ARKIB : 02/05/2009
KUALA LUMPUR - Siti Safiyah Abdul
Rahman (gambar) membuat penampilan sulung paling bersejarah apabila muncul
pemain wanita tunggal Malaysia layak ke suku akhir Kejohanan Boling Ranking
Masters Dunia di Naples, Itali, semalam.
Malah, remaja berusia 18 tahun
itu yang hanya bertanding selepas beberapa pemain menarik diri merupakan
satu-satunya wakil dari Asia yang akan berentap pada suku akhir hari ini.
Siti Safiyah, juara Terbuka
Malaysia 2005 bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir apabila menentang pemain
ranking No. 1 Eropah, Patricia Luoto dari Jerman di suku akhir yang bakal
berlangsung dalam tiga permainan.
Dua lagi pemain berpengalaman
negara, Shalin Zulkifli dan Zandra Aziela Ibrahim gagal untuk memberi impak
besar di Arena Boling Oltremare apabila menduduki tangga ke-10 dan 18.
Hanya lapan pemain terbaik
selepas 24 permainan layak ke suku akhir dan Siti Safiyah menamatkan cabaran
dengan menduduki tangga kedua menerusi 4,929 jatuhan pin - hanya enam pin di
belakang pendahulu dari Belanda, Wendy Kok.
Rakan senegara Kok, Belanda,
Ghislaine van der menamatkan kelayakan di tangga ketiga dengan 4,907 jatuhan
pin, diikuti Nina Flack dari Sweden dengan 4,867 pin.
Tiga lagi tiket suku akhir
menjadi milik pemain Jerman, Tina Hulsch (4,795) dan pemain adik-beradik dari
Venezuela, Karen Marcano (4,793) dan Alicia Marcano (4,725).
Kejayaan Siti Safiyah ini turut
mencerahkan peluangnya untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Las Vegas,
24 Julai hingga 2 Ogos ini.
Malaysia juga masih berpeluang
untuk menempatkan wakil lelaki di suku akhir dengan naib juara tahun lalu,
Zulmazran Zulkifli berada pada kedudukan yang baik untuk melayakkan diri.
Selepas tamat dua blok (16
permainan), juara Terbuka Malaysia itu menduduki tangga keempat dengan 3,499
jatuhan pin - 147 pin ditinggalkan pendahulu, Lucas Legnani dari Argentina.
Seorang lagi wakil negara, Alex
Liew bagaimanapun berada pada kedudukan sukar untuk mencari tiket apabila
sekadar menghuni tangga ke-17 dengan 373 pin di belakang pendahulu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AIXyRk9f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan