Ahad, 18 Mac 2018

Nicol tetap merendah diri


ARKIB : 25/03/2009
KUALA LUMPUR - Muncul penerima terbanyak anugerah Olahragawati Kebangsaan kelmarin bukan untuk bermegah.

Malah pemain skuasy No.1 dunia, Datuk Nicol David mahu menjadikan anugerah atlet wanita terbaik negara 2008, iaitu yang keenam sejak 1999, sebagai pendorong untuk mengukuhkan lagi penguasaan di peringkat dunia.

Anugerah terbaru yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu tidak langsung menerbitkan rasa untuk bermegah malahan Nicol tetap menyanjung penerima lima anugerah sebelum ini iaitu Nurulhuda Abdullah dan Shalin Zulkifli.

''Saya terharu kerana anugerah ini bukti usaha keras dan kejayaan saya dihargai. Saya amat bertuah kerana menerima anugerah ini buat kali keenam, bukan semua atlet berpeluang menerimanya sehingga ke tahap sebegini. Begitupun, anugerah ini akan menjadi dorongan untuk saya berlatih lebih kuat demi mengharumkan nama negara.

"Walaupun saya berjaya mengatasi rekod penerima terbanyak untuk anugerah ini, bagi saya Nurulhuda dan Shalin tetap atlet terhebat kita. Anugerah tahun ini amat bermakna kerana saya sendiri hadir untuk menerimanya, tidak seperti tahun lalu apabila saya diwakili oleh bapa,'' katanya.

Anugerah semalam merupakan tahun keempat berturut-turut Nicol meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan sejak 2005 untuk membolehkan pemain berusia 26 tahun itu menambah koleksi anugerah itu kepada enam kali termasuk pada 1999 dan 2003.

Sementara itu, Lee Ah Chai yang mewakili anaknya, jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk menerima anugerah Olahragawan Kebangsaan berkata, dia terharu kerana kejayaan anaknya mendapat penghargaan sewajarnya.

Menurutnya, Chong Wei, yang berada di India bagi menyertai kejohanan di negara tersebut, menghubungi sejurus majlis anugerah tersebut tamat.

"Dia sangat gembira apabila diberitahu dipilih sebagai atlet lelaki terbaik 2008. Dia memang layak menerima anugerah ini kerana telah berjaya memenangi empat kejuaraan dan tiga naib juara di sepanjang 2008. Satu saja harapan saya ialah untuk melihat dia menjadi pemain Malaysia pertama yang memenangi kejohanan dunia di Hyderabad, India,'' katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5A6VwhLox
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan