Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
sukan@utusan.com.my
AZIZULHASNI Awang (kiri) bersama
Gregory Bauge (tengah) dan pemenang tempat ketiga, Kevin Sireau pada
penyampaian hadiah acara pecut Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, semalam. AFP
KUALA LUMPUR Satu lagi sejarah
baru tercipta apabila jaguh pecut berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang
berjaya menyumbang pingat perak menerusi acara pecut pada Kejohanan Dunia,
semalam.
Selepas Rizal Tisin meraih gangsa
menerusi acara 1km ujian masa, kelmarin Azizulhasni memberi kegembiraan
berganda buat Malaysia yang tidak pernah menang pingat pada Kejohanan Dunia
dalam sejarah lebih 50 tahun sukan lumba basikal negara.
Walaupun bukan pingat emas tetapi
ia sudah cukup membanggakan terutama kejayaannya layak ke perlumbaan akhir di
samping menewaskan jaguh-jaguh handalan dunia di Pruzskow, Poland ini.
Malah, pencapaian yang
ditunjukkan Azizulhasni ini dicipta terlalu awal daripada yang dijangkakan
terutama dalam usia yang masih muda dan masih kurang pengalaman.
Cuma nasib sahaja tidak
menyebelahinya untuk mencatat sejarah lebih besar semalam kerana Azizulhasni
sebenarnya mampu meraih emas jika tidak kerana silap strategi di saringan
penentuan.
Selepas tewas saringan pertama,
Azizulhasni bangkit untuk memenangi saringan kedua tetapi kecetekan pengalaman
menyaksikan dia terpaksa akur dengan kehebatan lawannya dari Perancis, Gregory
Bauge yang lebih besar saiz fizikal daripadanya pada saringan ketiga.
Namun, apa jua yang dicapainya,
Azizulhasni sudah pun mencipta sejarah menjadi pelumba terbaik dan pertama
Malaysia meraih pingat perak dari Kejohanan Dunia ini diikuti Rizal yang meraih
gangsa.
Terdahulu di separuh akhir,
Azizulhasni menewaskan pelumba Australia yang juga rakan sepelatihnya di
Melbourne, Shane Perkins dengan kemenangan mutlak 2-0.
Sepanjang laluannya ke akhir,
Azizulhasni turut menewaskan Rizal di pusingan pertama diikuti Gauge di
pusingan kedua.
Selepas itu di suku akhir,
Azizulhasni menewaskan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Beijing, Ross
Edgar dari Britain sebelum menjadikan Perkins mangsa seterusnya.
Presiden Persekutuan Kebangsaan
Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab ketika diminta mengulas pencapaian
Azizulhasni berkata, pelumba negara berusia 21 tahun itu mekar lebih awal
daripada yang dijangkakan.
Azizul benar-benar telah
membanggakan kita. Saya sendiri menganggap perak yang diraihnya itu adalah
emas. Ia memang di luar dugaan kita sebenarnya, kata Abu Samah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A6pOPTHu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan