ARKIB : 11/05/2009
Oleh Ibrahim Abdullah
SEBENARNYA persoalan krisis
ekonomi pernah terjadi pada masa Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Namun
dengan metod, kerjasama dan kesabaran, krisis tersebut dapat ditangani dengan
jayanya terutama pasca hijrah Baginda dan sahabat di kota Madinah (Yathrib)
yang terkenal dalam sektor pertanian dan perniagaan.
Di sana terdapat pasar yang
mengandungi segala sektor perekonomian, perindustrian, penternakan serta
perdagangan telah berjalan dengan baik dan lancar.
Madinah adalah sebuah kota lokasi
sangat strategik yang sebahagian besar berorientasi bahan pertanian. Oleh
kerana itu, sebahagian besar penduduknya bergantung pada sektor pertanian dan
perdagangan.
Produk pertanian yang utama
adalah buah anggur dan kurma. Situasi Madinah dapat dilihat dari gambaran yang
diinformasikan al-Quran yang maksud-Nya: Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian
yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang
bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian
tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya yang
demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Ra'du: 4).
Selain itu, kota Madinah juga
kaya dengan produksi dari hasil tanaman gandum, sayur-sayuran, buah-buahan dan
juga barli. Tidak hanya itu, kota ini juga adalah pengeluar terbesar buah kurma
atau tamar terutama menjelang musim kemarau. Daripada penghasilan ini saja,
kota Madinah dapat memainkan peranan penting dalam perekonomian di kawasan
sekitarnya.
Kurma adalah suatu jenis pohon
yang mempunyai multi fungsi, sebab seluruh bahagian pohon tersebut mempunyai
manfaat, buahnya sebagai makanan, batangnya dapat dijadikan tiang-tiang rumah,
sedangkan daunnya dapat dijadikan bahan penguat dan juga makanan haiwan.
Gambaran strateginya lokasi
Madinah juga dapat dilihat dari kebun-kebun yang dipagari serta dipenuhi dengan
telaga-telaga kandungan air mineral yang banyak. Tegasnya Madinah adalah kota
yang sangat strategik ditambah penghuninya sangat mahir dalam bidang pertanian.
Dengan banyaknya infrastruktur
ekonomi yang ada di Madinah, para pelaku pasar telah menerapkan berbagai sistem
ekonomi pada ketika itu. Di antaranya sistem perekonomian yang dijalankan
seperti sistem al-Muzara'ah, al-Mu'ajarah, al-Muzabanah, al-Mu'awamah.
Sistem--sistem yang ada itu sebahagian
digunakan sebagai sistem ekonomi Islam dan sebahagian lainnya dimurnikan oleh
ajaran Islam.
Sebagai kota penting pada masa
itu, walaupun Madinah adalah kota yang kaya dengan bahan makanan pokok, namun
tetap mengimport beberapa produk sebagai tambahan makanan yang sedia ada.
Misalnya tepung gandum, lemak sapi, madu dan beberapa jenis makanan lainnya
diimport dari negara jiran seperti Jordan dan negara sekitarnya.
Peristiwa ini dirakam oleh hadis
dari Qatadah bin Nu'man yang diriwayatkan Imam Tirmizi. Makanan pokok
masyarakat Madinah adalah kurma dan gandum. Kadang-kadang mereka bawa masuk
barang dari luar dengan menggunakan dafitah (alat pemikul barang diletakkan di
kiri kanan belakang unta, kuda dan sebagainya).
Madinah yang mempunyai sumber
daya dan letaknya yang sangat strategik, ternyata tidak menjamin terjadinya
kemakmuran di negeri itu. Bahkan sebaliknya Madinah pernah diterpa dan terlibat
krisis ekonomi yang berpanjangan.
Kesejahteraan tidak terjadi
secara merata, perbezaan taraf ekonomi masyarakat sangat ketara. Sebahagian
masyarakat sangat kaya, namun sebahagian lainnya miskin. Lebih dari itu,
ditambah dengan krisis politik yang disebabkan terjadi pertikaian dan konflik
para elit politik waktu itu. Keadaan ini memberi impak negatif terhadap
pengurusan sumber daya alam dan manusia di kota Madinah.
Di samping itu, ketika kaum
Muhajirin berhijrah dari Mekah ke Madinah sebenarnya tidak membawa bekal yang
cukup seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Namun sebagai seorang pemimpin
yang bijak, keadaan ini telah dikuasai Rasulullah SAW.
Justeru sebelum berangkat
berhijrah ke Madinah, sesungguhnya Rasulullah telah melakukan penyelidikan,
mengumpulkan data hasil pemerhatian awal yang dilakukan para sahabat.
Sebelum berhijrah ke Madinah,
Rasulullah mengutus Mus'ab bin Umair untuk melihat keadaan sosio politik dan
sosio ekonomi Madinah sebagai bekal sebelum memasuki tempat kota berhijrah
tersebut.
Lagi pula dalam sektor ekonomi,
pada waktu itu di Madinah telah berada dalam cengkaman sistem kapitalis Yahudi,
di mana mereka telah memegang sumber-sumber ekonomi yang berdasarkan sistem
riba yang berleluasa. Sistem monopoli telah merosak norma-norma kemanusiaan.
Kaum Yahudi juga telah melakukan
berbagai propaganda dalam menghancurkan dakwah Islam yang dijalankan Rasulullah
dan para sahabat.
Mereka juga melakukan usaha
penghasutan dengan pemboikotan agar tidak memberikan bantuan makanan kepada
kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.
Krisis ekonomi juga ketika itu
disebabkan peperangan antara suku Aus dan Khazraj yang berpanjangan. Peperangan
yang memakan waktu cukup lama itu tentunya mengeluarkan biaya perang yang bukan
sedikit, seperti membeli peralatan senjata dan alat perang lainnya.
Kaum Muhajirin juga sedang
mengalami masa transisi ekonomi akibat perpindahan yang mereka lakukan.
Kemampuan ekonomi mereka sangat terbatas, apa lagi krisis ekonomi bawaan dari
Mekah yang telah mereka hadapi sebelumnya. Tentunya keadaan ini menjadikan
krisis ekonomi di Madinah semakin parah dan bertambah.
Keadaan yang sangat ketara ini
juga, ditambah lagi terjadi pada tahun sembilan hijrah, iaitu berhadapan dengan
tentera Romawi pada perang Tabuk. Di mana waktu itu berlaku musim panas yang
berpanjangan di Madinah, tentera Romawi lebih bersiap sedia dengan peralatan
dan gendangan perangnya.
Berbagai himpitan situasi krisis
ekonomi yang dihadapi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan segala faktor yang
melingkunginya. Namun Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan
bijaksana mengatasi krisis tersebut dengan tekun dan jayanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5AOdqLDsT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan