ARKIB : 03/05/2009
KUALA LUMPUR - Siti Safiyah
Amirah Abdul Rahman melakukan kejutan paling besar dalam sejarah tenpin boling
negara apabila muncul juara wanita Kejohanan Boling Ranking Masters Dunia di
Naples, Itali, semalam.
Selain menjadi pemain termuda
negara pernah melakukannya, kejutan Siti Safiyah ini dianggap terbesar kerana
ia merupakan penampilan sulungnya pada kejohanan ini.
Penyertaan secara bidan terjun
selepas beberapa pemain utama wanita negara menarik diri bukan penghalang
untuknya menewaskan pemain Jerman, Tina Hutsch pada perlawanan akhir.
Remaja yang hanya baru berusia 18
tahun itu mengatasi pemain yang lebih berpengalaman daripadanya dengan menang
215-199, 175-166.
Selaku juara, Siti Safiyah
membawa pulang hadiah wang tunai RM36,000 (AS$10,000) yang pastinya cukup untuk
menggantikan wang poketnya sendiri RM7,000 yang digunakan untuk datang ke sini.
Terdahulu, selepas menjadi
satu-satunya pemain dari Malaysia dan Asia yang berjaya mara ke suku akhir kelmarin,
Siti Safiyah membuktikan dia layak bukan kerana nasib dengan menewaskan pemain
No. 1 Eropah, Patricia Luoto dari Jerman pada peringkat itu.
Turun selaku pemain ranking
kedua, Siti Safiyah hanya memerlukan dua daripada tiga permainan terbaik yang
ditetapkan untuk menang ke atas Luoto 186-172, 209-186.
Ternyata Siti Safiyah tidak
mempedulikan status lawannya itu dengan beraksi tenang sepanjang permainan.
Selepas melepasi halangan itu,
Siti Safiyah bertemu pula dengan pemain Belanda, Ghislaine van der Tol di
separuh akhir.
Berbeza dengan kemenangan mudah
di suku akhir, saingan separuh akhir ternyata sengit apabila Siti Safiyah
diheret dalam tiga permainan.
Selepas tewas permainan pertama
188-192, van der Tol bangkit di permainan kedua dengan hampir melakukan
permainan sempurna sebelum menang 277-215.
Namun keadaan itu tidak
mematahkan semangat dan keyakinan Siti Safiyah untuk memperbaiki permainan
dalam permainan ketiga dan menang 213-174 untuk mara ke perlawanan akhir.
Sementara itu, Shalin Zulkifli
kali ini hanya mampu menduduki tempat ke-10 sahaja manakala Zandra Aziela
Ibrahim di tempat ke-18.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AND5tUDq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan