Rabu, 21 Mac 2018

Laknat Allah ke atas Abu Lahab


ARKIB : 08/05/2009
ABU Lahab ialah bapa saudara kepada Nabi Muhammad, adik-beradik bapa baginda, iaitu Abdullah. Nama Abu Lahab yang sebenar ialah Abdul Uzza.

Uzza adalah nama sebuah berhala yang disembah oleh orang-orang kafir Quraisy. Ia merupakan berhala yang masyhur di Mekah.

Nama isteri Abu Lahab ialah Arwa. Dia digelar Ummu Jamil yang bermaksud ibu daripada kecantikan. Isteri Abu Lahab juga membenci Rasulullah. Dia selalu mencerca dan menghina Rasulullah. Dia juga pernah meletakkan duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah.

Hubungan Rasulullah dengan Abu Lahab, sebelum kedatangan Islam amat baik seperti bapa saudaranya yang lain. Ketika Rasulullah lahir, Abu Lahab gembira kerana anak saudaranya itu bagaikan pengganti adiknya, Abdullah yang telah meninggal dunia.

Pada suatu hari, selepas Rasulullah diangkat menjadi Nabi, baginda naik ke Bukit Safa. Baginda menyeru semua kaum kerabatnya berkumpul. Maka berkumpullah mereka semua. Jika ada yang tidak dapat datang, mereka akan menghantarkan wakil. Semua orang mendiamkan diri untuk mendengar perkara penting yang bakal dikatakan Rasulullah.

"Adakah kalian akan percaya jika aku katakan bahawa musuh akan datang menyerang kita pada esok hari?" tanya Rasulullah pada mereka.

"Pasti kami percaya. Engkau tidak pernah sekalipun bercakap bohong," jawab mereka.

Lalu Rasulullah bersabda, "Aku memberi peringatan kepada kamu semua. Seksaan Allah yang dahsyat akan datang".

Orang ramai terdiam memikirkan kata-kata Rasulullah itu. Sepanjang yang dikenali mereka, Rasulullah tidak pernah sekalipun berkata sesuatu yang sia-sia, apatah lagi untuk bercakap bohong.

Tiba-tiba Abu Lahab menjawab, "Celaka engkau! Apakah hanya untuk itu engkau kumpulkan kami?"

Maka bermula dari hari itulah Abu Lahab menjadi musuh Rasulullah yang paling utama. Dia tanpa segan silu melemparkan fitnah kepada Rasulullah. Apabila baginda keluar berdakwah, dia akan mengekori dan mengatakan Rasulullah berdusta. Rasulullah juga dituduh sebagai seorang yang gila.

Lantaran itu, Allah menurunkan ayat al-Quran di atas yang mengatakan dia akan dimasukkan ke dalam api neraka di akhirat kelak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5AODuWKRQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan