Ahad, 18 Mac 2018

Rizal catat sejarah negara


 
ARKIB : 29/03/2009
Aksi Rizal Tisin dalam saingan ujian masa 1 kilometer.– REUTERS

PRUSZKOW, Poland – Rizal Tisin mencatat sejarah selepas muncul pelumba pertama Malaysia berjaya meraih pingat Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di sini, kelmarin.

Rizal meraih pingat gangsa menerusi acara 1km ujian masa individu lelaki selepas mencatat masa 1minit 01.658s pada perlumbaan empat pusingan itu.

Catatan itu sekali gus mengatasi catatan peribadi terbaiknya sebelum ini iaitu 1:02.000s.

Kejayaannya itu walaupun dalam acara yang tidak lagi dipertandingkan pada Sukan Olimpik tetapi memberi harapan tinggi kepada Malaysia menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Rizal sendiri mengakui mampu melakukan catatan lebih pantas jika tidak kerana terlalu gementar pada awal saingan.

“Jurulatih saya mengarahkan supaya tenang dan jangan melihat papan catatan masa tetapi tumpukan kepada kayuhan sahaja. Itu yang saya lakukan.

“Memang saya bangga kerana ini adalah pingat pertama Malaysia pada kejohanan dunia. Saat inilah yang kami nantikan selepas bekerja keras,” kata Rizal.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jerman, Stefan Nimke dengan catatan rekod baru dunia, 1:00.666 diikuti pelumba Amerika Syarikat berusia 18 tahun, Taylor Phinney.

Sebagai pasukan kerdil berbanding Britain yang sudah lama bergelar kuasa basikal trek dunia, gangsa yang disumbangkan Rizal ternyata hadiah yang amat bermakna buat jurulatih mereka dari Australia, John Beasley.

Menurut Beasley, jika sebelum ini pada Sukan Olimpik Beijing tahun lalu, tumpuan lebih diberikan kepada seorang lagi pelumba didiknya, Azizulhasni Awang, kini perhatian dijangka beralih kepada Rizal pula.

Katanya, pencapaian Rizal satu petanda baik untuk Malaysia memiliki pasukan basikal trek yang lebih kuat selepas ini.

“Selepas prestasi membanggakan di Olimpik, kerajaan Malaysia telah menjadikan sukan berbasikal antara tiga sukan utama untuk dibangunkan selain badminton dan memanah.

“Ia satu keputusan yang tepat dan baik buat sukan ini memandangkan Asia sudah mula bangkit menunjukkan belang mereka,” katanya. – AFP



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A6nK5x2z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan