ARKIB : 11/05/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KISAH pertemuan Nabi Muhammad SAW
dengan Rahib Buhaira dikatakan masih diselubungi pelbagai misteri dan
persoalan. Malah ada yang mengatakan pertemuan itu tidak sekadar baginda diakui
sebagai bakal Nabi terakhir yang ditunggu-tunggu oleh pengikut Yahudi dan
Nasrani.
Tetapi baginda dikatakan menerima
objek tertentu dari rahib itu yang selama ini disimpan dan menunggu masa sahaja
untuk diserahkan kepadanya.
Namun perkara ini tidak dapat
dipastikan kesahihannya. Kecuali kita mengkaji lebih teliti sejarah-sejarah
terbabit terutama ajaran Nasrani yang dikenali Kristian Nestorian ini.
Ramai yang ingin mengetahui kisah
selanjutnya mengenai Buhaira ini setelah beliau berjaya dalam misi
mengenalpasti kerasulan yang terdapat pada seorang kanak-kanak yang dibawa oleh
Abu Talib untuk berdagang ke Syam itu.
Adakah setelah menemui Rasulullah
dan menyaksikan pelbagai tanda kebesaran termasuk beliau dapat melihat dengan
jelas awan yang rendah dan mengekori perjalanan rombongan dagangan Abu Talib
bagi melindungi mereka dari cahaya terik matahari, beliau terus kekal dengan
pegangan Nasraninya itu?
Kisah selanjutnya kali ini, tidak
kurang menariknya apabila dikatakan dalam usia 15 tahun Nabi Muhammad SAW telah
menunjukkan keberanian yang luar biasa apabila buat pertama kali baginda
terlibat dalam peperangan.
Ini apabila berlaku peperangan
antara Arab Quraisy melawan puak atau suku Hawazan. Iaitu yang dikenali sebagai
Perang Fujjar. Bagi sesetengah riwayat menyebutnya sebagai Perang Fijar bererti
'jahat'.
Dalam peperangan itu, Nabi SAW
berada dalam posisi perang yang tidak kurang penting. Baginda membekalkan
anak-anak panah untuk bapa-bapa saudaranya yang turut serta dalam peperangan
itu. Dengan kata lain, baginda bertanggungjawab mempersiapkan mereka anak-anak
panah untuk menyerang musuh.
Diceritakan juga, baginda sangat
pintar dengan bertindak mengutip dan mengumpulkan semua senjata termasuk tombak
dan anak-anak panah yang dilepaskan oleh pihak musuh untuk diguna semula oleh
pihak Quraisy.
Begitu pun dalam riwayat sejarah
yang lain seperti yang ditulis oleh Jaafar Subhani, baginda dalam peperangan itu
mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila dalam usia yang semuda itu Nabi
Muhammad dikatakan bertindak menangkis atau memintas serangan anak-anak panah
yang disasarkan untuk mencederakan bapa-bapa saudaranya itu.
Ibnu Hisyam meriwayatkan
kata-kata Nabi yang menyebut: "Aku menangkis anak-anak panah yang
diarahkan kepada pakcik-pakcik ku itu".
Bagaimana baginda dapat bertindak
dengan sebegitu berani tidaklah diketahui tetapi yang pasti perbuatan itu
sangat membahayakan kepada nyawa baginda sendiri.
Namun sebelum itu, kita mesti
mengetahui apakah kisah sebenar di sebalik sejarah Perang Fujjar yang dari
aspek lughahnya bermakna 'tidak adil' ini.
Bulan diharamkan perang
Perang Fujjar sebenarnya
merupakan siri-siri perangan yang berlaku dalam bulan-bulan yang diharamkan
untuk semua penduduk Arab berperang sesama mereka.
Ini kerana penduduk Arab di zaman
Jahiliah ini seperti yang diketahui umum sering menghabiskan sebahagian besar
masa mereka dengan berperang, bertempur atau pergaduhan terutama melibatkan
kabilah atau suku-suku kaum.
Punca perang adalah daripada soal
yang titik bengik sehinggalah kepada soal yang sebesar-besar punca.
Fenomena perang ini tidak
menjanjikan keamanan dan kedamaian sehingga kehidupan menjadi tergugat. Ia
menganggu urusan seharian terutama dalam sektor perniagaan dan perdagangan yang
telah menjadi nadi ekonomi penduduk Arab itu.
Tetapi pada hakikatnya mereka
tidak dapat mengelak daripada peperangan demi peperangan. Pada bila-bila masa
sahaja ia boleh meletus tanpa ada sesiapa dapat menahannya lagi.
Hakikat ini terpaksa mereka akui
tetapi kata sepakat dan persetujuan dicapai supaya peperangan tidak boleh
berlaku pada bulan-bulan yang diharamkan berperang. Iaitu dalam tempoh setahun,
mereka diharamkan berperang dalam bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan
Muharam. Dalam tempoh empat bulan ini tiada sebarang peperangan dibenarkan.
Dengan lain perkataan di luar
bulan-bulan tersebut jika mereka hendak berperang juga maka itu tidak dapat
dielakkan lagi.
Justeru, dalam tempoh empat bulan
yang aman itu seluruh penduduk dapat merancakkan semua kegiatan perekonomian
mereka, keluar bekerja, berniaga dan sebagainya asalkan sahaja pendapatan
diperolehi dan hidup dapat diteruskan.
Ketetapan bulan-bulan yang diisytiharkan
haram berperang ini menyaksikan pasar-pasar seperti Ukaz, Dzul Majjaz dan
Mujannah begitu sibuk dan sesak dengan segala macam aktiviti perniagaan. Sama
ada mereka kawan atau lawan, masing-masing akan berurusan dengan baik dan
mengelak dari berlaku sebarang pergaduhan dan pertengkaran.
Ketika itu jugalah golongan
'artis' atau penggiat-penggiat seni yang masyhur akan tampil dan memukau
perhatian para pendengar dan penonton dengan nyanyian-nyanyian lagu dan syair,
hasil ciptaan yang bermutu tinggi.
Tidak kalah juga para
pemidato-pemidato yang turut mengambil bahagian untuk menonjolkan bakat
berpidato mereka sehingga begitu ramai yang terpegun dan asyik mendengarkannya.
Ketika ini juga para rahib dan
pendita Yahudi Nasrani dan ketua-ketua ajaran pagan atau animisme akan
memperkenalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing kepada orang ramai.
Mereka 'berdakwah' secara lantang
di hadapan khalayak seluruh penduduk Arab terutama yang mengunjungi Kota Mekah
tanpa sebarang khuatir terhadap mana-mana pihak.
Sosio budaya
Begitulah uniknya suasana sosio
budaya Arab Jahiliah apabila semuanya menghormati bulan-bulan yang diharamkan
berperang itu.
Tetapi seperti yang disebutkan
sebelum ini, perang tetap juga meletus tanpa mengira masa dan keadaan.
Peperangan yang berlaku di
bulan-bulan haram inilah dikenali sebagai Perang Fujjar atau Fijar kerana
melanggar 'adat' atau tempoh gencatan tersebut.
Namun dikatakan juga Perang
Fujjar ini adalah perang yang berlaku di Tanah Haram, iaitu kawasan sekitar
atau berhampiran Kaabah dan Kota Mekah yang diharamkan dari berlaku sebarang
pembunuhan hatta membabitkan seekor semut!
Mungkin anda berminat untuk
mengetahui beberapa siri Peperangan Fujjar ini, dari empat catatan perang yang
ditemui termasuk salah satunya yang disertai oleh baginda Nabi Muhammad,
kesemuanya mempunyai kisah yang menarik.
1) Perang Fujjar Pertama. Perang
ini meletus melibatkan pertempuran antara Kabilah atau Suku Kananah dan Hawazan
yang berpunca dari satu peristiwa yang agak pelik namun agak melucukan.
Ini apabila salah seorang dari
Kabilah tersebut bernama Badar bin Masyar memilih Pasar Ukaz untuk beliau
membacakan sajak atau syair puji-pujian setiap hari di hadapan para pengunjung
dan para penonton deklamasi sajak itu.
Pada suatu hari, dengan sebilah
pedang tajam yang terhunus, Badar menarik perhatian pendengar dengan berkata:
"Aku orang yang paling
terhormat!
Sesiapa yang cuba menolak
pengakuan ku ini,
Akan ku tebas dengan pedang ini,
Bagi kau rasa tajamnya senjata ku
ini!"
Ketika itulah, seorang lelaki
dari suku kaum yang lain tiba-tiba bangkit dan menebas kaki Badar dengan
sebilah senjata tajam sehingga terputus kedua-dua belah kaki penyair malang
itu.
Akibatnya, meletuslah perang
antara kabilah-kabilah itu yang mujur dapat dihentikan sebelum ada sesiapa yang
terbunuh!
2) Perang Fujjar Kedua.
Mengisahkan seorang wanita yang dikatakan seorang yang sangat cantik berasal
dari Bani Amir. Kecantikannya menarik perhatian seorang pemuda, lalu si pemuda
ini meminta wanita itu mempamerkan kecantikan dan kejelitaan wajahnya.
Kemarahan
Tentu sahaja permintaan itu
menimbulkan kemarahan wanita berkenaan, namun si pemuda tidak putus asa. Dia
terus mengait dan menarik hujung kerudung wanita itu menyebabkan kerudung itu
terbuka dan mendedahkan kecantikan wanita itu.
Perbuatan melampau pemuda ini
tentu sahaja umpama api yang mencetuskan kebakaran maka berlakulah peperangan
antara puak-puak yang hanya berjaya dihentikan selepas ada beberapa mangsa
terbunuh.
Perang Fujjar iaitu antara Puak
Quraisy dengan Puak Hawazan yang disertai oleh Nabi itu sendiri adalah yang
paling lama, iaitu sehingga empat tahun lamanya.
Ini menyebabkan ada yang menyebut
perang ini berakhir ketika baginda memasuki usia 20 tahun. Punca peperangan
adalah pertikaian dalam urusan perniagaan di pasar Ukaz yang tidak lebih akibat
salah faham sahaja.
Perang ini hanya berakhir dengan
membayar diat atau wang darah kepada suku Hawazan yang lebih banyak kehilangan
nyawa berbanding mangsa yang terbunuh di pihak Quraisy.
Penyertaan dalam peperangan ini
tentunya memberikan satu asas yang kuat kepada baginda mampu menempuh
cabaran-cabaran peperangan yang terpaksa baginda hadapi ketika secara rasmi
menjadi Rasul.
Begitu pun, kita tidak boleh sama
sekali menyifatkan perkara ini menjadi bukti atau asas bahawa baginda dikatakan
suka kepada berperang. Atau Islam itu ditegakkan melalui sebilah pedang seperti
yang dakwaan sesetengah pihak!
Baginda tidak dapat mengelak terlibat
tetapi apabila berperang bagindalah panglima perang yang paling gagah berani.
Namun, di sudut yang lain,
baginda adalah yang paling baik dan mengasihi musuh-musuh terutama yang menjadi
tawanan!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AONu7cnJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan