DR. AZMAN ISMAIL
19 Mei 2018 3:00 AM
PENINGGALAN Gereja St. Paul di
Melaka. Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka
wajar menjadi pengajaran buat rakyat di negara ini.
RAKYAT negeri Melaka telah
terbahagi kepada dua kelompok selepas peristiwa pertarungan antara Hang Tuah
dan Hang Jebat. Kedua-dua kumpulan itu terdiri daripada para penyokong Tuah
yang menganggapnya sebagai wira kerana membela sultan, manakala para pengikut
Jebat melihatnya sebagai pahlawan sejati yang berani menyuarakan kebenaran.
Namun, cara Jebat menyuarakan
kebenaran tersebut bertentangan dengan undang-undang yang diamalkan di Melaka.
Walau apa pun pandangan oleh para penyokongnya, Jebat tetap dianggap sebagai
penderhaka dan pengkhianat terhadap kerajaan Melaka dan Sultan Mansur Syah.
Sudah tersurat untuk penderhaka,
Hang Jebat mati di tangan sahabat karibnya, Hang Tuah, pahlawan Melayu yang
memiliki taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada sultan. Keris Taming Sari
akhirnya kembali ke dalam genggaman laksamana itu, selain meraih pelbagai
kurnia Sultan Mansur Syah selepas membunuh Jebat.
Polemik antara Jebat dan Tuah
tidak pernah menemukan noktahnya hingga ke hari ini. Sarjana-sarjana tempatan
memperdebatkan kedudukan kedua-duanya dari perspektif wira, penderhaka,
kesetiaan dan di satu sisi lain ia merupakan keberanian menentang birokrasi
yang pincang.
Hikayat Hang Tuah mencatatkan
Hang Jebat adalah penderhaka. Sebagai orang yang menentang Sultan Mansur Syah
dan menodai maruah Empayar Melaka, dia wajar mati. Seluruh keturunannya juga
perlu dihapuskan. Tapak rumahnya juga digali dan dibuang ke laut!
Ramai yang melihat Tuah sebagai
wira kerana setia yang tidak ada duanya kepada Sultan Melaka. Dia sanggup
membunuh sahabatnya Jebat kerana dianggap menderhaka dan mencemar nama baik
Melaka dan paling penting mencalar akal budi Melayu dalam konteks menjunjung
kedudukan sultan.
Namun, Sasterawan Negara Usman
Awang mengangkat Jebat sebagai wira dalam naskhah teater Matinya Seorang
Pahlawan (1992). Begitu juga Kassim Ahmad. Mana Sikana pula dalam Tuah-Jebat
Dalam Drama Melayu: Satu Kajian Intertekstualiti (1994) turut meletakkan Hang
Jebat sebagai wira.
Birokrasi
Masyarakat Melayu juga telah
dididik – sesiapa yang mengkritik birokrasi dan sistem kekuasaan istana adalah
penderhaka. Sebagaimana Jebat, dosanya terhadap sultan dan negeri Melaka
terlalu besar. Balasan kepada penderhaka dalam mana-mana kerajaan di dunia
ialah mati di hujung senjata.
Malah, dalam waadat antara Demang
Lebar Daun (mewakili rakyat) dan Sang Sapurba (Raja) seperti yang tercatat
dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), mana-mana hamba rakyat yang
menderhaka dan berbuat nista kepada rajanya, mereka boleh dijatuhkan hukuman
mati, jika tidak ada lagi ruang keampunan.
Berdasarkan waadat itu juga, raja
atau sultan sebagai penaung rakyat pula tidak boleh sama sekali menjatuhkan
hukuman kepada hamba rakyat tanpa usul periksa.
Persoalannya kenapa Jebat
dianggap sebagai penderhaka sedangkan dia memperjuangkan kebenaran dan keadilan
iaitu membela kematian Tuah yang dijatuhkan hukuman mati tanpa usul periksa?
Jawapan yang mudah ialah Jebat menentang sebuah sistem yang dibangun oleh suara
kekuasaan majoriti.
Di sisi lain, Jebat sendiri
dilihat oleh pembesar-pembesar Melaka yang berkepentingan dalam sistem tersebut
sebagai orang mencabar kedudukan sultan, sekali gus meletakkan dirinya sebagai
penguasa baharu di Melaka. Pada masa yang sama menafikan institusi yang sah.
Biarpun para pembesar dan
penyokong Hang Tuah tahu tujuan Jebat adalah membela kebenaran dan fitnah
terhadap Tuah dan membetulkan kesilapan birokrasi, pembesar-pembesar tetap
mengakui laksamana itu sebagai wira. Jebat pula dianggap sebagai penderhaka,
pengkhianat atau pemberontak.
Akhirnya seperti yang dicatat
dalam Sejarah Melayu, seluruh keturunan Jebat dibunuh dan diaibkan. Semua
binatang peliharaannya juga dimusnahkan dan tapak rumahnya telah digali dan dihumbankan
ke laut.
Sebenarnya, kisah Jebat-Tuah
telah diletakkan dalam ruang kognitif masyarakat bahawa Jebat adalah
penderhaka. Sesiapa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan sistem
birokrasi yang majoriti adalah Jebat.
Namun, untuk menjadi Jebat ia
harus melalui pendekatan yang betul. Ia harus berdasarkan kepada perundangan,
pelembagaan dan kesepakatan kolektif yang telah dibentuk. Paling penting, Jebat
harus mengambil kira bentuk birokrasi yang telah disepakati.
Sebuah kesejahteraan akan muncul
apabila semua pihak dilibatkan dalam pembuatan birokrasi. Tidak wajar
masyarakat kita sentiasa meletakkan Tuah yang tidak berani mengkritik sultan
sebagai wira, sedang Jebat terus dianggap sebagai penderhaka selamanya!
Legenda Tuah-Jebat itu sama
seperti kisah dalam Perang Bhratayudha yang dimuatkan dalam epik Mahabaratha.
Ia menceritakan konflik berdarah antara kelompok Pendawa dan Kurawa yang
berakhir dengan kemusnahan, kematian dan dendam ribuan rakyat jelata kedua-dua
pihak.
Peperangan berakhir setelah Arjuna
yang merupakan panglima Pendawa berjaya membunuh Bhisma, raja kerajaan
Hastinapura yang merupakan ketua puak Kurawa. Para tentera Kurawa yang
kehilangan panglima akur. Mereka kalah dan terpaksa menerima apa sahaja hukuman
oleh pihak lawan.
Dapat disimpulkan, perkelahian
Tuah-Jebat dan peperangan antara puak Kurawa dan Pendawa merupakan sesuatu yang
mesti dielakkan demi survival rakyat dan negara. Sistem birokrasi harus
berorientasikan kesejahteraan, keharmonian dan tolenrasi.
“Dalam drama kehidupan manusia,
hidup ini dipersembahkan hanya untuk Tuhan dan malaikat-malaikat supaya menjadi
orang baik. Dan, kebaikan itu akan mengelakkan perang,” tulis ahli falsafah
Britain, Francis Bacon (1561-1626) dalam The New Atlantis.
SUMBER=KOSMO ONLINE 19 Mei 2018
3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan