ARKIB : 21/08/2009
Tentera Muslimin dalam Perang
Uhud
Umat Islam yang menunaikan umrah
tidak melepaskan peluang menziarahi Bukit Uhud untuk melihat kesan peninggalan
sejarah.
SETELAH Nabi Muhammad SAW
menerima surat daripada Abas bin Abu Mutalib yang mengatakan tentang persiapan
kaum Quraisy untuk menentang kaum Muslimin, baginda segera kembali ke Quba'
bertemu dengan sahabat dan tentera-tenteranya.
Baginda memerintahkan tenteranya
supaya bersiap sedia untuk menghadapi lawan dan bertempur dengan kaum Quraisy.
Baginda menyarankan tenteranya
supaya sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada kerana pihak musuh sudah memulakan
perjalanan menuju ke Madinah.
Tentera-tentera baginda mendengar
arahan dengan tenang sekali dan tidak sedikit pun menampakkan kegelisahan.
Baginda mengirimkan dua orang utusan iaitu Anas bin Fathalah dan Mu'nis bin
Fadha'ah untuk mengintip tentera Quraisy.
Setelah menyelidik segala
pergerakan tentera Quraisy, kedua-dua utusan ini kembali ke Madinah dan
mengkhabarkan kepada baginda.
Baginda menyuruh pula seorang
sahabatnya yang bernama Hubab bin Mundzir supaya menyelidiki lebih jauh lagi
tentang kedatangan tentera Quraisy yang telah hampir memasuki Madinah itu.
Penduduk-penduduk Madinah mula
berasa takut dan tidak tenteram dengan berita kedatangan tentera Quraisy.
Kemudian untuk kali ketiganya,
baginda mengupah Salamah bin Salamah untuk mengintip pergerakan tentera
Quraisy. Ternyata tentera Quraisy sudah hampir memasuki Madinah. Setelah berita
itu disampaikan kepada baginda, persiapan mula dilakukan dengan
selengkap-lengkapnya.
Langkah pertama yang dilakukan
oleh baginda ialah mengumpulkan seramai mungkin tentera-tenteranya. Seterusnya
mereka diberi senjata yang lengkap dengan pakaian perang.
Sebahagian tentera Muslimin telah
diarah oleh baginda supaya berjaga di tepi kota Madinah. Manakala sebahagian
lagi mengawal di sekeliling masjid untuk menjaga dan mempertahankan baginda
daripada segala kemungkinan yang berlaku.
Tidak lama kemudian, baginda pun
keluar dari rumah dengan berpakaian perang dan dilengkapi dengan senjata untuk
berperang. Baginda keluar dari kota Madinah bersama 1,000 tentera Muslimin.
Hanya dua orang sahaja yang
menunggang kuda, manakala 100 orang pula bersenjata lengkap, dan selebihnya
mengikut dari belakang. Baginda dan tentera Muslimin pun memulakan perjalanan
menuju ke Bukit Uhud, tempat berlakunya peperangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YKhJd8jO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan