nyawa baginda benar-benar hampir melayang, kali ini di tangan musuh Islam yang paling jahat, si Abu Jahal. Abu Jahal yang dikatakan bukanlah orang lain kepada baginda tetapi yang selama ini duduk berjiran dengan Nabi Muhammad.

Terlalu geram

Mungkin akibat terlalu geram yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, Abu Jahal tanpa berfikir panjang kecuali ditambah lagi dengan hasutan syaitan, dia cuba menghempaskan sebongkah batu yang besar ke atas kepala Nabi Muhammad.

Satu tindakan untuk terus membunuh baginda setelah baginda dianggap menjadi satu ancaman besar kepada golongan kaum Quraisy Mekah.

Sebagai kekasih-Nya, mujur baginda dapat diselamatkan oleh Allah dalam cubaan jahat itu, malah Abu Jahal terus mencampakkan batu itu dan lari lintang pukang dengan wajah yang penuh ketakutan.

Apabila ditanya apa yang telah berlaku oleh kawan-kawannya yang lain, Abu Jahal dengan keadaan termengah-mengah itu pun memberitahu: "Ketika aku hampir-hampir hendak mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!

"Apa lagi, lintang pukang aku terpaksa lari menyelamatkan diri. Pelik, tidak tahu aku dari mana arah datangnya unta yang sangat besar itu. Tiba-tiba sahaja ia muncul. Maka terselamat lagi nyawa si Muhammad dari tangan ku ini!" katanya.

Namun kawan-kawannya itu tidak dapat menyebelahi apa lagi simpati terhadap nasib yang menimpa Abu Jahal kecuali mereka mentertawakannya seperti hendak pecah perut.

Ini menyebabkan Abu Jahal semakin marah dan terus menaruh dendam dan tetap bertekad untuk menghapuskan Nabi Muhammad.

Sebuah lagi kisah seorang kafir Quraisy yang melakukan satu cubaan jahat terhadap Nabi Muhammad, iaitu Uqbah Abi Mu'it. Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad sedang bersujud ketika melakukan ibadat solat, tiba-tiba datang si Uqbah dan terus meletakkan seketul besar perut unta ke atas belakang baginda.

Akibat terlalu berat, baginda tidak dapat bergerak atau bangun dari sujud apabila perut haiwan itu diletakkan di belakangnya. Sehinggalah datang puteri baginda, Fatimah Az Zahra yang terkejut melihat keadaan ayahandanya itu lalu terus membuang perut itu dan membersihkan belakang baginda dari sisa-sisa kotoran organ haiwan itu.

Sambil menangis sedih, Fatimah kemudiannya berdoa untuk orang yang melakukan kejahatan terhadap ayahandanya dan Nabi Muhammad sendiri turut sama-sama berdoa dengan sabda baginda yang bermaksud;

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku serahkan kepada-Mu urusan membalas ke atas muka-muka Quraisy yang cuba menghalang dari dakwah mu tersebar, Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Uqbah bin Abi Muit dan Umaiyyah bin Khalaf".

Begitupun perbuatan untuk menyakiti baginda tidak pernah terhenti. Semakin kuat Islam bertapak, semakin banyak tindakan seperti itu diambil terhadap baginda.

Kisah Ummu Jamil misalnya, bagaimana isteri kepada Abu Lahab (nama sebenar Abdul Uzza bin Abdul Mutalib namun sering dipanggil Abu Utaybah dan dan dipanggil Abu Lahab kerana dikatakan mempunyai wajah yang cerah) itu atau lebih tepat ibu saudara Nabi turut begitu memusuhi anak saudaranya sendiri.

Ummu Jamil atau nama sebenarnya Arwah (sesetengah dieja Arwa) binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Suffian adalah ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh, begitu menyokong tindakan suaminya dengan beliau sendiri melakukan pelbagai perkara buruk kepada Nabi Muhammad.

Beliau tidak sahaja selalu mencerca baginda di sana sini, tidak cukup itu Ummu Jamil sering menyakiti Nabi SAW dengan selalu menaburkan duri-duri tajam dan melemparkan segala macam kekotoran di atas jalan yang sering menjadi laluan harian baginda.

Bukan sedikit yang cuba menyakiti Nabi Muhammad secara fizikal termasuk pelbagai cubaan untuk membunuh baginda itu sendiri. Sedangkan jika perkara ini dilakukan, sama ada menyakiti baginda secara perkataan mahupun perbuatan, maka di sisi Islam, ia merupakan perkara yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan melaknati mereka (mengutuk) di dunia dan di akhirat dan akan disediakan bagi mereka akan azab seksa yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)

Firman-Nya lagi: ...dan mereka yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang pedih. (at-Taubah: 61)

Laknat Allah terhadap mereka yang cuba menyakiti Rasulullah tetap akan terpakai sampai bila-bila, hatta pada hari ini walaupun baginda tidak lagi dapat disakiti pada tubuh badannya.

Musuh-musuh Islam sama ada yang di kalangan bukan Islam dan dalam kelompok Islam itu sendiri yang cuba menyakiti baginda dengan apa juga cara terutama membuat pelbagai bentuk penghinaan tidak akan terlepas dari mendapat balasan pedih dari Allah.

Sekalipun penghinaan dibuat atas nama kejahilan atau ikut-ikutan, masih itu juga bukan alasannya bagi seseorang itu menghina baginda.

Malah lebih bahayanya pada hari ini, atas nama kekuatan ilmu untuk memerangi Islam, ramai yang masih mengkaji bagi mencari sudut-sudut kelemahan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk menghina baginda.

Mereka suka mengelirukan orang ramai dari fakta-fakta sejarah baginda. Namun kita yakin segalanya akan kembali seperti yang berlaku di Mekah pada awal penyebaran Islam itu sendiri.

Ini apabila golongan Musyrikin sendiri tetap menghadapi kesulitan di dalam mereka mengambil pelbagai tindakan terhadap baginda Nabi Muhammad.

Ini kerana 'musuh' yang mereka berdepan adalah seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia akhlaknya yang tiada tandingannya dalam sejarah nenek moyang mereka.

Oleh itu terpaksalah mereka berhempas pulas mengerah kekuatan akal bagi menyekat baginda dari menarik lebih ramai kalangan penduduk Arab meninggalkan agama nenek moyang.

Ini memberi ilham kepada mereka untuk menyeksa para pengikut baginda sendiri!
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YLRAlVOT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan