Jumaat, 11 Mei 2018

SKEMA STPM P2 PAHANG 2018

1.     Bincangkan peranan golongan Muhajirin di Makkah dan Madinah dalam perkembangan Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW.                                                                                                                                 
PENDAHULUAN
Golongan Muhajirin  merupakan penduduk asal kota Makkah dan merupakan masyarakat Quraisy.  Golongan  ini merupakan masyarakat yang terawal memeluk islam.  Kemudiannya mereka berhijrah ke Madinah kerana penentangan dari Musyrikin Makkah. Di Madinah mereka dipanggil Muhajirin dimana istilah ini berasal daripada perkataan ‘muhajir’ yang bermaksud penghijrah.  Golongan Muhajirin sememangnya berperanan penting ketika di Makkah dan Madinah dalam perkembangan Islam pada zaman Rasulullah SAW :

ISI
       Peranan Muhajirin di Makkah
1.  Menerima dan mempertahankan islam.
Sewaktu di Makkah merekalah kelompok pertama yang menerima dan mempertahankan keutuhan agama islam.  Merekalah golongan pertama yang melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan bersama-sama berjuang dengan Rasulullah.  Sebagai contoh Abu Bakar, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain adalah pendukung islam pada peringkat awal ketika dakwah  secara sulit. Selepas pengislaman Umar Al Khattab, umat islam mula berani  berdakwah secara terang-terangan.  Mereka bertindak membantu Nabi dalam usaha mengembangkan ajaran islam di Mekkah pada masa itu

2. Sanggup menghadapi rintangan  dan penentangan.
Golongan Muhajirin juga sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan hebat daripada kaum musyrikin Makkah dalam mengembangkan islam sama ada secara fizikal atau mental. Meskipun mereka menerima pelbagai ejekan, penghinaan penyiksaan  dan pembunuhan.  Bagaimanapun keimanan mereka tetap teguh dan kelompok ini terus tabah bagi memastikan islam terus berkembang. Contohnya penyiksaan ke atas Bilal bin Rabah dan  pembunuhan ke atas keluarga Ammar bin Yassir  tidak melemahkan keimanan umat islam yang lain. Kesemua ini dilakukan demi mengembangkan agama islam

3. Sanggup berkorban nyawa dan harta
Kelompok ini banyak menyumbang harta benda dalam mengembangkan agama islam menerusi gerakan dakwah. Sahabat-sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar,  Umar,Uthman  dan Siti Khadijah berusaha membeli dan membebaskan hamba.Al Arqam  pula sanggup menghadiahkan rumahnya untuk dijadikan markas dakwah. Ali bin Abi Talib  sanggup tidur ditempat tidur Rasulullah pada malam peristiwa hjrah manakala Abu Bakar setia bersama Rasulullah sewaktu hijrah ke Madinah . Kesemua usaha ini dilakukan demi untuk mengembangkan agama islam


4. Menjalankan usaha dakwah
Sahabat-sahabat Rasulullah turut membantu mengembangkan  islam samada secara sembunyi mahupun secara terangan . Mereka menyeru kum keluarga, sahabat handai dan penduduk Makkah kearah agama yang benar. Pada peringkat awal penyebaran islam  Abu Bakar berjaya mengislamkan Abdul Rahman bin Auf, Talhah, Zubair dan lain-lain.Dakwah secara sulit selama tiga tahun  diikuti secara terangan .Bermula dari sinilah umat islam berdepan dengan cabaran ekoran usaha dakwah ditentang hebat oleh musyrikn Makkah.

5. Berhijrah ke Madinah
Golongan Muhajirin sanggup meninggalkan Makkah dan segala kekayaan  untuk berhijrah bersama Rasulullah ke Madinah demi mengembangkan agama islam. Ini merupakan pengorbanan yang paling besar kerana mereka sanggup meninggalan kampung halaman, harta benda, keluarga demi Allah dan RasulNya. Individu yang pertama berhijrah ialah Abu Salamah bin Abdul Asad dan diikuti Amir bin Rabiah dan isteriya Laila Jahsi.  Pada peringkat awal seramai 70 orang islam ( Muhajirin )berketurunan Quraisy berhijrah ke Madinah. Penghijrahan ini menandakan bermulanya hubungan diplomatik dengan kerajaan asing dan pengembangan agama islam sebagai agama yang benar.

Peranan Muhajirin di  Madinah

1.Membantu Rasulullah dalam Keagamaan dan Pentadbiran
Golongan Muhajirin merupakan pembantu utama kepada perkembangan agama islam dalam aspek keagamaan dan pemerintahan.Contoh selepas peristiwa Aqabah 1 (622M) Mus’ab bin Umair telah diutus sebagai pendakwah bagi membantu penduduk Madinah mendalami ajaran islam. Mereka membina masjid di tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat  secara terbuka yang tidak dapat dilakukan di Makkah.

2. Berkorban harta untuk agama
Demi mengembangkan agama islam golongan Muhajirin juga telah mengorbankan nyawa dan harta demi agama sebagai contoh Uthman bin Affan telah berkorban dengan menyumbangkan  100 ekor unta dan  1000 dinar ketika perang Tabuk dalam membantu tentera islam. Tindakan ini dibuat agama Islam dapat memenangi perang tersebut seterusnya syiar islam dapat di kembangkan


3. Mengukuhkan ketenteraan islam.
Selain itu golongan Muhajirin juga merupan tunggak ketenteraan dalam menghadapi musuh dan mengembangkan agama. Contohnya Umar al Khattab, Hamzah bin Abdul Muttalib, Ali bin Abi Talib  merupakan pejuang islam terkemuka dalam mengembangkan agama.
 4. Menjadi utusan dakwah ke luar Negara
Dalam mengembangkan agama islam di Tanah Arab Rasulullah telah bertindak menghantar golongan Muhajirin sebagai utusan dakwah keluar Semenanjung Arab. Contohnya Amru bin Umayyah ke Habsyah dan Abdullah bin Huzaifah ke Parsi. Usaha ini adalah amat penting dalam membantu gerakan dakwah Nabi terutama dalam mengembangkan agama islam.

KESIMPULAN

Golongan Muhajirin  telah terlibat sepenuhnya dalam membantu mempertahankan dan mengembangkan islam yang dibawa oleh Rasulullah. Golongan Muhajirin terus memainkan peranan penting selepas bergandingan dengan golongan Ansar bagi memastikan  kejayaan perjuangan  Rasulullah di Makkah dan Madinah.  Walau bagaimanapun selepas kewafatan Rasulullah penglibatan golongan muhajirin lebih terserlah apabila di kalangan merekalah dilantik khalifah-khalifah untuk memimpin umat dan negara islam Madinah

1.    Jelaskan konsep Jihad serta etika perang yang dipraktikkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Pengenalan
1.     Konsep pertahanan dalam Islam ialah bagaimana umat Islam mempertahankan kedudukan dan kesucian agama Islam daripada dicabul oleh musuh-musuh Islam.  Islam tidak menggalakkan peperangan, namun peperangan adalah pilihan terakhir dan terpaksa diharungi demi mempertahankan kesucian agama, maruah diri dan negara, serta menegakkan hukum Allah,
2.     Islam berasaskan dua prinsip yang utama. Pertama, yang berkaitan akidah, iaitu kepercayaan kepada Allah S.W.T dan mentauhidkanNya dan kedua, syariah, iaitu undang-undang yang diwahyukan.
3.     Konsep ketahanan dan pertahanan dalam Islam dimantapkan lagi dengan pengenalan jihad dan etika perang bagi menyemarak semangat tentera Islam dalam menyebarkan agama Islam serta menjamin kesejahteraan umat manusia sejagat dan memberikan pengajaran kepada seteru- seteru Islam.  Etika peperangan  dalam Islam terbahagi kepada tiga mengikut situasi iaitu etika sebelum peperangan, etika semasa peperangan dan etika selepas peperangan.

Isi-isi
ISI
A.    Konsep Jihad
§  Perkataan jihad berasal dari kata akar ‘jahada’ bererti berusaha keras, bersungguh-sungguh dan berjuang. Dalam istilah syarak, bererti berjuang iaitu berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran bagi menegakkan kalimah Allah. Dari sudut bahasa pula, jihad bermaksud penumpuan segala tenaga dan usaha untuk mencapai satu cita-cita iaitu menegakkan syiar Islam. Menurut Abu’ a’la al-Maududi, erti jihad dalam Islam bukan sekadar suatu perjuangan, ia adalah perjuangan di jalan Allah dan fisabilillah merupakan syarat utama bagi jihad dalam Islam. Jihad memperkukuhkan ketahanan dan pertahanan angkatan tentera Islam pada zaman awal Islam.

§  Menurut Abdul Aziz Mat Zin dalam bukunya ‘Penghantar Dakwah Islamiah’, walaupun jihad itu adalah pelbagai jenis dan pengertian, namun selalunya ia dirujuk khusus kepada peperangan melawan musuh untuk menegakkan Islam. Dalam keadaan ini, beliau menegaskan bahawa jihad merupakan satu kemuncak kepada usaha dakwah iatiu menyebarkan syiar Islam terutama semasa zaman Nabi s.a.w. dan zaman sahabat yang dapat disaksikan dalam perang Badar, Perang Uhud, Ahzab, pembukaan Makkah. Dengan itu jihad telah memperkukuhkan ketahanan dan pertahanan umat Islam.

B.    Etika Perang
1.     Tawaran kepada musuh sebelum berperang
·       Tentera Islam dikehendaki menawarkan kepada pihak musuh sama ada memeluk Islam atau  membayar jizyah sebagai simbol kepatuhan terhadap pemerintahan kerajaan Islam.
·       Peperangan akan berlaku seandainya pihak musuh masih berkeras dan memulakan serangan ke atas orang Islam.

2.     Patuh kepada arahan ketua tentera
·       Tentera Islam diwajibkan akur/patuh dengan arahan pemimpin atau ketua tentera demi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak dijangkakan.
·       Tentera Islam juga tidak boleh lari atau meninggalkan medan perang melainkan dengan keizinan ketua.
·       Contohnya, kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud berpunca daripada kesilapan tentera pemanah Islam yang tidak mematuhi arahan Nabi Muhammad SAW agar tidak meninggalkan posisi masing-masing.

3.     Larangan merosakkan harta benda
·       Tentera Islam dilarang merosakkan harta benda penduduk dan kemudahan                     
 awam kecuali dalam keadaan darurat.
·       Perbuatan seperti memusnahkan harta benda musuh termasuk membakar   rumah penduduk, rumah ibadat dan kebun-kebun tidak dibenarkan kerana ia bukan sahaja melibatkan kepentingan awam, malah menyebabkan berlakunya pembaziran, menjejaskan matlamat peperangan dan sebagainya.
·       Keadaan ini membuktikan bahawa Islam mementingkan keamanan dan
  kesejahteraan.
4.     Larangan memerangi golongan lemah
·       Tentera Islam dilarang bertindak atau memerangi golongan kafir yang lemah sama ada golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, paderi dan pendeta.
·       Namun seandainya golongan ini memainkan peranan penting seperti penggerak atau pencetus tindakan keras sewajarnya boleh dilakukan.

5.     Mengutamakan perdamaian dan mematuhi perjanjian damai
·       Peperangan hendaklah dihentikan seandainya pihak musuh memohon perdamaian, contohnya ketika Nabi Muhammad  SAW dan tentera berhasrat melancarkan serangan ke atas kota Makkah ,pihak musuh telah memohon perdamaian sehingga termeterainya Perjanjian Hudaibiah.
·       Malahan,tentera dan umat Islam diwajibkan mematuhi segala perjanjian damai yang telah dipersetujui.


6.     Layanan baik terhadap tawanan perang.
·       Tentera Islam dikehendaki melayan dengan baik musuh yang berjaya dikalah dan ditawan.Tentera Islam dilarang menyeksa atau membunuh tawanan perang sewenang-wenangnya.
·       Islam menetapkan etika peperangan iaitu tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah. Kafir zimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam. Tindakan ini merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh nabi.
·       Umpamanya, tindakan Nabi Muhammad SAW yang memberikan pengampunan terhadap tawanan ketika peristiwa pembukaan kota Makkah dan layanan yang adil terhadap tawanan Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 H.
·       Tentera Islam juga dilarang melakukan perbuatan yang boleh mengaibkan musuh seperti mencincang mayat musuh.

7.     Larangan memerangi musuh yang sudah menyerah kalah, kafir zimmi, kafir mu’ahad dan kafir musta’mar – kecuali mereka mengancam orang-orang Islam.
8.     Keadilan dalam pengagihan harta rampasan perang.
9.     Berperang bila diperangi dan menyerang bila keadaan memerlukan – Perang Khaibar.

Kesimpulan
Jelaslah bahawa Jihad dan etika perang memainkan peranan penting dalam perkembangan syiar Islam dengan memberi  satu panduan kepada umat Islam dalam menghadapi peperangan.  Selain itu juga dengan adanya etika perang menyebabkan ketenteraan Islam semakin kukuh dan dipandang tinggi oleh pihak musuh.dan pembentukan umat Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW dan zaman selepasnya.










3.  Huraikan pelaksanaan kharaj pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada abad ke-7M.

A.Pengenalan
1. Dalam konteks sejarawan Islam, kharaj bermaksud cukai tanah. Kharaj merupakan cukai tanah yang dikenakan ke atas pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam melalui peperangan atau secara aman.
2. Sistem cukai ini mula diperkenalkan oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai salah satu sumber baitulmal. Kadar kharaj yang dikenakan adalah berbeza mengikut keadaan, mengikut jumlah yang mampu dibayar dan tidak membebankan. Kharaj terbahagi kepada dua iaitu Kharaj Wazifah dan Kharaj Muqasamah.
B.Isi
1.Pelaksanaan Kharaj di Iraq
a.         Pada zaman Khalifah Umar, terdapat 2 jenis tanah iaitu tanah bertuan dan tanah tidak bertuan. Bagi tanah bertuan, sekiranga pemiliknya orang Islam adalah tanah zakat manakala bagi tanah yang bukan Islam (zimmi) adalah tanah yang wajib dikenakan kharaj.
b.         Bagi  tanah yang tidak bertuan dikenali sebagai tanah Sawafi (awam) yang diletakkan di bawah pentadbiran golongan Ahl al-Ayyam sebagai Pemegang Amanah. Golongan Ahl al-Ayyam ini adalah merupakan orang Arab beragama Islam yang terlibat dalam ekspedisi penaklukan awal kawasan Iraq.
c.         Kutikan cukai kharaj adalah 1/5 daripada hasil tanah terdebut dan dihantar kepada kerajaan pusat di Madinah dan bakinya pula dibahagikan kepada tentera yang terlibat dalam gerakan ketenteraan.
d.         Semua tanah sawafi di Iraq telah diukur terlebih dahulu agar kadar kharaj yang dikenakan tidak membebankan. Tanah Sawafi yang boleh diusahakan adalah berkeluasan 36 juta jarib di Iraq. Kharaj wazifah ialah cukai tanah yang dikenakan berdasarkan keluasan tanah dan jenis tanaman sepeti gandum sebanyak 2 dirham, barli 1 dirham dan sebagainya. Cukai ini dibayar sekali setahun.Kharaj Muqasamah pula dibayar berdasarkan hasil tanah yang diperoleh samada ½,1/3,1/4,1/5 atau 1/6 dan tidak membebankan rakyat.
e.         Jumalah kutipan kharaj di Iraq adalah berjumlah 80 juta dirham dan sistem kutipan yang adil dan sistematik ini telah berjaya meningkatkan pendapatan petani dan hasil tanaman di Iraq.
2. Pelaksanaan  Kharaj di Mesir
a.         Pada zaman Khalifah Umar, baginda telah mengubah sistem kutipan yang tidak adil di Mesir yang dikenakan ke atas rakyat  Mesir pada zaman Firaun dan pemerintah Rom yang membebankan rakyat.
b.         Khalifah Umar telah meminta pakar-pakar menganggarkan jumlah hasil tanaman dan kadar cukai yang harus dikutip kerana kebergantungan tanaman di Mesir adalah daripada air banjir Sg. Nil menyebabkan hasil tanaman sukar ditentukan dengan tepat.
c.         Dianggarkan jumlah kutipan tahunan cukai kharaj di Mesir adalah lebih kurang 1 juta dinar. Jelaslah, kutipan cukai kharaj ini telah berjaya memakmurkan lagi ekonomi Negara pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.
3. Pelaksanaan Kharaj di Syria
a.         Di Syria, Khalifah Umar al-Khattab telah mengekalkan semula sistem kutipan cukai kharaj yang telah diperkenalkan oleh Raja Yunani.
b.         Tanah di Syria dikelaskan berdasarkan kualiti dan kesuburannya. Pendapatan kharaj di Syria berjumlah 14 juta dinar setahun.
c.         Jelaslah kutipan hasil kharaj yang tinggi telah menyumbang kepada lebih banyak pembinaan infrastruktur , prasarana serta pelbagai kegiatan pertanian turut dapat dimajukan untuk kemudahan rakyat.
C. Kesimpulan
Khalifah Umar al-Khattab telah berjaya meningkatkan pendapatan negara melalui kutipan cukai kharaj yang adil dan sistematik.  Sistem pelaksanaan kharaj yang adil telah menguntungkan para pemilik tanah dan pengusaha tanah di Iraq, Mesir dan Syria.  Walau bagaimanapun, sistem kharaj ini telah mengalami perubahan dan pengubahsuaian mengikut masa dan keadaan semasa pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah dan kerajaan Bani Abassiyyah termasuklah pembentukan Diwan al-Kharaj yang menjadi sumber penting pendapatan negara.















4.     Bincangkan ciri-ciri pendidikan Islam pada zaman pemerintahan khalifah Umayyah dari abad 7 hingga 8 Masihi.
Pengenalan
Perkembangan pesat dalam bidang pendidikan telah berlaku pada zaman kerajaan Bani Umayyah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti  pekembangan  masyarakat Islam, gerakan agama, falsafah dan sejarah.Galakan dan kecintaan para khalifah Bani Umayyah terhadap bidang pendidikan merupakan asas utama berlakunya perkembangan ilmu sama ada ilmu keagamaan mahupun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan.Usaha memperkasakan bidang pendidikan dapat dilihat melalui usaha-usaha khalifah Bani Umayyah menjadikan kota-kota utama seperti Damsyik, Kufah dan Basrah sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.
Isi-Isi
Ciri-Ciri Pendidikan Islam Zaman Khalifah Umayyah dari abad 7 hingga 8 Masihi
1. Asas pendidikan
·       Sumber utama pendidikan ialah al-Quran dan hadis(sunnah) dan diikuti sumber akal dalam bentuk ijtihad dan qias bagi menjelaskan sesuatu perkara yang tidak diterangkan secara jelas oleh al-Quran dan hadis.
·       Pelaksanaan pendidikan bertujuan mewujudkan pembangunan yang seimbang antara aspek aqliah dan naqliah bagi membolehkan manusia mengenali penciptaNya serta mentaati segala perintahNya.
·       Pendidikan berlaku secara tidak formal dan formal.  Pendidikan tidak formal dijalankan di masjid. Contohnya di Masjid Amawiyin(umawi) di Damsyik yang didirikan oleh khalifah Khalid al-Walid yang berusaha mengembangkan ilmu pengetahuan dan menghapuskan buta huruf dalam kalangan rakyatnya. Pendidikan secara formal berlaku di kuttab  dan di istana khalifah.
2. Dasar dan perkembangan pendidikan
·       Dasar pendidikan percuma diberikan kepada  golongan kurang berkemampuan di kuttab dan pengajian terbuka di masjid-masjid.
·       Kebanyakkan rakyat menuntut ilmu walaupun tiada dasar wajib belajar. Namun berbeza dengan putera-putera khalifah yang diberikan pelajaran wajib sama ada didatangkan guru-guru khas ke istana atau dihantar ke halaqah pengajian.
·       Tiada sukatan kurikulum khas ditetapkan. Namun ia berkaitan dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.
·       Perkembangan ilmu pengetahuan seiring dengan penyebaran agama Islam dan melahirkan tokoh-tokoh agama dan cendiakawaan Islam seperti Abdullah bin Abbas dan Hassan al-Basri.
·       Peranan khalifah dalam perkembangan ilmu dan penyebaran Islam seperti khalifah khalid al-Walid dan khalifah Umar Abdul aziz.
·       Ilmu sejarah turut berkembang dan dikhaskan kepada putera-putera khalifah agar mereka dapat memahami ilmu kenegaraaan, sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan silam sebagai panduan semasa menjadi khalifah satu masa nanti. Antara karya sejarah terkenal pada zaman Umayyah adalah Kitab al-Mulk wa Akbar al-Madin.
3.Institusi pendidikan dan bentuk pengajaran
·       Pada zaman kerajaan Umayyah, terdapat tiga buah insitusi pendidikan terpenting iaitu masjid, istana khalifah dan sekolah yang dikenali sebagai al-kuttab.
·       Masjid-masjid di Makkah, Madinah dan Damsyik merupakan pusat perkembangan dan penyebaran ilmu agama. Masjid di Basrah dan Kufah merupakan pusat pengajian bahasa dan nahu secara saintifik ekoran pengislaman bangsa-bangsa Arab. Pada zaman Umayyah, tanda-tanda bunyi dalam tulisan Arab seperti dhammah, pathah dan kasrah telah diperkenalkan untuk memudahkan orang bukan Arab mempelajari al-Quran dan hadis. Bentuk pengajaran di masjid dijalankan secara halaqah iaitu proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan apabila murid berkumpul dalam bentuk bulatan mengelilingi gurunya dengan menadah kitab yang diajar.
·       Istana khalifah turut menjadi pusat pendidikan yang berfungsi sebagai tempat belajar dan perpustakaan untuk putera-putera khalifah dan anak-anak pembesar. Subjek yang diajar seperti sejarah, kesusasteraan, ilmu pidato dan lain-lain. Khalifah Muawiyyah bin Abu Sufyan sering mengundang para cendiakawan ke istananya di Damsyik untuk membincangkan tentang pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, khasnya ilmu sejarah.
·       Kuttab merupakan sekolah permulaan yang menekankan pengajian al-Quran dan asas ilmu agama sebagai persediaan melangkah ke tahap pengajian lebih tinggi iaitu halaqah yang diadakan di masjid. Pada zaman Umayyah, terdapat dua jenis kuttab iaitu kuttab untuk orang awam yang dikenakan yuran pengajian dan kuttab al-Sabil untuk kanak-kanak miskin yang diberi secara percuma.
4.Bidang-bidang pengajian
·       Bidang pengajian yang paling berkembang pesat adalah pengajian ilmu keagamaan seperti tafsir al-Quran, hadis, fiqah dan sebagainya.
·       Selain itu, Pengajian seni muzik dan puisi bertemakan cinta dan kasih sayang turut berkembang di Kota Makkah, Madinah dan Damsyik. Para pemuzik dan penyanyi telah menjadikan istana khalifah sebagai tempat untuk mendapatkan ganjaran lumayan. Perkembangan ilmu ini digalakkan oleh khalifah Umayyah untuk melalaikan umat Islam dari permasalahan pelantikan khalifah. Penggubahan syair merupakan antara bidang ilmu paling diminati berbanding disiplin ilmu lain pada zaman Umayyah. Ilmu syair dan pidato  pada mulanya digunakan untuk memajukan sektor perdagangan tetapi secara tidak langsung ia turut memperkembangkan bidang kesusasteraan Islam.
·       Perkembangan kesusasteraan dan ilmiah berkembang di masjid-masjid di Kota Basrah dan Kufah. Puisi memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu penerangan dan propaganda bagi pihak pemerintah. Para penyair diberi layanan istimewa kerana mereka berperanan membangkitkan semangat jihad dan meninggikan seseorang khalifah.  Antara tokoh penyair terkenal seperti Qays bin Mulawa yang menghasilkan karya Laila dan Majnun.
·       Pengajian sains dan perubatan turut berkembang pesat sehingga melahirkan ramai tokoh perubatan seperti  Ibn Usal. Aktiviti terjemahan karya perubatan asing juga giat dilaksanakan dan mendapat galakan daripada khalifah.
·       Pendidikan seni ukir dan seni pahat juga mendapat tempat di mana banyak ukiran ayat-ayat al-Quran, hadis, syair dan kata-kata hikmah dipahat dan diukir pada istana, mimbar, mihrab dan menara masjid.
5. Tenaga pengajar
·       Guru-guru dibayar gaji oleh pihak kerajaan dan ada yang berkhidmat secara sukarela.
·       Guru-guru di ketiga-tiga institusi pendidikan iaitu masjid, istana dan kuttab terdiri daripada pelbagai mazhab dan mempunyai tahap pendidikan masing-masing. Minat pelajar bergantung kepada kewibawaan guru-guru. Ulama yang terkenal dari segi ilmu dan menarik dari segi cara penyampaiannya akan mendapat perhatian ramai pelajar yang dikatakan mencecah ribuan orang.
·       Guru-guru di masjid terdiri dari golongan ulama yang mengajar dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Antara tokoh ulama terkenal yang mengajar di Masjidil Haram, Makkah ialah Abdullah bin Abbas yang mahir dalam bidang ilmu tafsir, hadis dan fiqh. Ulama  terkenal yang lain seperti Abu Musa al-Asyaari, Hasan al-Basri, Ubaidillah bin Zubayr dan ramai lagi.
·       Guru yang mengajar di istana khalifah dikenali sebagai muaddih yang bertanggungjawab mengajar anak-anak khalifah dan anak pembesar berkaitan budi pekerti, adab-adab dan sahsiah. 
Kesimpulan
Penglibatan khalifah dan sumbangan para ulama merupakan faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya perkembangan dalam bidang pendidikan pada zaman kerajaan Umayyah pada abad 7 hingga 8 masihi. Kemajuan yang dilakukan oleh khalifah kerajaan Umayyah dalam bidang pendidikan menjadi asas kepada kemajuan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial umat Islam. Sesungguhnya kerajaan Umayyah telah meletakkan legasi yang kukuh untuk perkembangan pendidikan pada zaman-zaman kerajaaan Islam yang seterusnya.





5.     Sejauh manakah kepentingan Terusan Suez mempengaruhi faktor peluasan kuasa Barat ke atas wilayah kerajaan Uthmaniyyah sehingga awal abad ke 20.
A.  Pengenalan
Sejak abad ke 16 Masihi, kuasa Barat khususnya negara-negara Eropah giat melaksanakan perluasan kuasa mereka. Penjelajahan dan penerokaan kuasa Eropah seperti Portugal, Sepanyol, Belanda, Perancis dan Britain mengakibatkan kawasan-kawasan di benua Afrika, Asia dan Amerika menjadi jajahan takluk Negara-negara Barat.  Menjelang abad ke 19 Masihi, orang-orang Eropah mengalihkan perhatian mereka kepada empayar Uthmaniyyah. Mereka ingin menguasai wilayah-wilayah Eropah  yang ada di bawah penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Empayar ini diasaskan oleh Uthman Ertughrul pada tahun 1281 dan dipimpin oleh 37 khalifah selama lebih 600 tahun mulai merosot pada abad ke 20.  Walaubagaimanapun selain kepentingan Terusan Suez terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi peluasan kuasa Barat ke atas kerajaan Turki Uthmaniyah seperti persaingan kuasa, revolusi industri, keperluan bahan mentah dan konsep modenisasi.
B.   Isi
Pembinaan dan pembukaan Terusan Suez
Perluasan kuasa Barat diperhebatkan selepas pembinaan Terusan Suez yang dibuka pada tahun 1869. Terusan Suez membenarkan laluan air secara dua hala dan menjadi kepentingan antara Eropah dan Asia tanpa perlu mengelilingi benua Afrika.  Sebelum pembukaan Terusan Suez, barang dagangan dipunggah keluar dari kapal dan diangkut menggunakan kenderaan darat antara dua laut tersebut. Melalui pembukaan terusan ini, urusan perdagangan dipercepatkan di samping perjalanan jauh dapat dipendekkan dan kos perdagangan dapat dijimatkan.  Britain berminat untuk menguasai Terusan Suez kerana sebahagian besar kapalnya menggunakan terusan tersebut. Peluang terbuka untuk Britain menguasai terusan tersebut timbul pada tahun 1875 apabila Khedif Ismail yang banyak berhutang hampir muflis menyebabkan beliau terpaksa menjual sahamnya dalam Kompeni Terusan Suez.  Perdana Menteri Britain ketika itu, Disraeli mengambil kesempatan dengan membeli saham tersebut yang merupakan 45 % jumlah saham (4 juta paun Sterling) dalam kompeni tersebut.  Disraeli perlu bertindak dahulu sebelum Perancis mendahuluinya. Dengan cara demikian, Britain memperoleh bahagian yang terbesar dalam kompeni tersebut dan menguasai Terusan Suez. Sehubungan itu, Mesir jatuh ke tangan  Britain.

Faktor-faktor lain
1. Persaingan kuasa-kuasa Barat
Negara-negara Barat seperti Britain, Perancis, Jerman, Austria-Hungary dan Rusia berlumba-lumba untuk merebut wilayah-wilayah empayar Turki Uthmaniyyah.  Keluasan tanah jajahan membangunkan kekuatan negara-negara Barat. Semakin luas tanah jajahan, semakin tinggi sanjungan yang diberikan.  Perancis telah mencerobohi dan menakluki Algeria dan Tunisia. Pemimpin kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak dapat mempertahankan kawasan ini kerana masalah dalaman.  Rusia juga berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah untuk mendapatkan wilayah-wilayah di kawasan Balkan.  Rusia telah bertindak dengan menghasut wilayah-wilayah Bulgaria, Pulau Crete, Greece supaya menentang Turki Uthmaniyah.  Manakala selepas Perjanjian Berlin, Russia telah berjaya menguasai Turkistan, Tajikistan, Kyrgstan, Firghanah, Faniah dan Khuqand.
Britain pula menguasai Cyprus, Mesir dan Teluk Arab. Britain juga mengadakan perjanjian dengan Sheikh Mubaraq al Sabah pada tahun 1899 dan membuat perjanjian di Hadramawt, Bahrain dan Muscat serta Amerika untuk menentang pemimpin kerajaan Turki Uthmaniyyah.

2.     Kesan Revolusi Perindustrian
Sektor perindustrian berkembang pesat pada abad ke 18 menyebabkan kuasa Barat melaksanakan dasar perluasan kuasa.  Penciptaan enjin berkuasa wap adalah salah satu perkembangan penting dalam proses perindustrian. Sejak awal, kilang-kilang besi bergantung kepada penggunaan kayu arang untuk tujuan melebur besi. Enjin berkuasa wap digunakan secara meluas di lombong-lombong arang batu.  Kekayaan sumber dari tanah jajahan memenuhi kehendak kilang-kilang.  Perdagangan antarabangsa juga berkembang pesat akibat sistem kewangan yang dinamik. Pinjaman kredit kepada golongan usahawan dan pemodal mendorong perluasan kuasa.  Pemodal-pemodal Eropah banyak melabur di Afrika Utara dengan terlibat dalam sektor pertanian, perlombongan dan penyediaan jalan raya dan jalan kereta api.  Perluasan kuasa Barat di wilayah-wilayah empayar Uthmaniyyah boleh membawa keuntungan besar untuk penjajahan Barat.

3.     Bahan mentah
Kawasan Turki Uthmaniyyah kaya dengan petroleum. Sumber ekonomi ini mendorong kuasa-kuasa Barat menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan konsesi melombong petroleum. Britain, Perancis dan Jerman menggunakan muslihat dan tipu helah untuk mencapai impian mereka.  Sultan Abdul Hamid II kehilangan takhta baginda kerana isu carigali minyak petroleum.  Pada awal abad ke 20, petroleum ditemui di Iran, Iraq, Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain. Penemuan ini menimbulkan persaingan dan konflik antara kuasa-kuasa Barat. Jerman dan Amerika Syarikat juga melibatkan diri dalam perluasan kuasa di Turki Uthmaniyyah.

4.     Konsep Modenisasi
Kuasa Barat mengkagumi para tokoh yang menerima baik konsep hidup moden dan menganggap kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menolak konsep modenisasi sebagai manusia yang kolot dan mundur.  Kuasa-kuasa Barat ini menguatkan lagi konsep modenisasi melalui sistem pendidikan dan komunikasi.  Negara-negara Barat juga memburuk-burukkan Islam sebagai agama yang ketinggalan zaman. Mereka juga ingin meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyyah yang dipimpin oleh orang Islam kerana menolak konsep modenisasi.  Barat memuji sesiapa sahaja yang menerima konsep hidup moden, maju, progresif, seperti tanggapan mereka terhadap Mustafa Kamal Atartuk Midhat Pasha dan Zia Gokalp.  Manakala sesiapa yang menolak konsep modenisme dianggap kolot atau ketinggalan zaman.  Selain itu kuasa2 barat membawa budaya sekularisme, Dasar Pecah & Perintah (Divite & Role) serta “Beban Orang Putih”.

5.     Agama
Sentimen Perang Salib oleh kuasa Barat diteruskan ke atas Empayar Turki Uthmaniyah.  Kuasa Barat berusaha menyemai idea bahawa Islam agama mundur, anti kemajuan dan tidak berperikemanusiaan.  Snouck Hurgronje merupakan seorang Yahudi Belanda yang beragama Kristian yang menyamar sebagai seorang Muslim dan memperkenalkan Dasar Islam Belanda.  Mereka turut berusaha menanam kebencian masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya.  Selain itu berlaku juga perebutan antara British & Rusia bagi menjadi wakil/ juru cakap bagi menjadi wakil penduduk minoriti Kristian di Empayar Uthmaniyah.

6.     Kelemahan Kerajaan Turki Uthmaniyah
Kelemahan kepimpinan, pentadbiran, dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan, yang lemah membawa kepada kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.  Setelah kemangkatan Sultan Sulaiman Al-Qanuni, empayar Turki Uthmaniyah mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran.  Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan Sultan Murad III, baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ekonomi Turki kerana hasil negara disalah guna/ penindasan/ rasuah/ cukai tetap (ikhitab). 

Selain itu kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.  Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan.  Kelemahan ketenteraan juga dilihat melalui penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba menjadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkatakan menghapuskan asas disiplin dalam tentera.

C.  Kesimpulan
Kepentingan Terusan Suez bukanlah faktor utama yang mempengaruhi perluasan kuasa Barat ke atas wilayah Uthmaniyyah sehingga 20 Masihi.  Walaubagaimanapun terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi perluasan kuasa Barat ke atas empayar Uthmaniyyah.  Empayar Turki Uthmaniyyah mulai runtuh selepas Perang Dunia Pertama. Empayar ini mula berpecah kerana Negara-negara Eropah yang meraih kemenangan membahagi-bahagikan empayar ini. Sistem pemerintahan khalifah dihapuskan dan Kerajaan Turki menjadi sebuah negara republik.






6.  Rasyid Rida dikatakan telah turut berperanan penting dalam mempengaruhi kebangkitan semangat nasionalisme di Syria pada awal abad ke 20. Bincangkan.
A.  Pendahuluan

1.    Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, menyaksikan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah yang menaungi  negara-negara Arab Islam. Kuasa imperialis Barat mula mengambil alih peranan empayar Turki Uthmaniyah.
2.    Di Syria, Perancis telah diberi mandat untuk menjaga hal ehwal negara tersebut. Walaupun Perancis dikatakan ingin memberi kemerdekaan kepada Syria, namum mereka telah menjajah negara tersebut selama tujuh tahun.
3.    Pada tahun 1927, Perancis telah menganjurkan pilihan raya di Syria yang dimenangi oleh Parti Blok Nasional. Namun, Syria masih berada di bawah penguasaan Perancis tanpa mendapat kemerdekaan penuh.

B.  Isi

1.  Peranan Rasyid Rida
·     Rasyid Rida merupakan golongan intelektual muslim dari Syria yang mengembangkan gagasan modenisme Islam yang awalnya dipelopori oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.
·     Rasyid Rida mengkaji kelemahan masyarakat Islam ketika itu dibandingkan dengan masyarakat kolonial Barat. Beliau berpendapat bahawa kelemahan ini dapat diatasi apabila masyarakat Islam kembali kepada perinsip-prinsip dasar Islam dan melakukan ijtihad dalam menghadapi kehidupan moden.  Rasyid Rida menekankan pendidikan dakwah dengan menyesuaikan pendidikan moden dan agama menerusi penubuhan Madrasah a-Dakwah al-Irshad pada tahun 1912M di Kaherah.
·     Penulisan beliau dalam majalah al-Manar banyak menyumbang kepada gerakan nasionalisme dalam kalangan umat Islam ketika itu termasuk di Syria. 
·     Dalam penulisannya Rasyid Rida mengungkapkan tradisi pemikiran yang segar berasaskan idea-idea pembaharuan dan dakwah Islamiah.



Faktor-faktor Lain

2.  Agama
·     Pengaruh dan kesedaran agama juga telah menimbulkan keinginan untuk menyatukan kesemua negara dan bangsa Arab sehingga mewujudkan pergerakan-pergerakan di Syria.
·     Kedudukan Palestin yang bersempadan di bahagian barat daya Syria menyebabkan penduduk Syria sangat mengambil berat perihal saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas penjajah British.
·     Gerakan Yahudi yang ingin menempatkan penduduk mereka di kawasan orang Palestin jelas kelihatan apabila golongan Turki Muda yang memerintah Turki dikuasai oleh pertubuhan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang didalangi oleh orang Yahudi.  Suasana ini menyemarakkan lagi sentimen agama dan semangat penduduk tempatan di Syria menentang pihak penjajah.

2.   Bahasa dan kesusteraan
·     Perancis cuba menonjolkan bahawa mereka merupakan kuasa yang memperjuangkan hak dan kepentingan golongan minoriti. Mereka memperjuangkan bahasa golongan minoriti. Dengan alasan tersebut, mereka mengamalkan pemerintahan dasar pecah dan perintah di Syria.
·     Antara kesan ketara dasar berkenaan ialah perjuangan bahasa oleh golongan minoriti agar diiktiraf seperti bangsa Kurdis yang menginginkan bahasa mereka diiktiraf sebagai bahasa rasmi di kawasan yang diduduki  oleh puak Kurdis.
·     Di Alexandrett, perkara sama turut berlaku, apabila penduduk kawasan tersebut yang majoritinya berbangsa Turki dan diberi pengecualian untuk menggunakan bahasa Turki.

3.   Peranan pendidikan
·     Sebuah akademi bahasa telah ditubuhkan di Syria bagi mengumpulkan ahli linguistik di seluruh pelusuk tanah Arab untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran.
·     Tumpuan akademik bahasa ini adalah untuk menguasai bahasa masing-masing dengan keadaan masyarakat Arab yang mengamalkan pelbagai budaya. Walaupun secara politiknya mereka berbeza, namun mereka bersatu di bawah satu perkara, iaitu bahasa Arab.
·     Di Damsyik dan Beirut, beberapa buah universiti yang dibina menjadi medan perdebatan golongan terpelajar tempatan.
4. Kewartawanan (majalah / akhbar)
·      Al-Manar merupakan majalah bulanan yang membahaskan idealisme  pembaharuan dan tajdid di Kaherah. Majalah tersebut dipelopori oleh Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria.
·     Akhbar lain turut membicarakan keburukan dan kegawatan dunia Islam ketika itu, Al-Manar pula mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Islam.
·     Al-Manar menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan dasar-dasar pan-Islamisme, meneroka persoalan yang berkait dengan ajaran akidah dan hukum, membincangkan fahaman modenisme, sekularisme, nasionalisme, dan mempelopori dialog dan pertukaran idea antara budaya, dan meneroka pemikiran baharu berkait dengan falsafah agama dan budaya, serta menangani isu-isu social dan peradaban.
·     Majalah ini dikeluarkan setiap bulan dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke Kepulauan Melayu.
5.   Pengaruh luar
·     Syria pada awal abad ke-20 masih berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah. Oleh kerana dasar pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki Uthmaniyah, maka dasar ini telah menyemarakkan semangat penduduk tempatan menangkis ancaman pihak Barat.
·     Shakid Arselan melalui tulisannya menyeru penduduk Syria supaya bersatu padu di bawah kerajaan Turki Uthmaniyah dan menolak konspirasi Barat yang mahukan penduduk Syria menentang penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah.
·     Syaked Arselan yang berasal dari Lubnan menggesa penduduk Syria bangun secara suka rela menentang pihak British semasa Perang Dunia Pertama, iaitu pada tahun 1916.

Kesimpulan
1.    Rasyid Rida adalah merupakan antara orang yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasiomalisma di Syria pada awal abad ke 20.
2.    Walaubagaimanapun masih terdapat kepelbagaian faktor lain yang mempengaruhi kebangkitan semangat nasionalisma di Syria pada awa abad ke 20.

SUMBER-JPNP PAHANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan