Isnin, 26 November 2018

Azdah al-Khaldah mengatur teknik perang


ARKIB : 07/07/2009
AZDAH binti al-Harith telah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran sebagai seorang perancang taktik peperangan untuk menakutkan angkatan tentera Parsi semasa pembukaan negara Iraq.

Peperangan yang disertai oleh Azdah binti al-Harith adalah Perang Maisan atau Perang Mazar. Maisan merupakan sebuah daerah di selatan negara Iraq yang diperintah oleh Gabenor Empayar Parsi.

Maisan adalah sebuah lembah yang dipenuhi dengan beberapa bandar kecil dan antara Basra dengan Wasit. Mazar merupakan sebuah bandar di mana terletaknya pusat pemerintahan daerah Maisan. Masyarakat tempatan yang mendiami daerah Maisan menganut agama Parsi dan setia pada Maharaja Parsi.

Pada tahun 633 Masihi, Komander Khalid al-Walid telah memimpin satu angkatan tentera untuk bertempur dengan angkatan tentera Parsi yang berkubu di bandar Mazar.

Selepas mengalahkan angkatan tentera Parsi dalam Perang Kazima, angkatan tentera Islam di bawah pimpinan Khalid al-Walid mengambil keputusan untuk berehat selama beberapa bergerak lebih jauh ke pendalaman negara Iraq.

Panglima Maaqal bin Muaqarrin telah diperintahkan oleh Komander Khalid al-Walid untuk memimpin satu pasukan tentera untuk menawan bandar Ubala.

"Komander Khalid, panglima Muthana melaporkan bahawa ada angkatan tentera Parsi yang mula membuat kubu di Mazar. Mereka mungkin sedang merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran untuk melawan kita.

"Mereka mahu membalas dendam atas kekalahan mereka di Kazima," kata Panglima Maaqal. Utusan Panglima Asim dan Panglima Adi keluar menyahut cabaran itu.

Semua mata tertumpu pada pertempuran empat orang panglima tentera yang tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya panglima Asim dapat membunuh panglima Anushjan dan panglima Adi pula dapat membunuh panglima Qabad.

"Allahu Akhbar! Serang dan musnahkan tentera musuh," laung Komander Khalid al-Walid sejurus tiga orang pegawai atasan angkatan tentera Parsi gugur menyembah bumi.

Pertempuran berlaku dengan sengit antara dua angkatan tentera yang inginkan kejayaan di pihak masing-masing. Walaupun kehilangan tonggak pimpinan, angkatan tentera Parsi tidak mahu mengaki kalah dengan begitu mudah.

Bilangan mereka yang lebih banyak dari anggota tentera Islam membuatkan mereka berasa yakin dapat menewaskan angkatan tentera Islam dengan mudah.

Pada masa yang sama, Azdah yang berada di perkhemahan tentera Islam memerhatikan pertempuran yang berlaku di antara tentera Islam dengan tentera Parsi.

Dia dapat melihat bilangan tentera Parsi yang begitu ramai sedang mengasak angkatan tentera Islam yang berjuang mati-matian. Perasaan bimbang menjalar dalam hatinya.

"Saya risau dan takut jika ada pasukan tentera Parsi yang berjaya melepasi pertahanan angkatan tentera Islam lalu menyerang kawasan perkhemahan yang didiami oleh isteri angkatan tentera Islam.

"Tidak ada siapa yang boleh melindungi kami jika berlaku situasi seperti itu. Kesemua angkatan tentera Islam sedang bertempur dengan pihak musuh. Saya harus merancang sesuatu agar kita semua selamat dari pihak musuh," Azdah duduk lalu memikirkan strategi terbaik untuk menakutkan tentera musuh.

"Wahai Muslimah semua! Kaum lelaki kita sedang bertempur sengit dengan pihak musuh, sementara kita semua adalah kaum wanita yang lemah. Kita tidak selamat jika pihak tentera musuh datang menyerang kita kerana tak ada orang untuk melindungi kita semua.

"Saya juga bimbang jika bilangan tentera musuh terlalu ramai menentang pihak tentera Islam sehingga pihak musuh dapat mengalahkan mereka. Jika kita keluar sekarang ke medan pertempuran, kita akan selamat dari apa yang kita takutkan.

"Pihak musuh akan menyangka kita semua merupakan angkatan tentera bantuan kepada tentera Islam yang sedang berperang dan pihak musuh akan melarikan diri kerana takut," Azdah menyatakan apa yang tersirat di hatinya lalu menyusun strategi untuk menakutkan pihak tentera Parsi.

"Kami setuju!," kesemua wanita yang berkumpul di hadapan Azdah menyatakan persetujuan untuk mara ke medan pertempuran.

"Buat bendera dari kain tudung kamu!," arah Azdah yang mula membuat bendera lalu diikuti oleh wanita-wanita lain.

Mereka semua keluar dari kawasan perkhemahan sambil berarak mengibarkan bendera di tangan mereka menuju ke kawasan pertempuran.

Azdah yang memimpin mereka bersyair dengan nada kuat memanggil kemenangan ke atas pihak Islam. Barisan wanita-wanita itu yang begitu ramai menghampiri medan perang membuatkan angkatan tentera Parsi terkejut dan mula berasa takut.

"Angkatan tentera bantuan bagi pihak Islam telah tiba. Kita dalam bahaya sekarang!," jerit salah seorang panglima tentera Parsi apabila melihat ada angkatan baru tiba lalu bergabung dengan angkatan tentera Islam yang sedang berperang dengan mereka.

Tumpuan pihak tentera Parsi mula hilang. Mereka sudah mula kucar-kacir kerana perasaan takut dan bimbang mula menjalar dalam segenap tubuh mereka.

Mereka tidak mungkin dapat menghadapi bilangan tentera yang lebih besar dari mereka. Ada yang mula mencampakkan pedang dan tombak mereka lalu berlari menuju ke arah sungai Tigris untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka tidak mahu mati atau menjadi tawanan pihak tentera Islam.

"Lari ke arah sungai untuk selamatkan nyawa kamu. Kita tak mungkin akan menang dalam peperangan ini," jerit panglima -panglima tentera Parsi yang mula menarik diri dari medan pertempuran.

Peluang keemasan yang muncul di hadapan mata digunakan sepenuhnya oleh angkatan tentera Islam. Mereka mengejar tentera Parsi yang melarikan diri ke arah Sungai Tigris.

Ada antara mereka yang melawan tentera Islam sehingga terpaksa dibunuh dan ramai juga yang menjadi tawanan pihak tentera Islam. Pihak tentera Islam berjaya mengalahkan angkatan tentera Parsi buat kali kedua.

Kebijaksanaan dan strategi Azdah berjaya membuatkan pihak tentera Parsi menjadi takut sehingga mereka menarik diri dari berperang dengan pihak tentera Islam.

Azdah merupakan srikandi Perang Mazar yang berjaya membuatkan pihak tentera Islam memperoleh kemenangan ke atas pihak tentera Parsi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5XxOcroK0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan