Isnin, 19 Mac 2018

Anuar cipta sejarah

ARKIB : 23/04/2009
Oleh IRMAN HASHIM
sukan@utusan.com.my
ANUAR Manan (kiri) meninggalkan peserta lain melintasi garisan penamat untuk menjuarai peringkat keempat Jelajah Malaysia di Kuala
Terengganu, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA TERENGGANU - Pelumba negara, Anuar Manan mencipta kemenangan di negeri kelahirannya apabila menjuarai peringkat keempat perlumbaan basikal Jelajah Basikal dari Pasir Mas, Kelantan - Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan Anuar yang mewakili Azad University Continental Team, melalui detik dramatik selepas menewaskan Rafai Chtioui dari Doha dan Sergey Kudentsov (Poliygon Sweetnice Team).

Ketiga-tiga pelumba masing-masing mencatat 4 jam 9 minit 21 saat.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak mengubah kedudukan pemegang jersi keseluruhan (jersi kuning) yang kekal menjadi milik Mehdi Sohrabi dari Iran.

Mehdi yang mewakili Tabriz Petrochemical Cycling Team berjaya mencatat masa keseluruhan 16'51:04s dalam perlumbaan sejauh 177.5 kilometer itu.

Pelumba Iran tersebut juga berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) dengan menewaskan Anuar dan rakan sepasukannya, Abbas Saeditanha.

Abbas bagaimanapun berjaya merangkul jersi merah polka dot (raja bukit) selepas menewaskan Mehdi dan Hossein Nateghi dari Azad University Continental Team.

Dalam pada itu, pelumba Malaysia, Suhardi Hassan mempertahankan jersi putih dengan catatan keseluruhan 17:03:26.

Tempat kedua kategori itu disandang oleh rakan sepasukan, Mohd. Najmee Wan Mohd. yang berkongsi catatan masa 17:07:37 dengan Mohd. Shahrul Mat Amin dari Terengganu Toshiba Bike Lamz.

Anuar ketika ditemui berkata, kemenangan di Terengganu merupakan salah satu sasaran yang ingin dicapainya dalam perlumbaan tersebut.

''Pasukan saya membantu dalam memastikan saya mencapai kemenangan di Kuala Terengganu kerana ia merupakan tempat kelahiran saya," katanya.

Beliau kini menyasarkan untuk merampas jersi hijau raja pecut dalam peringkat perlumbaan akan datang.

Peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dijadual bermula 11 pagi ini.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5AGF3ZUhQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan