ARKIB : 07/09/2009
Oleh panel PENYELIDIKAN YAYASAN
SOFA, NEGERI SEMBILAN
Al-quran perlu dihayati dan
diamalkan dalam kehidupan seharian.
DALAM ruangan minggu lepas, kita
menampilkan peristiwa bersejarah tentang jihad umat Islam di Mesir pada 10
Ramadan 1393 Hijrah. Minggu ini pula, ruangan ini tersiar tepat pada 17 Ramadan
yang menghantar kita kembali kepada dua peristiwa bersejarah penting bagi umat
Islam, iaitu Nuzul Quran dan Ghazwah Badar al Kubra.
Nuzul al-Quran
Di Malaysia, apabila tiba 17
Ramadan, rata-rata umat Islam mengadakan sambutan sempena Nuzul al-Quran.
Mengimbau sejarah penurunan al-Quran, mengingatkan umat Islam tentang keagungan
mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini.
Sebenarnya Allah SWT berkuasa
menurunkan al-Quran tanpa melalui perantaraan sesiapa. Tetapi Allah telah
menghendaki al-Quran itu diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s untuk
disampaikan kepada insan pilihannya, Nabi Muhammad SAW kerana rahsia agung yang
terdapat di sebaliknya.
Rasulullah SAW pula bukan sahaja
berjaya menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna. Baginda SAW mengaplikasi
dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya
sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran.
Justeru, nabi SAW adalah gambaran
al-Quran. Menceritakan tentang kebesaran al-Quran bermakna menceritakan tentang
keindahan akhlak baginda SAW. Maka tidak wajarlah kita mengadakan sambutan
Nuzul Quran tetapi meminggirkan insan pilihan yang menjadi penyebab kita dapat
memahami dan menikmati keindahan al-Quran tersebut.
Penjagaan al-Quran
Di antara mukjizat al-Quran
adalah Allah SWT sendiri menjamin penjagaan terhadap isi kandungannya hingga
kiamat. Sekalipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencemarkan dan mengubah
kandungannya, al-Quran tetap terpelihara seperti mana yang dapat kita lihat
hari ini. Allah berfirman: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan
Kamilah yang memeliharanya. (al-Hijr :9)
Al-Quran disampaikan daripada
satu generasi ke satu generasi melalui kaedah yang cukup sistematik, terperinci
dan menyeluruh. Kaedah ini dinamakan sebagai sanad atau isnad.
Diriwayatkan daripada Abu Abbas
al-Daghuli berkata: Saya mendengar Muhammad ibnu Hatim ibnu al Muzaffar
berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini dan
melebihkannya dengan isnad. Tidak seorang pun dari umat-umat terdahulu dan yang
akan datang dikurniakan isnad.
"Hanya suhuf
(lembaran-lembaran) yang berada di tangan mereka, tetapi Kitab-kitab mereka
telah bercampur dengan khabar-khabar mereka. Mereka tidak dapat membezakan di
antara kitab Taurat dan Injil yang diturunkan, dan di antara cerita-cerita yang
masuk ke dalam kitab mereka yang diambil daripada orang-orang yang tidak
dipercayai."
Sebagai agama yang suci, Islam
amat menitikberatkan permasalahan sanad dan ijazah sebagai bukit kesahihan
serta ketulenan sesuatu riwayat dalam membendung perkara-perkara yang dibawa
masuk serta ditokok tambah di dalam agama dari perkara usul dan cabangnya. Ini
dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya: Wahai orang yang beriman! jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
(untuk menentukan) kebenarannya. (al-Hujuraat: 6)
Namun, hari ini, ramai umat Islam
tidak lagi peka dan faham tentang apa yang dinamakan sanad. Malah, mereka
mempersoalkan majlis-majlis bagi menghidupkan konsep sanad dan ijazah dalam
periwayatan ilmu.
Justeru, memandang pelik dan
ganjil terhadap sanad adalah suatu kejahilan. Penyakit yang menimpa umat ini
akibat telah tersusuk dengan jarum-jarum para musuh Islam yang sentiasa
berusaha keras meruntuhkan keutuhan dan kekebalan agama Allah yang tertinggi
ini dengan meruntuhkan kekuatan spiritual dalam Islam yang terhasil dari
kesinambungan rantaian ruhiyyah dan keberkatan kepada nabi yang diwarisi oleh
para Salafussoleh sejak zaman berzaman.
Oleh itu, mereka sedaya upaya
cuba menghapuskan konsep pengajian talaqqi bersanad di dalam Islam. Pada masa
yang sama mereka menyemai fikrah agar manusia menggunakan akal fikiran sendiri
dan pembacaan semata-mata untuk memahami sesuatu ilmu tanpa mengambil dari guru
yang mempunyai sanad dan ijazah.
Apabila munculnya satu generasi
yang meletakkan kemampuan akal dan pengkajian individu semata-mata terhadap
ilmu Islam, akan timbullah pertembungan dalam tubuh umat Islam yang
mengakibatkan perpecahan dan porak peranda. Natijahnya, umat Islam saling
berbalah antara satu sama lain. Akhirnya memberi ruang yang besar kepada
musuh-musuh luar merobek perpaduan mereka.
Maka tidak peliklah hari ini,
apabila kita melihat ada dari kalangan ahli ilmu yang pelik mendengar istilah
'sanad' ini. Sufyan al-Thauri telah menegaskan: "Isnad adalah senjata
orang Mukmin. Apabila tiada bersamanya, senjata maka dengan apakah ia akan
berperang?"
Ghazwah Badar al-Kubra
Jika al-Quran turut dinamakan
al-Furqan kerana penurunan al-Quran memisahkan antara yang hak dan batil,
pertempuran Badar pula dinamakan Yaum al-Furqan yang bermaksud Hari Pemisah
antara Hak dan Batil. Sebabnya, inilah hari yang menentukan sama ada kebenaran
yang akan tertegak atau pun kebatilan.
Allah memberi perhatian yang
besar kepada peristiwa Badar sebagaimana firman-Nya: Jika kamu beriman kepada
Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami
(Muhammad) pada 'Hari Al Furqaan', iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera
(Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa
atas tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 41).
Sejarah mencatatkan Ghazwah Badar
al-Kubra berlaku pada Jumaat, 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Ia adalah peperangan
paling besar dan penting bagi umat Islam kerana ia peperangan yang menentukan
masa depan umat Islam, bahkan masa depan umat manusia seluruhnya.
Justeru, seluruh umat Islam
terhutang budi dengan pahlawan-pahlawan Islam Badar kerana tanpa semangat juang
mereka yang tinggi demi mempertahankan agama Islam yang suci, pengorbanan dan
kekuatan tawakal mereka kepada Allah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati
Islam seperti yang kita kecapi pada hari ini.
Kedua-dua peristiwa besar ini
sangat penting diingati oleh seluruh umat Islam. Bukan sekadar dikenang tetapi
lebih dari itu untuk mengaut 1,001 pengajaran dan hikmah yang sarat terkandung
di dalamnya.
Jika dibandingkan bilangan
tentera Muslimin ketika itu yang hanya seramai 313 dan kelengkapan perang
mereka yang tidak mencukupi dengan bilangan tentera musyrikin yang melebihi
1,000 orang lengkap dengan peralatan perang, mustahil pada akal umat Islam
beroleh kemenangan gilang gemilang seperti yang dikecapi oleh umat Islam dalam
peperangan Badar.
Namun, Allah telah merakamkan
kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar melalui firman-Nya: Dan
sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan
Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan
kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu
bersyukur (akan kemenangan itu). (ali-'Imran: 123-127)
Ini memberitahu kita bahawa
faktor fizikal atau kuantiti bukanlah modal utama bagi suatu kejayaan tetapi
faktor dalaman atau kualiti yang lebih utama dan berkesan.
Sifat tawaduk, yakin dengan Allah
dan tawakal yang dimiliki oleh tentera Islam telah menarik pandangan Allah
hingga Allah menghantar pertolongan-Nya melalui malaikat-malaikat yang
diutuskan. Sifat bongkak, takbur dan menganggap kejayaan itu datang daripada
diri sendiri yang dimiliki oleh kaum Quraisy adalah modal utama bagi suatu
kegagalan dan kekecewaan.
Jasa dan bakti yang begitu besar
para satria Badar demi memperjuangkan kemerdekaan agama perlu kita kenang dan
uar-uarkan. Bukan kerana mereka memerlukan kita kerana mereka telah pun
mendapat kedudukan yang tinggi sebagai syahid di sisi Allah dan dijanjikan
dengan syurga Firdaus. Tetapi kitalah yang perlu mengambil formula dan
keberkatan daripada mereka bagi mendapatkan jiwa yang waja dan thabat (tetap) seperti
mereka dalam mencintai dan mempertahankan agama Allah.
Hanya dengan sedikit cubaan dan
fitnah, kita terus rebah meninggalkan medan perjuangan dan dakwah, lesu untuk
berkorban, malah terjebak dalam tipuan dunia dan perangkap musuh.
Justeru, insafilah diri kita pada
Ramadan kali ini. Adilkah kita mencaci dan mencerca mereka sebagaimana yang
dilakukan oleh pengikut fahaman Syiah Rafidhah yang melakukan perbuatan mencaci
para sahabat nabi SAW. Jika kita berada di tempat mereka ketika itu, apakah
kita sanggup berdepan dengan tentera musuh yang terdiri daripada
panglima-panglima tentera yang bengis dan hebat?
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YLVrkN9G
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 07/09/2009
Nabi SAW disakiti kaum Musyrikin
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Di awal Islam, masyarakat Arab
yang baru memeluk Islam masih lagi melakukan solat jemaah jauh di padang-padang
pasir supaya tidak diketahui oleh kaum kafir Quraisy. - Gambar Hiasan
KALAU dahulunya kaum kafir
Quraisy menentang Rasulullah SAW tanpa perlu menyentuh tubuh badan baginda.
Bahkan sehelai bulu roma baginda pun, mereka tidak akan cuba usik.
Cukup dengan kempen
memburuk-burukkan baginda, dirasakan Nabi Muhammad pasti akan menyerah kalah.
Ini kerana dengan cara kempen seperti itu, diyakini boleh memberi tekanan
kepada ketahanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu tidak lagi mampu
mempertahankan apa yang cuba diperjuangkan.
Namun mereka cukup marah apabila
strategi tersebut langsung tidak memberikan kesan kepada nabi SAW. Malah
semakin hebat mereka memburukkan baginda semakin hebat jugalah baginda
meneruskan usaha menyampaikan dakwah-dakwah agama Allah.
Malah baginda tidak teragak-agak
untuk terus meminta kaumnya supaya berhenti dari menyembah berhala serta
meninggalkan segala kekufuran dan kehidupan yang selama ini penuh dengan
kesesatan.
Akibat tidak lagi tertahan dengan
'kedegilan' Nabi Muhammad itu, maka akhirnya mereka bersetuju untuk mencederakan
tubuh badan baginda.
Menurut al-Bukhari di dalam
sahihnya bahawa Amru Ibn Al 'As menceritakan, pernah berlaku pada suatu hari,
ketika baginda berada berdekatan dengan batu Hajaral Aswad di Kaabah, secara
tiba-tiba datang seorang pemuda Arab Quraisy, 'Aqabah bin Abi Muit
(La'natullah) menyerang baginda. Pemuda itu terus menjerut leher Nabi Muhammad
dengan sehelai kain.
Jerutan yang begitu kuat itu
menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bernafas dan hampir-hampir meragut nyawa
baginda.
Mujurlah ketika itu sahabat baik
baginda, Abu Bakar As Siddiq kebetulan lalu di tempat kejadian dan terus
menyelamatkan Nabi Muhammad dari terus menjadi mangsa jerut Aqabah.
Abu Bakar begitu marah dengan
cubaan Aqabah itu lalu menjerkah dengan nada yang tinggi; "Adakah kamu
mahu membunuh seseorang yang hanya berkata: Tuhanku ialah Allah?"
Namun peristiwa ini sama sekali
tidak mematahkan semangat baginda dan menyerahkan kepada Allah supaya dirinya
tidak diapa-apakan lagi di masa hadapan.
Namun dalam satu peristiwa lain,
nyawa baginda benar-benar hampir melayang, kali ini di tangan musuh Islam yang
paling jahat, si Abu Jahal. Abu Jahal yang dikatakan bukanlah orang lain kepada
baginda tetapi yang selama ini duduk berjiran dengan Nabi Muhammad.
Terlalu geram
Mungkin akibat terlalu geram yang
tidak boleh ditahan-tahan lagi, Abu Jahal tanpa berfikir panjang kecuali
ditambah lagi dengan hasutan syaitan, dia cuba menghempaskan sebongkah batu
yang besar ke atas kepala Nabi Muhammad.
Satu tindakan untuk terus membunuh
baginda setelah baginda dianggap menjadi satu ancaman besar kepada golongan
kaum Quraisy Mekah.
Sebagai kekasih-Nya, mujur
baginda dapat diselamatkan oleh Allah dalam cubaan jahat itu, malah Abu Jahal
terus mencampakkan batu itu dan lari lintang pukang dengan wajah yang penuh
ketakutan.
Apabila ditanya apa yang telah
berlaku oleh kawan-kawannya yang lain, Abu Jahal dengan keadaan
termengah-mengah itu pun memberitahu: "Ketika aku hampir-hampir hendak
mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor
unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan
mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!
"Apa lagi, lintang pukang
aku terpaksa lari menyelamatkan diri. Pelik, tidak tahu aku dari mana arah
datangnya unta yang sangat besar itu. Tiba-tiba sahaja ia muncul. Maka
terselamat lagi nyawa si Muhammad dari tangan ku ini!" katanya.
Namun kawan-kawannya itu tidak
dapat menyebelahi apa lagi simpati terhadap nasib yang menimpa Abu Jahal
kecuali mereka mentertawakannya seperti hendak pecah perut.
Ini menyebabkan Abu Jahal semakin
marah dan terus menaruh dendam dan tetap bertekad untuk menghapuskan Nabi
Muhammad.
Sebuah lagi kisah seorang kafir
Quraisy yang melakukan satu cubaan jahat terhadap Nabi Muhammad, iaitu Uqbah
Abi Mu'it. Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad sedang bersujud ketika
melakukan ibadat solat, tiba-tiba datang si Uqbah dan terus meletakkan seketul
besar perut unta ke atas belakang baginda.
Akibat terlalu berat, baginda
tidak dapat bergerak atau bangun dari sujud apabila perut haiwan itu diletakkan
di belakangnya. Sehinggalah datang puteri baginda, Fatimah Az Zahra yang
terkejut melihat keadaan ayahandanya itu lalu terus membuang perut itu dan
membersihkan belakang baginda dari sisa-sisa kotoran organ haiwan itu.
Sambil menangis sedih, Fatimah
kemudiannya berdoa untuk orang yang melakukan kejahatan terhadap ayahandanya
dan Nabi Muhammad sendiri turut sama-sama berdoa dengan sabda baginda yang
bermaksud;
"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku
serahkan kepada-Mu urusan membalas ke atas muka-muka Quraisy yang cuba
menghalang dari dakwah mu tersebar, Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabiah,
Syaibah bin Rabiah, Uqbah bin Abi Muit dan Umaiyyah bin Khalaf".
Begitupun perbuatan untuk
menyakiti baginda tidak pernah terhenti. Semakin kuat Islam bertapak, semakin
banyak tindakan seperti itu diambil terhadap baginda.
Kisah Ummu Jamil misalnya,
bagaimana isteri kepada Abu Lahab (nama sebenar Abdul Uzza bin Abdul Mutalib
namun sering dipanggil Abu Utaybah dan dan dipanggil Abu Lahab kerana dikatakan
mempunyai wajah yang cerah) itu atau lebih tepat ibu saudara Nabi turut begitu
memusuhi anak saudaranya sendiri.
Ummu Jamil atau nama sebenarnya
Arwah (sesetengah dieja Arwa) binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Suffian
adalah ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh, begitu menyokong
tindakan suaminya dengan beliau sendiri melakukan pelbagai perkara buruk kepada
Nabi Muhammad.
Beliau tidak sahaja selalu
mencerca baginda di sana sini, tidak cukup itu Ummu Jamil sering menyakiti Nabi
SAW dengan selalu menaburkan duri-duri tajam dan melemparkan segala macam
kekotoran di atas jalan yang sering menjadi laluan harian baginda.
Bukan sedikit yang cuba menyakiti
Nabi Muhammad secara fizikal termasuk pelbagai cubaan untuk membunuh baginda
itu sendiri. Sedangkan jika perkara ini dilakukan, sama ada menyakiti baginda
secara perkataan mahupun perbuatan, maka di sisi Islam, ia merupakan perkara
yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan
melaknati mereka (mengutuk) di dunia dan di akhirat dan akan disediakan bagi
mereka akan azab seksa yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)
Firman-Nya lagi: ...dan mereka
yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang pedih. (at-Taubah:
61)
Laknat Allah terhadap mereka yang
cuba menyakiti Rasulullah tetap akan terpakai sampai bila-bila, hatta pada hari
ini walaupun baginda tidak lagi dapat disakiti pada tubuh badannya.
Musuh-musuh Islam sama ada yang
di kalangan bukan Islam dan dalam kelompok Islam itu sendiri yang cuba
menyakiti baginda dengan apa juga cara terutama membuat pelbagai bentuk
penghinaan tidak akan terlepas dari mendapat balasan pedih dari Allah.
Sekalipun penghinaan dibuat atas
nama kejahilan atau ikut-ikutan, masih itu juga bukan alasannya bagi seseorang
itu menghina baginda.
Malah lebih bahayanya pada hari
ini, atas nama kekuatan ilmu untuk memerangi Islam, ramai yang masih mengkaji
bagi mencari sudut-sudut kelemahan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk menghina
baginda.
Mereka suka mengelirukan orang
ramai dari fakta-fakta sejarah baginda. Namun kita yakin segalanya akan kembali
seperti yang berlaku di Mekah pada awal penyebaran Islam itu sendiri.
Ini apabila golongan Musyrikin
sendiri tetap menghadapi kesulitan di dalam mereka mengambil pelbagai tindakan
terhadap baginda Nabi Muhammad.
Ini kerana 'musuh' yang mereka
berdepan adalah seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia
akhlaknya yang tiada tandingannya dalam sejarah nenek moyang mereka.
Oleh itu terpaksalah mereka
berhempas pulas mengerah kekuatan akal bagi menyekat baginda dari menarik lebih
ramai kalangan penduduk Arab meninggalkan agama nenek moyang.
Ini memberi ilham kepada mereka
untuk menyeksa para pengikut baginda sendiri!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YLRAlVOT
© Utusan Melayu (M) Bhd